:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Friday, December 11, 2009

Kemahiran Melukis Kanak-kanak



Pernahkah anda melihat kanak-kanak menconteng dinding, buku atau pun kertas? Mengapakah kanak-kanak gemar menconteng? Adakah mereka ingin berkomunikasi?

Banyak kajian yang dijalankan bagi mengenal pasti kebolehan kanak-kanak. Aktiviti melukis dikatakan sebagai suatu bentuk aktiviti yang banyak digunakan oleh saintis, pendidik dan ibu bapa bagi menyelami perasaan dan fikiran kanak-kanak. Aktiviti melukis merupakan aktiviti yang membantu kanak-kanak mengenali objek selain membantu meningkatkan daya sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka. Proses melukis yang menjurus ke arah pengamatan terhadap objek melatih deria kanak-kanak supaya menjadi lebih peka dan meningkatkan daya persepsi mereka.

Selain itu, aktiviti melukis juga meningkatkan daya imaginatif kanak-kanak selain berupaya mengimbangi emosi mereka. Ianya dijadikan sebagai satu proses pembelajaran kepada kanak-kanak melalui aktiviti imitasi alam sekeliling lalu dipermudahkan menjadi penghasilan simbol abstrak seterusnya menjadikan ianya satu bentuk hasil karya yang unik.

(a) Melukis sebagai Medium Komunikasi

Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Selain itu, lukisan juga dijadikan alat membantu saintis untuk menganalisa fikiran dan perasaan kanak-kanak. Penghasilan imej seperti pokok, figura manusia, catan dan arca boleh memberikan tafsiran yang dapat membantu ahli psikologi untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai masalah trauma.

(b) Melukis sebagai Cara Mencapai Kepuasan Diri

Kanak-kanak umumnya belajar sambil bermain. Bagi mereka, aktiviti bermain memberikan kepuasan di samping memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka alam sekeliling. Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.

(c) Melukis untuk Meningkatkan Daya Penguasaan Kendiri (Self Esteem)

Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Kesan penghasilan karya lukisan mampu membentuk personaliti kanak-kanak. Konsep kendiri terbina apabila kanak-kanak mampu melukis tanpa ragu dan tidak bimbang memikirkan soal kecantikan karya mereka. Selain itu, aktiviti melukis juga menggalakkan kanak-kanak untuk bercerita mengenai karya mereka sekaligus membantu mereka untuk membina keyakinan diri untuk bertutur. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.

Teori Perkembangan Artistik Kanak-kanak oleh Lowenfeld dan Britain

Lowenfeld dan Britain (1982) telah memperkenalkan teori perkembangan artistik kanak- kanak yang merangkumi peringkat umur dari 2-14 tahun. Peringkat perkembangan artistik yang diperkenalkan oleh Lowenfeld dan Britain ini merangkumi lima peringkat utama iaitu peringkat scribbling, peringkat preschematic, peringkat schematic, peringkat dawning realism, peringkat pseudonaturalistic dan peringkat adolescent art.

(a) Peringkat Scribbling (2-4 Tahun)
Pada peringkat ini kanak-kanak menghasilkan contengan secara rawak dan tidak terkawal. Proses menconteng menyebabkan pergerakan badan dan membangunkan koordinasi otot motor tangan. Apabila kanak-kanak telah mampu menguasai pergerakan tangan dan badan mereka mula melukis dari peringkat contengan kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada melukis bulatan.

(b) Peringkat Preschematic (4-7 Tahun)
Peringkat ini memperlihatkan peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan pertama untuk melukis objek yang terdapat di sekelilingnya dengan menggunakan garisan. Sebagai contoh ibu bapa dan orang yang rapat dengan mereka dilukis dengan mempunyai karakter tangan dan kaki dan dilukis seolah-olah terapung dan dengan saiz imej yang berbeza-beza.

PERKEMBANGAN ARTISTIK OLEH HURWITZ DAN DAY

  • Peringkat Manipulatif (2-5 tahun)
  • Peringkat Membuat Simbol (6-9 tahun)
  • Peringkat Pra-Remaja (10-13 tahun)
(c) Peringkat Schematic (7-9 Tahun)

Pada peringkat ini kanak-kanak kurang cenderung untuk melukis imej objek berbanding pada peringkat awal tadi. Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu. Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di sekelilingnya. Sebagai contoh, kanak-kanak mula membuat percubaan dengan membahagikan ruang pada kertas lukisan kepada dua bahagian iaitu satah udara dan tanah. Bagi pemandangan satah bawah objek disusun secara melintang dan sama manakala objek udara pula dibiarkan kosong. Selain itu, lukisan yang dihasilkan adalah spontan, bebas dan berskala besar. Tidak peka dengan karya mereka sendiri dan tidak kisah dengan lukisan yang dihasilkan oleh rakan sebaya mereka dan gemar untuk berkongsi.

(d) Peringkat Dawning Realism atau The Gang Age (9-12 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak terus melukis dengan mengekalkan konsep dan skema tertentu. Perubahan pada peringkat ini adalah terhadap imej yang dilukis secara realistik dan teliti. Imej lukisan mula mengecil dari segi saiz dan kanak-kanak mula menunjukkan sifat kritikal dengan hasil karya sendiri. Mereka mula membandingkan karya dengan karya rakan sebaya dan ini menjadikan mereka berhati-hati dan sedikit individualistik serta menitikberatkan kualiti karya yang dihasilkan.

(e) Peringkat Pseudonaturalistic atau Reasoning (12-14 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak mula peka dengan konsep realistik di dalam menghasilkan lukisan. Mereka menitikberatkan konsep kedudukan dan saiz rasional imej. Mereka lebih gemar untuk melukis melalui konsep peniruan atau melalui objek di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi. Lukisan yang dihasilkan jarang dikongsi bersama dengan rakan sebaya dan perasaan malu dan rendah diri akan timbul sekiranya lukisan yang dihasilkan tidak menarik.

(f) Peringkat Period If Decision atau Adolescent Art in High School (14-17 Tahun)

Peringkat ini merupakan peringkat penekanan terhadap proses penghasilan karya seni dan penciptaan objek. Peringkat ini memperlihatkan kematangan di dalam membuat keputusan dan pemilihan bahan yang sesuai untuk menghasilkan karya seni.


Teori Perkembangan Artistik Kanak-kanak oleh Georges-Henri Luquet


Teori perkembangan artistik kanak-kanak yang diperkenalkan oleh Luquet (1926) bermula daripada peringkat contengan. Menurut Luquet, perkembangan dan aktiviti melukis kanak- kanak pada peringkat ini adalah lebih kepada aktiviti peniruan dan diterjemahkan mengikut gaya contengan mereka. Namun secara ringkasnya terdapat tiga peringkat perkembangan artistik kanak-kanak yang diperkenalkan dan diistilahkan oleh Luquet iaitu peringkat Fortuitous Realism atau penemuan imejan realism secara tidak sengaja, peringkat kedua adalah Failed Realism, dan peringkat ketiga adalah Intelectual Realism dan peringkat akhir adalah Visual Realism.

(a) Peringkat Fortuitous Realism
Peringkat ini ialah peringkat awal lukisan kanak-kanak di mana imejan yang cuba dihasilkan pada peringkat contengan telah membentuk imej dan objek yang hampir sama dengan objek sebenar. Apa yang menarik ialah keserupaan imejan yang dihasilkan adalah secara tidak sengaja.

(b) Peringkat Failed Realism
Imej yang diperolehi secara tidak sengaja diperbaiki dan diperhalusi bagi mendapatkan imej sebenar. Lukisan yang hampir sama dihasilkan berulang kali. Namun usaha yang dilakukan tidak dapat diteruskan kerana imej objek tersebut kerap berubah daripada imej asal yang diperolehi secara tidak sengaja tadi.

(c) Peringkat Intelectual Realism
Pada peringkat ini kanak-kanak mula melukis mengikut apa yang mereka tahu dan apa yang mereka lihat. Penghasilan karya kanak-kanak adalah dalam bentuk lukisan yang lebih ringkas namun dilukis dengan agak baik.

(d) Peringkat Visual Realism
Peringkat akhir ini memperlihatkan keupayaan kanak-kanak untuk melukis imej yang mempunyai perspektif dan kadar banding. Percubaan untuk melukis imej 3 dimensi di atas kertas lukisan dapat dilihat pada peringkat ini dan percubaan melukis imej secara 3 dimensi dianggap satu kejayaan dan pencapaian baik.

Teori Perkembangan Artistik oleh Hurwitz dan Day

Hurwitz dan Day (2001) telah merumuskan peringkat perkembangan artis kanak-kanak kepada tiga bahagian utama. Peringkat-peringkat ini dikenali sebagai peringkat manipulatif, peringkat membuat simbol serta peringkat pra-remaja.

“Stages of artistic development are useful norms that can enlighten the
teacher, but they should not be considered as goals for education.”
- Hurwitz dan Day (2001)


(a) Peringkat Manipulatif atau Zaman Awal Kanak-kanak (2-4 Tahun)

Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak mempunyai kawalan pada pergerakan tangan kerana usia mereka yang masih muda, selalunya di dalam lingkungan umur dua hingga lima tahun. Lukisan yang dihasilkan juga selalunya tidak terkawal dan banyak terdapat di dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai jenis bahan dan medium seperti krayon, pensil serta bahan-bahan lain.

Penghasilan karya pada usia ini tidak bersifat realistik dan banyak menggunakan lukisan garisan bagi menggambarkan sesuatu imej. Pada usia ini, kanak-kanak lebih gemar untuk mencuba dan bereksperimentasi dengan pelbagai jenis garisan yang boleh dihasilkan melalui pelbagai media.

Secara umumnya terdapat empat peringkat contengan pada peringkat manipulatif iaitu contengan garisan tidak terkawal, contengan garisan terkawal, contengan rupa terkawal dan contengan rupa.

Contengan garisan tidak terkawal berlaku kerana kanak-kanak tidak mempunyai daya kawalan dan garisan yang dihasilkan biasanya berulang-ulang. Di peringkat contengan garisan terkawal pula garisan yang dihasilkan lebih menampakkan kawalan yang matang dibandingkan dengan peringkat pertama. Sementara itu, contengan rupa terkawal memperlihatkan kebolehan kanak-kanak yang mula melukis rupa dan mengulanginya mengikut kehendak mereka.

Akhir sekali adalah contengan rupa, di mana pada peringkat ini kanak-kanak berupaya mengenal pasti rupa dan menyebut rupa yang dihasilkan. Pada peringkat ini juga lukisan yang dihasilkan adalah lebih kepada kepuasan dan keseronokan kerana mereka diberi peluang untuk melukis dan menggunakan alatan melukis seperti pen dan pensil.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah cara kanak-kanak memegang alatan untuk melukis. Pada usia ini alatan tulis yang dipegang adalah mengikut keupayaan cara dan gaya yang disukai oleh mereka. Keupayaan menconteng sangat bergantung kepada keupayaan otot dan keselarasan koordinasi di antara mata dan tangan. Fokus imej yang dihasilkan pada peringkat ini adalah lukisan garisan yang pelbagai.

(b) Peringkat Membuat Simbol (6-9 Tahun)

Daripada peringkat lukisan contengan, kanak-kanak mula beralih ke peringkat menghasilkan simbol. Peringkat penghasilan simbol bermula pada umur empat sehingga kanak-kanak berumur lapan tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak sangat terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya.

Persekitaran memainkan pengaruh besar dan lukisan yang biasa dihasilkan adalah seperti rumah, kereta, bunga, alat permainan dan sebagainya. Imejan dalam lukisan figura merupakan imej yang paling dominan. Simbol dan imejan yang dilukis oleh kanak-kanak ini biasanya didahului dengan imej mereka sendiri, kemudian diikuti dengan keluarg terdekat seperti ibu bapa diikuti rakan-rakan. Pada peringkat ini juga, simbol yang dihasilkan oleh kanak-kanak mudah untuk dikenal pasti kerana kanak-kanak mempunyai kawalan yang seimbang dan teratur dari segi pergerakan tangan.

Di peringkat awal penghasilan imej simbolisma, imej-imej yang dihasilkan melalui lukisan terdiri daripada pelbagai saiz. Umumnya, seseorang yang penting di dalam kehidupan kanak-kanak tersebut digambarkan lebih besar saiznya berbanding dengan imej figura yang lain. Sebagai contoh, bapa digambarkan lebih besar daripada imej ahli keluarga yang lain melambangkan kekuasaan dan kekuatan yang di miliki oleh bapa selaku ketua keluarga. Dalam sesetengah keadaan, imej diri kanak-kanak itu juga mempunyai saiz yang lebih besar berbanding dengan imej figura yang lain.

Pada permulaan peringkat pertama simbolisma ini, penggunaan warna terhadap imej tidak menjadi fokus utama dan tidak ketara. Pada peringkat kedua pula, penggunaan warna ke atas imej mula diperlihatkan. Sebagai contoh, imej langit dikaitkan dengan warna biru, warna kuning untuk matahari dan warna hijau bagi menggambarkan rumput atau tumbuhan. Pada peringkat ketiga simbolisma,lukisan yang dihasilkan lebih menumpukan kepada imej yang konkrit iaitu imej yang dilihat berbanding dengan imej yang mereka tahu.

(c) Pra-Remaja (10-13 Tahun)

Peringkat Pra-remaja dikatakan peringkat transisi zaman kanak-kanak ke zaman remaja. Terdapat percubaan untuk melukis figura dengan saiz yang betul. Lukisan figura pula mula dilukis dengan menitikberatkan daya saiz sebenar objek. Sebagai contoh, figura manusia mula dilukis dengan melihat kadar banding pada objek tersebut tanpa membuat penambahan. Lukisan pada peringkat ini dikatakan lebih rasional kerana selain daripada kedudukan dan saiz figura yang betul, mereka juga telah mula mementingkan warna yang tepat selain dari memasukkan bayang-bayang pada objek supaya imej yang dihasilkan seolah-olah nampak realistik. Pada peringkat ini juga, mereka mula menggunakan kaedah perspektif bagi membezakan saiz imej di mana mereka cuba memahami konsep ruang iaitu objek yang jauh bersaiz lebih kecil berbanding dengan objek yang lebih dekat.


KEPENTINGAN PENGAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL KEPADA KANAK-KANAK

Penglibatan kanak-kanak di dalam aktiviti seni visual berupaya memberikan rangsangan dan pembangunan dari pelbagai aspek. Pembangunan tahap kreativiti kanak-kanak dapat dipertingkatkan selain mewujudkan rasa sensitiviti kanak-kanak terhadap sekelilingnya. Secara ringkasnya kepentingan pengajaran mata pelajaran pendidikan seni visual kepada kanak-kanak dapat dilihat melalui aspek berikut:

(a) Aspek Kognitif
Penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

(b) Aspek Fizikal
Penggunaan alat dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni visual memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata.

(c) Aspek Kreativiti
Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam pendidikan seni visual mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal di dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi supaya kanak-kanak mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.

(d) Aspek Persepsi
Melalui mata pelajaran seni visual, murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria. Pendidikan seni visual menambahkan pengetahuan mengenai konsep pembuatan dan kronologi sesuatu produk iaitu proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

(e) Aspek Sosial dan Emosi
Pendidikan seni visual memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Aktiviti pendidikan seni visual memberikan peluang kepada pelajar untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan bertoleransi. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk.

0 comments: