PENGENALAN
Teori ekologi telah diperkembangkan oleh Urie Bronfenbrenner (1917). Teori perkembangan ekologikal adalah teori yang menekankan pengaruh persekitaran ke atas perkembangan individu. Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989) menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak adalah sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Dalam konteks ini, interaksi antara kanak-kanak dengan persekitaran kanak-kanak itu dipercayai boleh mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Merujuk kepada konsep di dalam teori ini, sama ada kita menyedarinya atau tidak kanak-kanak yang merupakan individu yang berada dalam ruang lingkup mikro (berpusat di tengah) boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran.
Dalam teori ini menyatakan bahawa proses perkembangan dan pertumbuhan yang terangkum dalam sistem persekitaran itu mementingkan interaksi antara satu sama lain. Menurut Bronfenbrenner terdapat 5 sistem yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak
SISTEM PERSEKITARAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER
Menurut Bronfenbrenner, persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem, iaitu :
a) Mikrosistem
Mikrosistem melibatkan persekitaran yang terdekat di mana kanak-kanak mempunyai interaksi secara dan menghabiskan paling banyak masa. Contohnya interaksi kanak-kanak di dalam keluarga iaitu dengan ibu bapa dan adik beradik. Interaksi antara rakan, jiran serta guru terlibat dalam proses perkembangan kanak-kanak.
Keluarga terutamanya ibu bapa merupakan agen sosialisasi paling penting dalam kehidupan seseorang kanak-kanak itu dan sebagai individu terdekat atau berhampiran dengan kehidupan seorang kanak-kanak, mereka mempunyai pengaruh besar ke atas tingkah laku kanak-kanak. Sebagai contoh, kajian di dalam dan di luar negara menunjukkan bahawa faktor persekitaran seperti penglibatan ibu bapa secara aktif mempunyai kesan langsung ke atas semua aspek perkembangan kanak-kanak (Mac Naughtori, 2005).
Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 326). Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka.
Dalam kajian yang Iain pula, Ting (2005) mendapati tahap penglibatan ibu bapa luar bandar berada pada tahap yang rendah. Tidak hairan jika sebelum ini Berger (1995) melalui kajiannya menyatakan wujudnya kepelbagaian model peranan ibu bapa untuk membantu proses pembelajaran kanak-kanak di sekolah.
Maka jelaslah bahawa institusi keluarga memainkan peranan yang penting sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa haruslah membimbing, memahami dan menyelami kehendak jiwa remaja serta berfikiran terbuka. Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.
b) Mesosistem
Mesosistem merupakan perhubungan antara mikrosistem dengan mikrosistem yang lain. Sebarang perkara yang berlaku dalam satu mikrosistem dapat mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Sebagai contoh, keadaan di rumah dapat mempengaruhi tingkah laku dan personaliti seseorang individu ketika berada di sekolah. Individu yang mempunyai masalah di rumah akan membawa masalah tersebut ke sekolah. Hal ini akan menyebabkan emosi mereka terganggu dan implikasinya ialah masalah tersebut akan menjejaskan pelajaran mereka.
c) Eksosistem
Eksosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak tersebut. Maksudnya di sini, pengalaman individu tersebut akan turut mempengaruhi orang lain. Sebagai contoh, persekitaran sekolah –pasar raya. Keadaan pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di tempat-tempat membeli belah secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.
d) Makrosistem
Makrosistem pula melibatkan perkembangan individu yang dipangaruhi oleh norma-norma, nilai dan amalan masyarakat. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina amat dititikberatkan (Santrock, 2008). Di sesetengah negara pula, kaum lelaki diberi peranan dan tanggungjawab yang lebih dominan di mana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting berbanding kaum perempuan. Hal ini kerana perempuan dianggap sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mendapat pendidikan yang setaraf dengan kaum lelaki. Bagi ibu bapa yang masih lagi berada dalam pemikiran konservatif, mereka mengganggap pendidikan tidak penting kepada anak perempuan kerana tugas wanita hanyalah di dapur sahaja.
e) Kronosistem
Kronosistem merupakan perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Misalnya, kanak-kanak pada dewasa ini lebih berfokus kepada permainan berteknologi selaras dengan arus perubahan serta pembangunan sesebuah negara seperti permainan internet, memuat turun maklumat melalui internet dan sebagainya. Berbeza dengan kanak-kanak pada zaman dahulu, mereka hanya bermain permainan yang bersumberkan alam sekitar seperti wau, gasing dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pembangunan sesebuah negara memberi implikasi yang besar kepada perkembangan kanak-kanak dari banyak aspek. Kanak-kanak akan menjadi lebih maju ke hadapan serta berpandangan jauh. Namun begitu, setiap benda terdapat juga kesan negatifnya iaitu kanak-kanak tidak bergaul dengan masyarakat luar kerana hidupnya adalah bersama komputer. Selain itu, anasir-anasir negatif juga semakin meningkat andainya pembangunan sesebuah negara semakin maju.
Implikasi Teori Ekologi Brenfenbrenner dalam Proses Pembelajaran Kanak-kanak.
Bronfenbrenner menyatakan persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima sistem persekitaran tersebut memberikan implikasi kepada guru dalam menyediakan diri dengan selengkapnya semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Tugas guru bukan sahaja mengajar semata-mata, namun berperanan sebagai pembimbing kepada murid-murid semasa di sekolah. Murid-murid banyak menghabiskan masa bersama guru semasa di sekolah. Jadi guru bertindak sebagai pembimbing dan penasihat kepada murid-murid. Sebagai seorang guru, mereka perlu tahu tahap perkembangan setiap anak murid mereka. Jadi pemilihan aktiviti pengajaran yang sesuai dengan minat, pengetahuan dan pengalaman murid dapat meningkatkan tahap perkembangan mereka di dalam pelajaran. Guru juga mestilah peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid sebelum memulakan pengajaran. Jika murid tersebut berada dalam keadaan yang tidak sedia, maka objektif pembelajaran yang ingin disamapaikan oleh guru pada hari itu tidak akan tercapai.
Implikasi pendidikan dari aspek persekitaran mesosistem pula ialah guru perlu menunjukkan sikap yang baik kepada murid-murid mereka. Hal ini kerana, murid-murid akan mudah terpengaruh dengan apa yang diberitahu oleh guru. Jika murid melihat seseorang guru itu merokok di dalam kelas, maka mereka akan terikut-ikut perangai guru tersebut semasa di rumah. Oleh itu guru berperanan penting dalam membentuk akhlak murid-murid semasa di sekolah dengan menerapkan unsur-unsur rohani di dalam P&P . Guru perlulah sentiasa memberi nasihat yang baik kepada murid-murid agar menjadi orang yang berguna kelak.
Dari aspek persekitaran eksosistem pula, pengalaman seseorang individu akan mempengaruhi individu yang lain. Sebagai contoh, murid yang pasif akan mempengaruhi penyediaan aktiviti guru semasa di dalam pengajaran di kelas. Guru perlulah menggunakan pelbagai kaedah pengajaran semasa P&P untuk menarik minat murid untuk belajar. Guru bukan sahaja perlu memfokuskan penyediaan aktiviti kepada murid yang aktif sahaja, namun perlu menyediakan aktiviti yang sesuai untuk murid yang pasif. Hal ini kerana perkembangan kanak-kanak adalah berbeza di dalam sesebuah kelas.
Aspek persekitaran makrosistem pula menyatakan perkembangan individu dipengaruhi oleh norma-norma dan amalan masyarakat. Jadi guru berperanan penting dalam menjelaskan dan membetulkan fahaman-fahaman yang salah kepada murid-murid agar mereka memahami konsep yang sebenar tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, kepercayaan ibu bapa yang sudah lapuk terhadap anak mereka juga menjadi sebab terhadap kemunduran pelajaran anak-anak mereka. Misalnya, mereka lebih mementingkan pembelajaran anak lelaki berbanding dengan anak perempuan. Kononnya anak lelakilah yang akan bakal menjadi pemimpin keluarga dan mempunyai tanggungjawab yang besar. Mereka menganggap bahawa walaupun anak perempuan mereka berpelajaran tinggi sehingga ke menara gading, akhirnya mereka akan pergi ke dapur juga. Jadi, kepercayaan seperti inilah yang perlu dihapuskan dari pemikiran murid-murid agar mereka tahu kepentingan pelajaran dalam kehidupan dengan menerangkan bahawa taraf perempuan adalah sama dengan lelaki dalam mendapat pendidikan.
Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, murid-murid sekolah rendah juga sudah pandai menggunakan kemudahan internet tanpa kawalan dari ibu bapa khususnya di kawasan bandar. Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku di seleliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen. Oleh itu, guru bertanggungjawab dalam membimbing murid-murid dengan memberi panduan dan tunjuk ajar yang betul supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara negetif yang semakin menular kini.
0 comments:
Post a Comment