:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Sunday, August 2, 2009

Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget




Latar Belakang Jean Piaget

Piaget merupakan seorang ahli biologi yang cukup terlatih. Beliau berasal dari Switzerland dan telah menggunakan model biologi untuk menghuraikan perkembangan kognitif manusia. Pada pandangan Piaget, minda boleh berkembang, berubah dan dapat mengadaptasi masalah yang berlaku apabila berinteraksi dengan persekitaran. Piaget dan ahli psikologi kognitif sering kala dikenal sebagai ahli struktur disebabkan mereka mementingkan struktur pemikiran manusia (Gardner, 1973).

Di usia remajanya beliau berminat dalam bidang biologi dan epistemologi iaitu suatu bidang ilmu dalam bidang falsafah yang banyak membicarakan tentang perkembangan dan perolehan pengetahuan manusia. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi yang mula diceburi oleh Piaget setelah beliau bekerja dengan Binet untuk membentuk ujian kecerdasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Piaget tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi beliau lebih berminat untuk melihat pola-pola yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan sumbangan pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak.


PANDANGAN PIAGET TERHADAP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Piaget mengatakan tiap-tiap kanak-kanak mempunyai corak perkembangan mereka yang bersendirian. Dengan sebab itu, kanak-kanak yang di dalam sesuatu darjah itu bukan sahaja berlainan peringkat kebolehan mereka tetapi juga berlainan kecepatan perkembangan kognitif mereka. Piaget berpendapat bahawa perkembangan kognitif itu berlaku dengan berperingkatperingkat dan peringkat yang lebih awal adalah mustahak bagi perkembangan peringkat-peringkat yang berikutnya kerana peringkat-peringkat yang lebih awal itu menjadi asas bagi perkembangkan yang berikutnya.

Piaget menjelaskan tiga cara kanak-kanak mengetahui sesuatu. Pertama, melalui interaksi sosial iaitu belajar sesuatu perkara daripada orang lain. Bahasa, tingkah laku yang sesuai dengan budaya dan idea keagamaan adalah contoh-contoh pengetahuan yang diperolehi dengan cara sedemikian. Kedua, melalui pengetahuan fizikal iaitu pengetahuan fizikal tentang sesuatu benda. Pengetahuan ini diperolehi melalui penerokaan dunia fizikal dan belajar berkenaan bulatan dan segi empat sama,keras dan lembut, panas dan sejuk. Konsep-konsep ini tidak dapat dipelajari tanpa pengalaman dengan persekitaran. Ketiga, melalui logical-matematik yang meliputi konsep nombor, klasifikasi, masa, hubungan ruang dan keabadian.

4 KONSEP UTAMA TEORI KOGNITIF PIAGET

· Skema (Schema)
· Penyerapan (Assimilation)
· Pengubahsuaian (Accomodation) dan
· Keseimbangan (Equilibrium)


Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Skema adalah seperti sebuah kabinet yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema. Apabila seorang bayi dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi. Skema adalah proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa sahaja benda yang dimasukkan ke mulutnya akan dihisapnya. Seperti puting susu atau jari tangan. Bayi berkenaan masih belum dapat membezakan yang mana satu akan mengeluarkan susu atau sebaliknya, kerana hanya ada satu sahaja skema iaitu menghisap.

Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seseorang menyatukan maklumatmaklumat baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada, iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa melalui pelbagai maklumat dan pengalaman. Keadaan ini boleh disamakan dengan sebuah belon yang semakin membesar apabila ditiupkan angin ke dalamnya. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif.

Akomodasi atau penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema, sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai. Oleh itu, proses penyesuaian diri berlaku apabila skema yang sedia ada diubah suai untuk digabungkan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu.

Keseimbangan akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Contohnya, apabila seseorang kanak-kanak menerima maklumat baru, ia akan menyerap maklumat itu ke dalam skemanya. Sekiranya ia berjaya proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.

Dari kajian dan pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat mengikut perubahan umur mereka. Piaget membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat sensori motor, pra operasi, operasi konkrit dan operasi formal.



4 PERINGKAT PERKEMBANGAN KOGNITIF PIAGET

1. Peringkat deria motor/ sensori motor (0-2 tahun)

- Penggunaan deria dan pergerakan fizikal sebagai sarana perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya;
- Pengekalan objek (gambaran objek di dalam memori);
- Permulaan pemikiran logik dengan aktiviti yang bertujuan serta pengulangan proses ke bentuk asal

2. Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun)

- Penggunaan minda sebagai medium pembentukan skema baharu (perancangan);
- Perwakilan sesuatu objek menerusi simbol (fungsi semiotik);
- Kemahiran berbahasa kian meluas;
- Tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan;
- Sikap egosentrik (pemahaman persekitaran bersumberkan perspektif sendiri).

Implikasi teori dalam P&P

8 Penggunaan BBM yang konkrit;
8 Arahan ringkas dan difahami;
8 Penggunaan bahasa kanak-kanak yang sesuai;
8 Penyediaan variasi pengalaman pembelajaran.

3. Peringkat Operasi Konkrit (7-12 tahun)

- Pemikiran secara logik dan masih terikat dengan situasi konkrit;
- Berkebolehan menguasai konsep pemuliharaan (conservation) yang terdiri daripada tiga prinsip asas, iaitu; prinsip identiti, prinsip ganti rugi (compensation) dan prinsip keterbalikan;
- Penguasaan proses pengelasan berdasarkan trait;
- Penguasaan proses penyusunan secara bersiri;


Implikasi teori dalam P&P

8 Penggunaan bahan konkrit (3-Dimensi);
8 Peluang memanipulasi dan menguji deretan objek;
8 Pembacaan dan pembentangan mudah kepada kompleks;
8 Contoh sesuai dan berkaitan pengalaman pelajar;
8 Penyediaan soalan berkaitan logik dan analitik.

4. Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun)

- Pemikiran abstrak;
- Pemikiran sistematik;
- Kebolehan berhipotesis;
- Egosentrik remaja (susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling).

Implikasi teori dalam P&P

8 Penggunaan bahan konkrit untuk mengilustrasi konsep yang lebih kompleks;
8 Peluang bermetafizik (sebab-akibat) kepada penyelesaian sesuatu masalah;
8 Pengemukaan konsep yang luas dan tidak terikat kepada fakta-fakta.

0 comments: