:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Friday, January 6, 2012

KESAN-KESAN HEGEMONI BARAT TERHADAP DUNIA



Kesan penguasaan dan dominasi Barat terdapat pelbagai implikasi yang dapat kita perolehi sama ada dari aspek negatif mahupun positif. Namun begitu, kesan negatif lebih banyak berbanding dengan kesan positif. Seperti yang kita sedia maklum, negara Barat telah menguasai pelbagai aspek kehidupan masyarakat dunia kini seperti dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, media serta pemikiran.

Implikasinya dari aspek ekonomi ialah negara-negara membangun akan sentiasa bergantung kepada Negara Barat kerana mereka kurang mahir dari segi teknologi dan juga kekurangan tenaga buruh yang mahir. Selain itu, setiap urusan yang dilakukan akan menguntungkan pihak Barat sahaja. Hal ini menjadikan negara-negara membangun sukar untuk mendapat keuntungan yang lebih yang akan digunakan untuk membangunkan negara masing-masing dan juga untuk menampung keperluan rakyat mereka.

Implikasinya dari aspek politik ialah politik menjadi tidak stabil memyebabkan sistem pentadbiran negara menjadi kucar-kacir. Selain itu juga suasana politik menjadi tidak telus dan kotor dengan rasuah. Oleh itu keadaan ini akan menjadikan negara pincang dan lemah. Di samping itu, negara tidak dapat untuk membuat sesuatu keputusan melainkan mereka mendapat persetujuan daripada kuasa Barat. Ini menunjukkan bahawa negara-negara membangun akan sentiasa ditindas diberi layanan yang tidak adil oleh kuasa besar.

Implikasi dari aspek media pula, masyarakat Islam di seluruh dunia menghadapi kesulitan untuk menonjolkan diri kerana pihak media Barat sentiasa memburuk-burukkan rakyat Islam dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya seperti pengganas, pemberontak dan sering menimbulkan kekecohan. Hal ini akan menyebabkan negara-negara lain memandang serong terhadap bangsa Islam dan ini akan menjejaskan hubungan politik yang terbina pada sebelum ini. Jika hubungan yang dibina itu terputus, maka hal ini akan menjejaskan sumber ekonomi negara tersebut. Ekonomi sesebuah negara amat penting untuk pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Negara yang mundur akan ditindas oleh kuasa-kuasa besar seperti negara Barat. Negara Barat menggunakan media sebagai senjata utama untuk menguasai dunia.

Tamadun Barat juga mempengaruhi dunia dari aspek budaya. Pelbagai hiburan yang dibawa dari Barat menyebabkan masyarakat dunia mendewa-dewakan penghibur dari Barat sebagai idola mereka. Mereka meniru cara pemakaian dan perangai artis-artis tersebut tanpa menghiraukan pegangan agama. Hal ini dapat menarik diri mereka ke kancah maksiat kerana kebanyakan artis dari Barat mempunyai tingkah laku dan akhlak yang buruk seperti minum arak, merokok, seks rambang, homoseksual dan sebagainya. Apabila mereka terjebak di dalam kehidupan sebegini, nilai moral tidak ada lagi dalam diri mereka. Gejala-gejala sosial semakin meningkat dengan kes pembuangan bayi yang berleluasa kini. Kesannya juga dapat dilihat dengan apabila ramai penagih-penagih dadah dari kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila gejala ini tidak dapat dibendung. Remaja merupakan tonggak dan harapan bangsa, jika budaya Barat menjadi ikutan mereka maka punah ranahlah harapan negara. Jadi pelbagai pihak mestilah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendung budaya dari Barat ini dari terus menguasai dunia. Kebebasan bertingkahlaku juga amat hangat dipromosikan di media-media dan telah berjaya melahirkan amalan hedonisme, individualistik dan sikap mementingkan diri sendiri pada masyarakat kita termasuk golongan remaja. Budaya gotong royong, bantu-membantu, bertegur sapa serta mengambil berat antara satu sama lain di dalam sesebuah masyarakat telah semakin sirna. Keadaan seperti ini telah melahirkan masyarakat yang mengagungkan hawa nafsu mengatasi hukum dan Syariat Allah.

Kebebasan pemilikan telah memaksa pemerintah atau penguasa membiarkan sumber-sumber alam penjana ekonomi dikelolakan oleh pihak swasta dan termasuk negara asing. Akibatnya, Negara kehilangan kemampuan dan keupayaan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas rakyat seperti makanan, pakaian, kesihatan serta pendidikan. Negara juga terpaksa menanggung hutang yang tidak pernah surut, kos sara hidup menjadi sangat tinggi sehingga membebankan rakyat. Bebanan dan kesempitan hidup ini telah memaksa sesebuah keluarga menggadai maruah dan institusi kekeluargaannya demi mendapatkan sesuap nasi dan bagi memenuhi keperluan hidup yang lain. Kaum wanita terpaksa bekerja malah para ibu terpaksa mengharungi keperitan dan kepayahan mengimbangi antara tanggungjawab sebagai seorang ibu (ummun), menguruskan keluarga (rabbatul bait) dan membantu suami mencari nafkah. Natijahnya, anak-anak diabaikan dan kurang mendapat perhatian serta didikan ibubapa dan seterusnya menyalurkan anak-anak yang berharga ini ke kancah kemaksiatan dan terjebak dalam gejala sosial.

Implikasi dominasi Barat terhadap sosial ialah masyarakat dunia kini lebih mengenali tamadun barat berbanding tamadun mereka sendiri lalu pincanglah penghormatan diri seseorang individu. Kehidupan sosial mereka turut terjejas kerana mereka terlalu taksub mengejar kemewahan dan kesenangan dunia lantas membelakangkan agama mereka sendiri.

Dominasi terhadap pemikiran pula memberikan kesan yang besar terhadap pembangunan manusia dan seterusnya membantutkan proses pembentukan modal insan. Penjajahan dari segi pemikiran juga amat bahaya dan sukar diatasi kerana penjajahan ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi meresap secara halus dan membawa natijah yang besar kepada diri, agama dan bangsa.

Jadi umat Islam perlu yakin terhadap Islam kerana ia adalah kurnia terbesar Allah berikan kepada manusia. Hakikatnya adalah Islam merupakan identiti utama umat Islam yang perlu dibanggakan dan bukan disembunyikan. Sikap percaya diri sangat penting sebelum sesebuah bangsa atau umat dapat bangkit dan bersaing dengan yang lain. Kita perlu tegas terhadap golongan yang mempersoalkan kerelevanan Islam dan mempertikaikan ajaran Islam untuk menyambung lidah para orientalis yang didorong rasa kebencian terhadap Islam. Golongan liberal ini lebih berbahaya kerana ibarat musuh dalam selimut atau parasit yang merosakkan Islam dari dalam tubuh umat Islam sendiri. Banyaknya kajian-kajianyang membuktikan keunggulan dan keutuhan Islam sudah cukup untuk memberi keyakinan kepada umat Islam melangkah ke hadapan bersama Islam dan bukan dengan falsafah-falsafah Barat yang mengelirukan.

JENIS-JENIS HEGEMONI BARAT



Hegemoni barat mempunyai pelbagai jenis dimensi. Antaranya ialah dari segi :

· Ekonomi

· Politik

· Sosial

· Budaya

· Media

· Pemikiran

3.1 Dominasi Barat terhadap Politik

Kemerdekaan sesebuah negara pada masa kini tidak mempunyai makna yang besar selain daripada tampuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan. Masyarakat yang dikatakan merdeka dalam banyak keadaan yang berkaitan dengan kebebasan membuat keputusan politik terutama di peringkat antarabangsa, masih tertakluk kepada telunjuk kuasa Barat.

Jika dahulu penjajahan barat hanya melibatkan negeri-negeri tertentu di bawah pengaruh kuasa-kuasa Barat seperti India yang pernah menjadi jajahan British, Vietnam di bawah jajahan Perancis, Filipina di bawah jajahan Amerika Syarikat tetapi kini kita mendapati bahawa kuasa Barat sudah mendominasi pada peringkat antarabangsa. Beberapa buah kuasa besar Barat mempunyai kuasa yang penting menentukan hala tuju perkembangan politik dunia. (Azhar Mad Aros 2000,81)

Ini berikutan kelumpuhan Soviat Union dan Komunisme, negara-negara Barat tidak perlu lagi bersaing sesama mereka untuk mendapat pengaruh masing-masing. (Mohammad Abu Bakar 1998:1). Kini Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi seolah-olah kuda tunggangan Amerika Syarikat dalam usaha negara itu mencapai objektif-objektifnya. Pemimpin-pemimpin Barat sentiasa menonjolkan diri mereka sebagai orang yang bersimpati pada penindasan dan ketidakadilan yang wujud di dunia ini sebenarnya, tidak pernah bersimpati dengan penduduk-penduduk negara lain seperti Iraq, Sudan dan Afganistan yang menderita akibat tindakan mereka. Sekaligus kita tidak dapat menjangkakan suatu institusi antarabangsa yang dimiliki oleh Barat akan bersimpati dengan perkara-perkara yang bersifat Islam. Dalam pada itu, PBB juga mempersendakan proses keamanan di Bosnia Herzegovina yang mereka seharusnya lebIh tegas dan tidak membiarkan keganasan itu berlarutan terutama yang melibatkan nyawa dan maruah umat Islam. (Tamadun 1995: 13).

Begitu juga NATO atau North Atlantic Treaty Organization dan OIC atau Organization of Islamic Conference semacam tersepit apabila berdepan dengan kuasa besar dunia yang dimiliki oleh Barat itu. Mana-mana Negara Islam yang tidak mahu tunduk kepada Barat akan diberikan stigma yang negatif dan mereka dilabelkan sebagai pusat kegiatan militan dan pengganas. Selain itu, kekuatan dan kecanggihan senjata nuklear yang dimiliki oleh Barat tidak dapat dinafikan dan mereka menggunakan kesempatan ini dengan menjual dan membekalkan senjata kepada pihak-pihak tertentu. Inilah yang menyebabkan mereka digelar sebagai polis dunia dan membuktikan mereka sudah mendominasi masyarakat dunia.

3.2 Dominasi Barat terhadap Ekonomi

Kebangkitan ekonomi global selepas tamatnya Perang Dingin menyentuh hampir ke seluruh pelosok dunia dengan kewujudan syarikat-syarikat multinasionalisme seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom serta Jepun yang mempelopori kebangkitan ini di Asia. Kuasa Barat berusaha membentuk masyarakat yang lebih terbuka bersandarkan ekonomi kapitalisme dan liberalisme yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Mereka juga menetapkan syarat, negara-negara harus melonggarkan peraturan-peraturan domestik yang menghalang kepada proses globalisasi ekonomi. Ini menggalakkan proses kerjasama pelbagai hala dan multilateral dan perjanjian dua hala atau bilateral menjadi tidak relevan lagi. (Daim Zainuddin 1996,10).

Kebanyakkan negara-negara membangun mempunyai sumber-sumber semula jadi, pengeluaran hasil-hasil perindustrian dan sumber tenaga lain terikat dengan harga pasaran dan juga faktor ekonomi penawaran dan juga permintaan. Mereka mungkin takut kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang dapat memanipulasi pasaran dunia yang menyebabkan harga pengeluaran mereka turun. Selain itu, ketiadaan latihan guna tenaga penuh yang boleh melahirkan buruh pakar juga adalah salah satu sebab kebergantungan negara-negara membangun dan mundur kepada negara maju terutama daripada segi teknologi.

Kini mereka tidak sekadar berperanan sebagai pengeluar barang mentah, pembekal komoditi utama dan pembeli serta pengguna setia kepada pengeluaran luar, tetapi bertambah miskin akibat kegawatan ekonomi. Kedudukan di Indonesia sebagai contohnya, di mana jutaan manusia kehilangan pekerjaan dan beberapa negara Timur Tengah dan Benua India yang menyaksikan penghijrahan keluar rakyatnya ke Eropah untuk mencari pekerjaan. (Mohammad Abu Bakar 1998,4).

Pola dominasi ekonomi sedemikian disokong oleh institusi-institusi global seperti International Monetary Fund atau IMF, Bank Dunia serta World Trade Organization atau WTO bersama-sama dengan negara maju. Golongan ini mencorakkan ekonomi dunia bagi memenuhi kehendak-kehendak mereka sebagai negara perindustrian manakala kebajikan negara miskin diabaikan. Oleh itu, kita tidak dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengadakan perancangan dan strategi yang teliti dan memperlengkapkan diri untuk bersaing dalam pasaran dunia. Ini adalah kerana hasil proses globalisasi menyebabkan ekonomi sesebuah negara akan segera mempengaruhi ekonomi di sekitarnya melalui apa yang disebut sebagai kesan jangkitan. (Abd. Rahman Embong 1998,4).

3.3 Dominasi Barat terhadap Media

Media merupakan saluran informasi yang sangat penting pada era ini sama ada media cetak mahupun media elektronik. Kecanggihan dunia barat dalam bidang komunikasi telah memberi peluang yang luas kepada mereka untuk mendominasi penyebaran berita-berita antarabangsa. Berita-berita berkaitan dengan politik, ekonomi dan domonasi Barat ke atas negara-negara lain menjadi liputan utama kerana kebanyakkan syarikat gergasi media cetak dan media elektronik adalah berpusat di Negara Barat .

Melalui media, jentera pendidikan mereka memomokkan masyarakat terhadap agama agar terbentuk ketakutan dan kebencian terhadap agamawan dan simbol-simbol agama. Dengan demikian, meratalah bentuk sikap dan budaya warga dunia yang bersifat anti agama dan sekular. Mereka turut memburukkan negara-negara Islam dengan mengambarkan rakyat Islam sebagai pemberontak dan sering menimbulkan kekecohan. Keadilan bukan lagi menjadi teras utama kepada sumber maklumat yang diperolehi oleh pihak media Barat. Sebaliknya agensi-agensi berita yang dikuasai oleh syarikat Barat mengeksploitasi berita yang diperolehi untuk menutup kesalahan Barat dan memenuhi kepentingan sendiri.

Dalam zaman globalisasi ini, peranan media semakin penting kerana dengan medialah yang menyebarkan isu-isu semasa berkaitan dunia kini. Kepentingan ini juga menyebabkan berita-berita yang disiarkan juaga penting kepada pemikiran penduduk dunia. Media secara tidak langsung dapat mempengaruhi pemikiran dan pandangan masyarakat dalam dunia global ini. Melalui pemikiran dan pemahaman masyarakat pula akan melahirkan tindakan-tindakan yang lain sama ada ingin memihak kepada mana-mana pihak atau tidak. Jadi kesannya adalah, hal ini akan menimbulkan perselisihan faham antara negara-negara luar dan akan menjejaskan hubungan yang telah dibina antara negara-negara tersebut.

3.4 Dominasi Barat terhadap Budaya

Tamadun barat turut mempengaruhi budaya masyarakat dunia. Unsur- unsur budaya Barat semakin meresap ke dalam budaya Islam dan Asia. Pengaruh Barat dapat dilihat dari pelbagai aspek terutamanya hiburan. Pelbagai jenis hiburan yang dibawa dari Barat seperti nyanyian, tarian, filem, kartun, komik dan sebagainya telah menembusi dunia tanpa boleh disekat lagi. Muzik-muzik Barat yang tersebar luas ini semakin digilai oleh masyarakat-masyarakat dunia terutamanya dalam kalangan remaja yang amat menggilai muzik rock, haevy metal dan lain-lain. Ketaksuban mereka terhadap penghibur-penghibur dari Barat membuatkan mereka sanggup mengukir nama penyanyi tersebut di badan mereka, menampal poster-poster di dalam bilik dan sebagainya.

Globalisasi budaya berperanan membentuk cara berfikir, tatakelakuan dan gaya hidup yang sejajar dengan cara hidup Barat. Pola hidup liberal dan bebas dianggap pola hidup yang paling bertamadun. Pola hidup ini hendak dipaksakan kepada negara-negara dan bangsa dunia ketiga. Melalui sidang dan rumusan konferensi antarabangsa mereka mahu mengharuskan perhubungan seks sebelum berumahtangga, menghalalkan pengguguran di samping memberi penghormatan kepada golongan mak nyah atau golongan homoseksual. Mereka mahu menghalalkan atau memudahkan perzinaan berlaku dalam masyarakat, merubah pengertian dan struktur keluarga sehingga merangkumi bentuk dan struktur yang diharamkan oleh syara’.

Dari segi cara berpakaian dan fesyen pula, masyarakat dunia berlumba-lumba mencari pakaian yang berjenama dan mahal seperti Pier Cardin, F.Saint Lawrence, Cocoproco, Versace, Bonia, Padini dan sebagainya. Fesyen-fesyen yang ditonjolkan oleh Barat pula adalah amat menjolok mata. Jadi anak-anak muda lebih memilih pakaian yang dikira sebagai “up to date” dengan memakai pakaian yang menjolok mata berbanding pakaian sopan kerana dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini tidak termasuk seluar jenama jeans dan lain-lain. Antara jenama seluar jeans yang digilai oleh muda-mudi masyarakat kini adalah Levis, Nicoles dan lain-lain. Pakaian ini diperagakan oleh ratusan pragawati dan kebanyakan mereka terdiri dari kalangan mereka yang telah rosak akhlak. Selain itu, jenama-jenama alat solek dari Barat seperti Avon, Christian Dior, Gucci dan sebagainya turut menjadi buruan masyarakat dunia walaupun dengan harga yang mahal.

Dalam segi gaya pemakanan pula, globalisasi ini menampilkan pelbagai jenama. Antara jenama makanan yang hampir menyeluruh boleh didapati dalam mana-mana bandar di dunia ialah Pizza Hurt, Kentucky Fried Chicken, Mc Donald, Hambuger dan lain-lain. Banyak iklan yang dipaparkan berkaitan dengan jenama makanan tersebut sehinggakan dapat diingati oleh kanak-kanak. Minuman seperti Pepsi Cola, Coca-Cola, Seven Up dan lain-lain juga menjadi pujaan.

3.5 Dominasi Barat terhadap Pemikiran

Tamadun Barat juga turut mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia dan penjajahan mental telah berlaku secara tidak kita sedari dan amat sukar untuk dihapuskan. Pemikiran yang manyanjung Barat kekal sehingga ke hari ini walaupun secara fizikalnya barat sudah berundur dari timur bersama dengan leburnya empayar kolonial mereka. Ini beerti barat berjaya membentuk apa yang diistilahkan sebagai penjajahan pemikiran iaitu individu atau masyarakat terasing dengan nilai, pegangan, anutan, pandangan budaya dan cara hidup masyarakatnya sendiri kerana terpegun atau ghairah dengan pencapaian dan cara hidup manusia dan masyarakat lain. Tanpa disedari telah banyak unsur-unsur barat yang mempengaruhi pemikiran kita dan seterusnya dimanifestasikan melalui perbuatan kita. Sebagai contoh ialah pada setiap tahun, muda mudi akan menyambut perayaan Valentine pada 14 Februari dan diraikan dengan penuh meriah. Hari tersebut telah diisytiharkan di seluruh dunia secara langsung sebagai Hari Kekasih dan golongan remaja telah menyambutnya tanpa mengetahui kisah sebanar di sebalik tarikh tersebut.

Dominasi Barat terhadap pemikiran juga dapat dilihat dari segi tanggapan kita terhadap barangan dari Barat. Barangan-barangan dari Barat dianggap mempunyai kualiti yang lebih baik namun ini tidak bermakna kita mesti mengabaikan barangan tempatan. Apa yang lebih menyedihkan ialah kepercayaan kepada barangan dari Barat telah menyebabkan jenama-jenama pakaian dan barangan yang mahal menjadi pilihan masyarakat dunia dan pengguna lebih mementingkan jenama daripada harga yang perlu dibayar. Kadangkala pengguna tertipu kerana kini kebanyakan barangan dibuat di dalam negeri sendiri tetapi menggunakan jenama dari Barat, namun kerana jenama-jenama tersebut pengguna terpaksa membayar harga yang mahal.

Selain itu, golongan remaja terikut-ikut dan meniru cara hidup barat dari segi pakaian, pergaulan, percakapan, gaya hidup dan sebagainya. Jika dilihat artis kita pula, mereka memilih pakaian ketat, jenama mahal dan fesyen yang sentiasa ‘up to date’ agar tidak dikatakan ketinggalan dan budaya ini telah dicedok daripada barat sepenuhnya. Penjajahan dari sudut pemikiran telah melibatkan kesemua tamadun dan penjajahan pemikiran ini dapat dilihat melalui cara percakapan yakni bahasa yang diguna dan diagung-agungkan iaitu Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa walaupun setiap tamadun telah mempunyai bahasa rasminya sendiri. Bahasa inggeris dianggap begitu penting pada peringkat antarabangsa dan Negara-negara yang tidak pernah dijajah oleh barat juga terpaksa akur dan perlu menyesuaikan diri dengan senario berkenaan.

Terdapat satu lagi contoh penjajahan Barat yang kita dapat lihat ialah ramalan yang menggunakan zodiak seseorang dan ramalan-ramalan telah dibuar berdasarkan tarikh lahir. tafsiran melalui zodiak seseorang mempengaruhi pemikiran masyarakat sehinggakan setiap ramalan tersebut dijadikan panduan oleh orang ramai.

Tuntasnya, penjajahan pemikiran barat adalah sesuatu cabaran semasa yang amat berat dan perlu ditangani segara oleh pihak yang bertanggungjawab dan masyarakat dunia secara professional, kolektif dan serius. Kita tidak mahu generasi akan datang lebih mengenali peradaban barat melebihi peradaban mereka sendiri lalu tidak mempraktikkan nilai, tradisi dan cara hidup sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam. Apabila hal dunia menjadi matlamat dan kejayaan hidup dijadikan ukuran, manusia sanggup melakukan perkara mazmumah seperti menipu untuk mendapat keuntungan, mengamalkan rasuah untuk hidup mewah, memeras ugut untuk berada di atas dan sehinggakan sanggup menggadai maruah diri, agama dan bangsa untuk mendapatkan segala-galanya. Persekitaran masa kini yang ditentukan oleh falsafah barat malah dirangsang oleh gejala hidup yang seperti ini, masyarakat makin terdorong mengenepikan akhlak, bertindak ganas, biadab dan berkelakuan tidak senonoh tanpa segan silu. Globalisasi pula menyalurkan cerita dan berita yang dapat memberangsangkan seksual, menyiarkan iklan berkenaan gaya hidup orang barat serta membawa bersama cara untuk menjayakan amalan rasuah dan membolehkan manusia tempatan berangkaian dalam kegiatan skandal antarabangsa.

3.6 Dominasi Barat terhadap Sosial

Gejala sosial ditakrifkan sebagai perbuatan atau tindak tanduk di kalangan anggota masyarakat khususnya di kalangan muda mudi yang berlawanan dengan ajaran agama atau nilai etika sesuatu tamadun. Tamadun barat telah memberikan pengaruh yang besar dalam budaya atau cara hidup masyarakat dunia kerana peniruan gaya hidup barat semakin nyata dan jelas. Benteng kerohanian semua kaum, bangsa dan agama boleh dikatakan terjejas akibat serangan budaya moden yang mengalir dari barat itu. Ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek budaya terutamanya hiburan di mana muzik, nyanyian, filem, lakonan, kartun dan komik dari barat telah menembusi pasaran dunia. Irama muzik yang sentiasa menjadi ikutan para muda mudi ialah seperti irama rock, blues, heavy dan pop. Penyanyi dan pelakon barat turut dijadilkan idola dan ikutan malah mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia termasuk di Negara-negara membangun. Nilai eksport melalui komoditi hiburan merupakan satu sumber penting pemerolehan modal dan keuntungan mutlak Amerika Syarikat. Mereka memperoleh pendapatan melalui industry muzik sebanyak 20 bilion dan 70% daripadanya diperoleh daripada luar Amerika Syarikat. Ini semua disebabkan perkembangan teknologi dan komunikasi yang menyerap di dalam seluruh kehidupan tamadun bukan barat tanpa disedari melalui peranan Multi National Corporation atau MNC yang memainkan peranan penting dalam mengeksport budaya barat itu.

Menurut Osman Bakar (1997), menerusi kolonialisme Barat berjaya membentuk satu persepsi ‘cultural superiority’ di kalangan masyarakat dunia. Pihak barat mengamalkan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan, hubungan seks rambang serta songsang yang melibatkan hubungan sesama jenis turut meresap dalam kehidupan anak muda di seluruh dunia. Budaya kehidupan sedemikian sebenarnya menyeleweng daripada tatasusila kehidupan manusia normal tetapi ia semakin kuat mempengaruhi generasi muda sehingga budaya tempatan yang lebih sopan ditinggalkan. Gaya dan cara hidup barat yang berasaskan falsafah kebendaan dan secular menjadi popular apabila selera mereka ditentukan oleh berita dan cerita dari luar dan pertunjukan fesyen, filem dan sebagainya yang mengagungkan-agungkan kemajuan luar.

Selain itu, masyarakat dunia lebih mengenali nama-nama seperti Coca-cola, pepsi, sprite, Kentucky,Fride Chicken (KFC), Mc Donald dan sebagainya sehingga boleh diingati oleh kebanyakkan kanak-kanak. Anak-anak muda pula semakin ghairah mengikuti perkembangan jenama alat solek seperti Clinique, Maybeline, Christion Dior, Avon dan sebagainya serta jenama-jenama pakaian seperti Levis, Bonia, Padini, Adidas dan pelbagai lagi yang turut menjadi pilihan mereka yang mana tidak lagi melambangkan budaya timur yang penuh kesopanan dan ketatasusilaan. Masyarakat kini turut merasa bangga dan suka menggayakan pakaian-pakaian tersebut kerana difikirkan barangan dari sana ada kelas

Definisi Globalisasi




Jam’iyah al-Islah al-Ijtima’i Kuwait menegaskan globalisasi sebagai suatu perencanaan hebat dan berbahaya yang dilakarkan oleh Barat untuk meniadakan batasan (geografi) antara bangsa dan negara-negara di dunia ini. Ia adalah sinonim dengan seruan gerakan Freemason masa dulu dan kini yang dipanggil sebagai New World Order; sebagai percubaan untuk membenamkan identiti seluruh agama-agama di dunia, pemikiran bangsabangsa serta keyakinan mereka, agar digantikan dengan segala piagam PBB seperti yang dilakarkan oleh Barat dalam bidang ekonomi dan sosial sebagai agama baru yang dipaksakan kepada penduduk dunia seluruhnya.

Menurut Fathi Yakan, globalisasi ialah suatu proses menerima pakai sesuatu yang bersifat antarabangsa: baik dari sudut budaya, sosial, ekonomi mahupun dari sudut politik. Kadang-kadang ia bermaksud pensejagatan segala perkara, meskipun melalui kekerasan dan tidak melalui proses bertahap. Selain itu, globalisasi dalam definisi yang lain ialah suatu gerakan bebas, aktif dan pantas oleh korporat multi-nasional; baik dalam bidang kewangan, perdagangan mahupun dalam bidang maklumat.

Dari perspektif ekonomi, ia bermakna pengurusan kapital atau modal yang bersifat sejagat di bawah hegemoni sistem dunia unipolar, iaitu kuasa yang menyeluruh menguasai terhadap isi dunia seluruhnya, baik individu, pemikiran, maklumat, kewangan, institusi, pola kelakuan, perkhidmatan ataupun pengeluaran. Dari sudut maklumat, globalisasi bermakna kebanjiran sistem teknologi canggih, dan pengaliran maklumat tanpa memperdulikan kerajaan dan perlembagaan negara bahkan perundangan juga. Ia gejala birokrasi tidak bernasionaliti, jati diri dan tidak memerlukan visa.


Secara keseluruhannya, globalisasi dianggap sebagai suatu perencanaan menggunakan keunggulan teknologi, undang-undang antarabangsa, pengaruh modal atau kewangan yang raksasa untuk memenangkan kepentingan negara besar dan kuat serta memperbudak bangsa-bangsa yang lemah, mengikis sumber kekayaan mereka, melemahkan daya tahan, menghalang pembangunan mereka, menukar jati diri serta menumpaskan gerakan kebangkitan dan reformasi di kalangan mereka.

Definisi Hegemoni



Istilah hegemoni berasal dari istilah yunani, hegeisthai (“to lead) iaitu bermaksud untuk menguasai. Konsep hegemoni banyak digunakan oleh ahli sosiologi untuk menjelaskan fenomena terjadinya usaha untuk mempertahankan kekuasaan oleh pihak penguasa. Penguasa disini memiliki erti yang luas, tidak hanya terbatas pada penguasa negara (pemerintah).

Hegemoni boleh didefinisikan sebagai dominasi oleh satu kelompok terhadap kelompok lainnya, dengan atau tanpa ancaman kekerasan, sehingga idea-idea yang ditekankan oleh kelompok dominan terhadap kelompok yang didominasi diterima sebagai sesuatu yang wajar (common sense).

Hegemoni diterima sebagai sesuatu yang wajar, sehingga ideologi kelompok dominan dapat menyebar dan dipraktikkan . Nilai-nilai dan ideologi hegemoni ini diperjuangkan dan dipertahankan oleh pihak dominan sedemikian sehingga pihak yang didominasi tetap diam dan taat terhadap kepemimpinan kelompok penguasa. Dalam hegemoni, kelompok yang mendominasi berhasil mempengaruhi kelompok yang didominasi untuk menerima nilai-nilai moral, politik, dan budaya dari kelompok dominan (the ruling party, kelompok yang berkuasa).

Hegemoni boleh dilihat sebagai strategi untuk mempertahankan kekuasaan :

“…the practices of a capitalist class or its representatives to gain state power and maintain it later.” (Simon, 1982: 23)

Kesimpulannya, jika dilihat sebagai strategi, maka konsep hegemoni bukanlah strategi eksklusif milik penguasa. Maksudnya, kelompok manapun boleh menerapkan konsep hegemoni dan menjadi penguasa. Sebagai contoh hegemoni, adalah kekuasaan dolar amerika terhadap ekonomi global kerana kebanyakan pemindahan antarabangsa dilakukan menggunakan nilai dolar Amerika.