Kesan penguasaan dan dominasi Barat terdapat pelbagai implikasi yang dapat kita perolehi sama ada dari aspek negatif mahupun positif. Namun begitu, kesan negatif lebih banyak berbanding dengan kesan positif. Seperti yang kita sedia maklum, negara Barat telah menguasai pelbagai aspek kehidupan masyarakat dunia kini seperti dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, media serta pemikiran. Implikasinya dari aspek ekonomi ialah negara-negara membangun akan sentiasa bergantung kepada Negara Barat kerana mereka kurang mahir dari segi teknologi dan juga kekurangan tenaga buruh yang mahir. Selain itu, setiap urusan yang dilakukan akan menguntungkan pihak Barat sahaja. Hal ini menjadikan negara-negara membangun sukar untuk mendapat keuntungan yang lebih yang akan digunakan untuk membangunkan negara masing-masing dan juga untuk menampung keperluan rakyat mereka. Implikasinya dari aspek politik ialah politik menjadi tidak stabil memyebabkan sistem pentadbiran negara menjadi kucar-kacir. Selain itu juga suasana politik menjadi tidak telus dan kotor dengan rasuah. Oleh itu keadaan ini akan menjadikan negara pincang dan lemah. Di samping itu, negara tidak dapat untuk membuat sesuatu keputusan melainkan mereka mendapat persetujuan daripada kuasa Barat. Ini menunjukkan bahawa negara-negara membangun akan sentiasa ditindas diberi layanan yang tidak adil oleh kuasa besar. Implikasi dari aspek media pula, masyarakat Islam di seluruh dunia menghadapi kesulitan untuk menonjolkan diri kerana pihak media Barat sentiasa memburuk-burukkan rakyat Islam dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya seperti pengganas, pemberontak dan sering menimbulkan kekecohan. Hal ini akan menyebabkan negara-negara lain memandang serong terhadap bangsa Islam dan ini akan menjejaskan hubungan politik yang terbina pada sebelum ini. Jika hubungan yang dibina itu terputus, maka hal ini akan menjejaskan sumber ekonomi negara tersebut. Ekonomi sesebuah negara amat penting untuk pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Negara yang mundur akan ditindas oleh kuasa-kuasa besar seperti negara Barat. Negara Barat menggunakan media sebagai senjata utama untuk menguasai dunia. Tamadun Barat juga mempengaruhi dunia dari aspek budaya. Pelbagai hiburan yang dibawa dari Barat menyebabkan masyarakat dunia mendewa-dewakan penghibur dari Barat sebagai idola mereka. Mereka meniru cara pemakaian dan perangai artis-artis tersebut tanpa menghiraukan pegangan agama. Hal ini dapat menarik diri mereka ke kancah maksiat kerana kebanyakan artis dari Barat mempunyai tingkah laku dan akhlak yang buruk seperti minum arak, merokok, seks rambang, homoseksual dan sebagainya. Apabila mereka terjebak di dalam kehidupan sebegini, nilai moral tidak ada lagi dalam diri mereka. Gejala-gejala sosial semakin meningkat dengan kes pembuangan bayi yang berleluasa kini. Kesannya juga dapat dilihat dengan apabila ramai penagih-penagih dadah dari kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila gejala ini tidak dapat dibendung. Remaja merupakan tonggak dan harapan bangsa, jika budaya Barat menjadi ikutan mereka maka punah ranahlah harapan negara. Jadi pelbagai pihak mestilah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendung budaya dari Barat ini dari terus menguasai dunia. Kebebasan bertingkahlaku juga amat hangat dipromosikan di media-media dan telah berjaya melahirkan amalan hedonisme, individualistik dan sikap mementingkan diri sendiri pada masyarakat kita termasuk golongan remaja. Budaya gotong royong, bantu-membantu, bertegur sapa serta mengambil berat antara satu sama lain di dalam sesebuah masyarakat telah semakin sirna. Keadaan seperti ini telah melahirkan masyarakat yang mengagungkan hawa nafsu mengatasi hukum dan Syariat Allah. Kebebasan pemilikan telah memaksa pemerintah atau penguasa membiarkan sumber-sumber alam penjana ekonomi dikelolakan oleh pihak swasta dan termasuk negara asing. Akibatnya, Negara kehilangan kemampuan dan keupayaan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas rakyat seperti makanan, pakaian, kesihatan serta pendidikan. Negara juga terpaksa menanggung hutang yang tidak pernah surut, kos sara hidup menjadi sangat tinggi sehingga membebankan rakyat. Bebanan dan kesempitan hidup ini telah memaksa sesebuah keluarga menggadai maruah dan institusi kekeluargaannya demi mendapatkan sesuap nasi dan bagi memenuhi keperluan hidup yang lain. Kaum wanita terpaksa bekerja malah para ibu terpaksa mengharungi keperitan dan kepayahan mengimbangi antara tanggungjawab sebagai seorang ibu (ummun), menguruskan keluarga (rabbatul bait) dan membantu suami mencari nafkah. Natijahnya, anak-anak diabaikan dan kurang mendapat perhatian serta didikan ibubapa dan seterusnya menyalurkan anak-anak yang berharga ini ke kancah kemaksiatan dan terjebak dalam gejala sosial. Implikasi dominasi Barat terhadap sosial ialah masyarakat dunia kini lebih mengenali tamadun barat berbanding tamadun mereka sendiri lalu pincanglah penghormatan diri seseorang individu. Kehidupan sosial mereka turut terjejas kerana mereka terlalu taksub mengejar kemewahan dan kesenangan dunia lantas membelakangkan agama mereka sendiri. Dominasi terhadap pemikiran pula memberikan kesan yang besar terhadap pembangunan manusia dan seterusnya membantutkan proses pembentukan modal insan. Penjajahan dari segi pemikiran juga amat bahaya dan sukar diatasi kerana penjajahan ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi meresap secara halus dan membawa natijah yang besar kepada diri, agama dan bangsa. Jadi umat Islam perlu yakin terhadap Islam kerana ia adalah kurnia terbesar Allah berikan kepada manusia. Hakikatnya adalah Islam merupakan identiti utama umat Islam yang perlu dibanggakan dan bukan disembunyikan. Sikap percaya diri sangat penting sebelum sesebuah bangsa atau umat dapat bangkit dan bersaing dengan yang lain. Kita perlu tegas terhadap golongan yang mempersoalkan kerelevanan Islam dan mempertikaikan ajaran Islam untuk menyambung lidah para orientalis yang didorong rasa kebencian terhadap Islam. Golongan liberal ini lebih berbahaya kerana ibarat musuh dalam selimut atau parasit yang merosakkan Islam dari dalam tubuh umat Islam sendiri. Banyaknya kajian-kajianyang membuktikan keunggulan dan keutuhan Islam sudah cukup untuk memberi keyakinan kepada umat Islam melangkah ke hadapan bersama Islam dan bukan dengan falsafah-falsafah Barat yang mengelirukan.
Friday, January 6, 2012
KESAN-KESAN HEGEMONI BARAT TERHADAP DUNIA
Posted by mya afifi at Friday, January 06, 2012
Labels: TITAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment