:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Showing posts with label Penyakit Kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Penyakit Kanak-kanak. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

MUNTAH



Apa itu muntah?

Muntah adalah apabila sesuatu bahan dalam perut keluar melalui mulut secara spontan. Muntah bukan sejenis penyakit tetapi ia adalah gejala kepada pelbagai penyakit. Bagi kanak-kanak, muntah selalunya tidak dapat dikawal dan tidak merbahaya kecuali ia disebabkan oleh penyakit serius.

Apakah jenis-jenis muntah?

Muntah boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk:

* Possetting (jeluak) Ia berlaku apabila bayi anda terjeluak susu selepas menyusu. Ini adalah keadaan biasa di peringkat beberapa bulan pertama umur bayi dan tidak membahaya.
* Reflux (muntah meleleh) Reflux adalah apabila jumlah susu yang diminum dikeluarkan semula dengan banyak oleh perut secara perlahan-lahan. Ini disebabkan oleh injap yang memisahkan perut dengan kerongkong terbuka secara tidak sengaja. Keadaan biasa bagi bayi.
* Projectile vomiting (muntah memancut) Berlaku apabila isi kandungan perut bayi keluar secara spontan melalui mulut. Jumlah yang dikeluarkan selalunya banyak.


Apakah sebab-sebab muntah?

Sebab-sebab biasa berlakunya muntah:

* Jangkitan ringan kepada kanak-kanak seperti jangkitan virus atau ???stomach flu???
* Keracunan makanan
* Mabuk perjalanan
* Terlebih makan

Sebab-sebab yang jarang berlaku tetapi serius:

* Jangkitan pada otak (meningitis of encephalitis)
* Kecederaan / hantukan pada otak
* Ketumbuhan dalam otak
* Usus tersumbat
* Jangkitan salur kencing
* Bengkak pada appendiks
* Diabetis ketoacidosis


Apakah tanda-tanda dan gejala-gejala penting yang lain?

Di samping mengalami muntah yang ketara, kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda-tanda lain sekiranya muntah menjadi teruk. Kehilangan banyak air dalam badan menyebabkan dihidrasi (penyahidratan) berlaku .

Keadaan ini terjadi apabila apabila kanak-kanak muntah terlalu banyak dan tidak mendapat air yang mencukupi. Dihidrasi di ketegorikan seperti berikut:

Dihidrasi ringan ke sederhana

* Mulut / lidah kering
* Bibir pecah
* Tiada / kurang air mata semasa menangis
* Gelisah
* Tidak membuang air kecil dalam tempoh 4 – 6 jam (lampin tidak basah dalam tempoh tersebut)
* Ubun-uban di kepala bayi menjadi cengkung


Dihidrasi yang teruk

Semua tanda-tanda di atas dan diikuti tanda-tanda berikut:

* Kulit kering, berkedut
* Tidak bermaya, letih dan tidak aktif
* Enggan makan
* Mata cengkung
* Susah bernafas
* Denyutan nadi lemah dan cepat
* Kaki dan tangan kanak-kanak terasa amat sejuk


Tanda-tanda bahaya

Apabila tanda-tanda ini terjadi, kanak-kanak mungkin akan mengalami keadaan yang lebih bahaya

* Muntah yang memancut terutama pada kanak-kanak berumur kurang satu bulan
* Demam suhu > 38??C
* Muntah yang mengandungi darah
* Muntah cecair berwarna hijau
* Muntah selepas berlaku kecederaan kepada kepala
* Bingung, mengantuk / lali
* Sakit kuat di bahagian perut
* Kembung perut
* Muntah yang berterusan dan sukar untuk makan


Apakah komplikasi akibat muntah?

Komplikasi yang terjadi disebabkan oleh dihidrasi di samping keadaan-keadaan lain yang serius seperti dinyatakan di atas.

Lain-lain komplikasi termasuk:

* Organ tidak berfungsi seperti kegagalan fungsi gingal.
* Kecederaan pada kerongkong disebabkan oleh muntah yang berulang


Bagaimana muntah boleh dirawat?

Kehilangan jumlah cairan badan disebabkan muntah yang berterusan perlu diganti supaya dihidrasi tidak berlaku.

Bagi bayi berumur kurang dari 6 bulan :

* Berikan bayi anda larutan garam rehaidrasi (ORS) dalam jumlah yang kecil dan kerap-berikan 2 ke 3 sudu kecil setiap 15 ke 20 minit
* Jika bayi anda tidak muntah selepas menerima larutan garam rehaidrasi tersebut, beransur-ansur tambahkan jumlah ORS (tidak boleh melebihi jumlah pengambilan yang sebenar)
* Jangan beri air kosong atau ORS berperisa
* Jika bayi menyusu susu formula, selepas 6 – 8 jam bayi tidak lagi muntah mulakan menyusu bayi anda.
* Jika bayi diberi susu ibu sepenuhnya, susui bayi anda 5 – 10 minit jarak masa setiap 2 jam. Selepas 6 – 8 jam bayi anda tidak lagi muntah, teruskan penyusuan susu ibu seperti biasa

Bagi bayi diperingkat umur 6 bulan hingga 1 tahun

* Berikan bayi anda larutan garam rehaidrasi (ORS) dengan jumlah yang sadikit dan kerap – berikan 3 sudu teh larutan garam rehaidrasi (ORS) setiap 15 hingga 20 minit
* Jika bayi anda tidak muntah selepas menerima larutan garam rehaidrasi tersebut, beransur-ansur tambahkan jumlah ORS (tidak boleh melebihi jumlah pengambilan yang sebenar)
* Jangan berikan air kosong
* Garam rehaidrasi (ORS) berperisa mungkin boleh diberikan
* Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6 – 8 jam, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa.
* Mulakan penyusuan dalam jumlah yang sedikit dan beransur-ansur tambahkan jumlah susu sekiranya anak anda dapat menerimanya.

Bagi kanak-kanak lebih 1 tahun

* Berikan bayi anda larutan garam rehaidrasi (ORS) atau air kosong dengan jumlah yang sedikit dan kerap – berikan 3 sudu teh setiap 15 hingga 20 minit
* Garam rehaidrasi (ORS) berperisa atau minuman isotonik tidak berkabonat boleh diberikan.
* Sekiranya anak anda boleh menerima larutan garam rehaidrasi, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa. (tidak boleh melebihi jumlah pengambilan yang sebenar)
* Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6 – 8 jam, beransur-ansur berikan sup kosong dan makanan lembut (roti, bubur dan mee).
* Jangan memaksa anak anda makan
* Selepas 24 jam tidak muntah beransur-beransur mulakan makanan seperti biasa.


Perhatian.

Dapatkan bantuan perubatan sekiranya:

* Anak anda muntah secara berterusan dan enggan makan
* Anak anda mempunyai mana-mana tanda bahaya yang dinyatakan

Bolehkah muntah dicegah?

Muntah sukar dicegah sekiranya disebabkan oleh jangkitan atau penyakit-penyakit yang lebih teruk. Tetapi terdapat langkah yang boleh digunakan untuk mencegah mabuk perjalanan dan jeluak.

Untuk mengurangkan mabuk perjalanan

* Jangan beri terlalu banyak minuman ringan/berkarbonat dan gula-gula kepada anak anda semasa dalam perjalanan
* Dudukan anak anda didalam kenderan dengan mengadap ke hadapan dan gunakan penghadang pada cermin sisi bagi mengelakkan pandangan keluar.

Untuk mengurangkan jeluak

* Jangan berikan makan terlalu banyak pada setiap kali makan. Hanya berikan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap.
* Dudukan bayi anda secara menegak dan sendawakannya selama 20 minit selepas setiap kali makan/minum.
* Elakkan menimang bayi atau mendudukan bayi anda ke kerusi bayi selepas makan/minum.
* Apabila menidurkan bayi anda, pastikan kepala bayi berada dikedudukan yang lebih tinggi daripada kakinya.

Penyakit HIB



Pengenalan

Penyakit Hib disebabkan oleh bakteria Haemophilus influenzae type b. Di Malaysia 30% -

50% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang menghidap radang selaput otak (meningitis) adalah disebabkan penyakit Hib.

Penyakit ini juga boleh mengakibat kanak-kanak menderita keracunan darah (septisemia), radang paru-paru (pneumonia), radang sendi (septic arthritis), radang epiglotis, bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan boleh menyebabkan kematian. Komplikasi lain seperti ketidakupayaan, pekak atau kerosakan otak yang kekal. Hampir 10% daripada kanak-kanak ini mati dan 30% lagi mengalami kecacatan otak yang kekal, buta, pekak, Cerebral Palsy dan masalah pembelajaran atau tingkahlaku.

Penyakit Hib dan Hepatitis B BUKANLAH satu penyakit yang sama. Vaksin pencegah Hepatitis B adalah disebut vaksin Hepatitis B manakala vaksin penyakit Hib adalah disebut vaksin Hib. Peyakit Hib kerap berlaku di kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Risiko
jangkitan adalah paling tinggi di kalangan kanak-kanak berumur di bawah 1 tahun. Penyakit ini jarang berlaku pada kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas. Pergaulan rapat dengan kanak-kanak yang dijangkiti Hib meningkatkan risiko mendapat penyakit Hib. Bakteria Hib disebarkan melalui titisan ketika bersin atau batuk oleh mereka yang dijangkiti penyakit Hib. Penyakit ini juga boleh merebak melalui perkongsian barang permainan yang dimasukkan ke dalam mulut.

Walaupun bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya akan mendapat perlindungan daripada
penyakit Hib, imunisasi masih diperlukan untuk mendapatkan perlindungan yang maksima.

BATUK KOKOL



Pengenalan

Batuk kokol merupakan salah satu penyakit kanak-kanak yang paling berbahaya, terutamanya pada bayi bawah umur 12 bulan. Penyakit ini berpunca daripada bakteria bordatella pertussis yang menyebabkan saluran udara berlendir dan tersumbat.

Batuk kokol bermula sebagai selesema biasa yang disertai batuk. Batuk menjadi semakin teruk dan serangan batuk yang spasmodik menyebabkan anak sukar bernafas. Apabila anak anda menarik nafas selepas serangan batuk, nafasnya kedengaran berbunyi "whoop" semasa udara melalui larinks yang bengkak. Bagi bayi, pernafasan adalah semakin sukar kerana anak gagal mempelajari teknik menyedut udara dan keadaan ini boleh membawa maut. Kadangkala anak akan muntah selepas serangan batuk. Batuk ini boleh berlanjutan sehingga sepuluh minggu. Risiko mendapat jangkitan sekunder seperti pneumonia atau bronkitis sangat tinggi selepas penyakit tersebut.

Oleh itu, pastikan anak mendapat suntikan imun terhadap penyakit ini. Namun, ada kanak-kanak yang perlu dimasukkan dalam kategori khas dan tidak boleh diberi suntikan tersebut. Misalnya, kanak-kanak yang ada sejarah epilepsi dalam keluarga mereka. Dapatkan nasihat doktor.

Tanda-tanda

* Tanda-tanda selesema iaitu demam, hidung berhingus, rasa sengal dan sakit-sakit.
* Batuk teruk yang mempunyai bunyi "whoop" semasa anak menarik nafas.
* Muntah selepas serangan batuk.
* Tidak boleh tidur kerana batuk.

Apakah tindakan pertama?

1. Jika selesema anak tidak sembuh dan batuknya semakin teruk, bawanya berjumpa doktor.
2. Jika anda mengesyaki anak dijangkiti batuk kokol, bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera.
3. Jika anda mengesyaki anak menghidap batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu.
4. Jika anak anda mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya menjengah sedikit ke depan. Pegang mangkuk dekat mulutnya supaya dia boleh meludahkan kahak ke dalam mangkuk.

Perlukah saya berjumpa doktor?

Bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera jika anda mengesyaki anak dijangkiti batuk kokol.

Apakah tindakan doktor?

* Doktor mungkin memberi antibiotik untuk meredakan batuk dan mengurangkan jangkitan. Namun, batuk kokol sukar dilakukan diagnosis semasa peringkat permulaan jangkitan dan ubat yang perlu diambil hanya berkesan jika diambil pada peringkat awal. Doktor mungkin perlu melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi "whoop".
* Doktor akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika penyakit ini teruk, dia akan mengesyorkan bayi dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan. Jika perlu, anak anda akan diberi oksigen.
* Doktor akan menunjukkan cara memegang anak semasa berlaku serangan batuk. Dia mungkin mengesyorkan supaya hujung kot bayi dinaikkan sedikit dan anak anda dibaringkan secara meniarap.

Bagaimana saya boleh membantu?

* Semasa serangan batuk, pegang anak seperti yang ditunjukkan dan tenangkannya. Panik akan menyebabkan nafas anak semakin sesak. Pegang mangkuk di bawah dagunya supaya dia boleh meludahkan kahak.
* Letak mangkuk di setiap bilik di dalam rumah supaya anak boleh membuang kahak atau muntah tanpa perlu pergi ke tandas. Basuh mangkuk dengan air didih untuk mengelak daripada merebaknya jangkitan.
* Jika anak anda muntah selepas serangan batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula tenaga anak.
* Jangan biar anak melakukan aktiviti yang berat semasa dia sedang pulih kerana ini akan menggalakkan serangan batuk dan meletihkannya.
* Jauhkan anak dari asap rokok.
* Tidur bersama anak supaya dia tidak keseorangan semasa serangan batuk berlaku.
* Jangan beri anak sebarang ubat batuk tanpa nasihat doktor.
* Jika batuk kokol anak sudah sembuh tetapi anak masih kelihatan tidak sihat dan sukar bernafas, bawanya berjumpa doktor dengan segera. Ini kerana anak mungkin menghidap jangkitan sekunder seperti pneumonia atau bronkitis.
* Jangan risau jika anak anda menghasilkan bunyi "whoop" apabila dia menghidap selesema selepas itu. Ini bukannya ulangan batuk kokol. Anak anda hanya mengulangi tingkah laku yang dipelajarinya semasa serangan batuk dahulu.

sumber:
http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_kesihatan/batukkokol.htm

TETANUS (KANCING GIGI)



Apakah Tetanus??

Penyakit ini adalah disebabkan oleh racun dari sejenis kuman yang boleh merosakkan saraf. Ini biasanya terjadi apabila terdapatluka-lukakecildi badan/kulit ternakan itu. Kuman ini akan memasuki badan dan membiak dan kemudian akan mengeluarkan racun.

Tanda-tanda

* Keseluruhan badan menggigil dan menggeletar yang tidak boleh dikawal. Keempat-empat kaki akan menjadi lurus, tegang dan keras.
* Geraham dan mulut akan terkancing (kancing gigi) dan kepala biasanya mendongak ke atas. Kalau terjadi semasa berdiri, ianya akan tumbang.
* Tanda-tanda ini menjadi lebih teruk apabila terdapat rangsangan bunyi yang kuat dan juga cahaya yang terang.

Pencegahan dan Rawatan:

* Suntikan veksin semasa anak berumur 3 bulan
* Mengubat luka-luka terutarna luka-luka yang disebabkan oleh benda-benda yang tajam

Jenis-jenis Ubat:

* Tetanus antitoxin
* Suntikan veksin

DIFTERIA



Difteria adalah jangkitan bakteria yang berpunca daripada Corynebacterium difteria (C. difteria). Penyakit ini menyerang bahagian atas mukosa saluran pernafasan dan kulit yang terluka. Tanda-tanda yang dapat dirasakan ialah sakit tekak dan demam secara tiba-tiba disertai tumbuhan membran kelabu melitupi tonsil serta bahagian saluran pernafasan.

Pembawa kuman ini adalah manusia sendiri dan ia amat sensitif kepada faktor-faktor alam sekita seperti kekeringan, kepanasan dan sinaran matahari. Difteria disebarkan daripada kulit, saluran pernafasan dan sentuhan dengan pesakit difteria itu sendiri. Kadar kematian akibat difteria paling tinggi di kalangan bayi dan orang tua dan kematian biasanya berlaku dalam masa tiga hingga empat hari.

Rawatan bagi penyakit ini termasuk antitoksin difteria yang melemahkan toksin dan antibiotik. Erythromycin dan penisilin membantu menghapuskan bakteria dan menghentikan pengeluaran toksin. Umumnya difteria boleh dicegah melalui vaksinasi. Bayi, kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa yang tidak mempunyai cukup pelalian memerlukan suntikan booster setiap 10 tahun.


sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Difteria

CAMPAK



Pengenalan

Campak merupakan penyakit mudah berjangkit yang selalunya menyerang kanak-kanak , namun ia juga boleh berlaku pada semua peringkat umur. 90% kontak yang tidak berimunisasi berada berdekatan pesakit akan dijangkiti dengan mudah. Ia menjangkiti sistem respiratori dan menyebabkan ruam kulit. Seseorang boleh dijangkiti selama 1 hingga 2 hari sebelum tanda tanda dapat dilihat dan sehingga 4 hari setelah ruam timbul.

Ia disebarkan melalui bersin, batuk dan bahan terjangkit dan permukaan yang terdedah kepada pesakit. Campak boleh menjadi serius dan membawa kematian kepada sesetengah kanak kanak dan setiap tahun dianggarkan 30 juta hingga 40 juta kes campak berlaku seluruh dunia menyebabkan lebih dari 75,0000 kematian. Orang yang telah dijangkiti campak akan membentuk imuniti semulajadi.

Tanda dan Gejala


Gejala bermula 10 – 12 hari selepas terdedah dengan pesakit, Gejala awal adalah seperti hidung berair, batuk, hidung tersumbat, mata merah, sakit otot , sensitif terhadap cahaya dan demam. Selepas 2 hingga 4 hari gejala tadi, ruam badan dan tompokan putih di dalam mulut mula timbul.

Ruam bermula di kepala dan merebak ke bahagian lain, berkembang ke bawah dan bersatu antara satu sama lain. Ia akan beransur hilang dalam masa 4 hari sebagaimana tempoh ia berlaku.

Komplikasi

Kebanyakan pesakit campak akan sembuh sepenuhnya , namun ada sesetengah yang akan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan komplikasi lain berlaku antaranya:
# Jangkitan telinga

# Pembesaran Nodus Limfa

# Inflamasi otak : 1 dalam 1000 kes campak

# Jangkitan paru paru

# Jangkitan bronkus

# Jangkitan peti suara

# Cirit birit atau muntah

# Semasa mengandung, ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang, keguguran atau bayi lahir kekurangan berat badan.

Kematian amat jarang berlaku ( satu atau dua daripada 1000 kes, selalunya disebabkan oleh jangkitan paru paru atau jangkitan otak.

Rawatan

# Acetaminophen (paracetamol) untuk mengurangkan demam dan sakit badan.

# Rehat (tidur ) dengan cukup.

# Pelembab yang menyegarkan ruang respiratori (pernafasan) dan menghilangkan batuk.

# Antibiotik diberikan kepada pesakit yang membentuk otitis media atau jangkitan kuman pada paru paru.

# Pengasingan.

Pencegahan

Di Malaysia, vaksin campak biasanya diberikan bersama sama vaksin beguk, dan rubella ketika berumur satu dan tujuh tahun. Orang yang tidak berimunisasi dan adik beradik perlu diasingkan dari pesakit.

MENINGITIS



Apa itu meningitis?

* Meningitis adalah jangkitan selaput otak yang disebabkan oleh kuman (bakteria, virus, tuberculous dan lain-lain). Bakteria yang paling kerap menyebabkan meningitis di kalangan kanak-kanak ialah dari spesis Haemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitides. Lebih daripada 90% kes melibatkan kanak-kanak kurang daripada 5 tahun dan 50% adalah di kalangan bayi kurang daripada 6 bulan.

* Ia adalah penyakit berjangkit yang merebak daripada seseorang pembawa kuman (dewasa atau kanak-kanak lain) kepada pesakit melalui cecair pernafasan di udara apabila seseorang itu batuk atau bersin.


Apakah tanda-tanda dan gejala?

Tanda-tanda meningitis kanak-kanak adalah bergantung kepada umur pesakit, jenis bakteria, sama ada antibiotik telah dimulakan dan jangka masa seseorang kanak-kanak itu telah dijangkit.

Gejala-gejala awal:

* Demam tinggi
* Rasa kurang selesa, merengek
* Kurang bermaya, kurang menyusu
* Sakit kepala dan bermuntah-muntah
* Ruam atau bintik-bintik merah yang merebak dengan cepat ke seluruh badan (jika dijangkiti bakteria Neisseria meningitides)

Gegala-gejala lewat:

* Ubun-ubun berbonjol (Bulging fontanelle)
* Kekejangan leher
* Sawan
* Kurang tahap kesedaran diri dan kurang bertindak-balas
* Koma


Bagaimana meningitis boleh dipastikan?

Jangkitan meningitis hanya boleh dipastikan dengan sepenuhnya melalui pemeriksaan cecair tulang belakang. Pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan jenis kuman yang dijangkiti supaya pesakit boleh dirawat dengan antibiotik yang betul.

Apakah komplikasi meningitis?

Meningitis adalah jangkitan otak yang serius. Dalam kadar 10%, ia boleh mendatangkan maut dan 30% lagi boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang. Rawatan awal dengan antibiotik yang tepat dan jangka waktu yang cukup adalah penting untuk mengelak atau mengurangkan komplikasi-komplikasinya.

Komplikasi jangka panjang yang boleh berlaku termasuk:

* Sawan
* Hydrocephalus (pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan kepala membesar dengan mendadak)
* Lewat atau kemerosotan perkembangan
* Kurang upaya pendengaran / pertuturan
* Kurang upaya penglihatan
* Lumpuh / Cerebral palsi


Bagaimana meningitis boleh dirawat?

* Lazimnya, antibiotik yang sesuai akan diberi selama satu hingga dua minggu bergantung kepada jenis bakteria yang dijangkiti dan respon pesakit kepada rawatan yang diberi.

* Pesakit yang tidak sedar diri atau mempunyai sawan yang susah dikawal lazimnya memerlukan rawatan di unit rawatan rapi dengan pertolongan alat pernafasan, rawatan khusus untuk mengawal sawan, mengurangkan bengkak dan tekanan dalam otak dan lain-lain rawatan sokongan yang perlu.

Bagaimana meningitis boleh dicegah?

* Sesetengah jenis meningitis bakteria boleh dicegah melalui suntikan pelalian kanak-kanak. Minta nasihat doktor.

* Untuk mengelakkan jangkitan meningitis daripada merebak kepada ahli keluarga terutamanya kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun, antibiotik yang tertentu akan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi terutamanya jika kanak-kanak itu dijangkiti oleh bakteria Haemophilus influenzae atau Neisseria meningitides.

SAKIT TELINGA



Pengenalan

Jangkitan telinga adalah masalah kesihatan yang kerap dihidapi oleh kanak-kanak. Ianya menyebabkan gangguan tidur dan pemakanan kanak-kanak. Mereka mungkin akan sentiasa menangis tanpa diketahui sebabnya. Kebanyakan kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya 1 jangkitan telinga sebelum berusia 2 tahun.

Apakah perbezaan jenis jangkitan telinga ?

Ada 2 jenis jangkitan telinga:

* Otitis media adalah jangkitan telinga yang berlaku apabila virus, bacteria atau kulat menyerang tiub eustachian (saluran yang menghubung sinus dibelakang hidung ke telinga tengah)
* Otitis externa ialah jangkitan telinga yang berlaku di saluran telinga luar.

Otitis externa
Otitis externa

Apakah faktor seseorang itu cenderung mendapat jangkitan telinga ?

* Jangkitan disaluran pernafasan yang berulang-ulang
* Adik beradik yang dijaga di pusat harian.
* Bayi yang diberi susu botol
* Terdedah kepada asap rokok
* Pembesaran adenoids
* Sumbing bibir
* Alahan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan telinga

Bagaimanakah kita mengetahui kanak-kanak mendapat jangkitan telinga?

Kebiasaan kanak-kanak akan mendapat jangkitan telinga selepas mendapat selesema atau jangkitan di salur pernafasan. Tanda-tanda biasa ialah:

* Kesakitan dalam telinga
* Resah dan mudah meradang
* Tidur yang selalu terganggu
* Selalu merentap dan menarik cuping telinga
* Nanah keluar dari telinga
* Kurang selera makan
* Lelehan hidung
* Selalu menangis sebelah malam semasa tidur
* Kurang terangsang dengan bunyi yang perlahan

Apakah tanda-tanda yang dicari oleh doktor apabila pesakit disyaki menghidap jangkitan telinga?

Mengalami demam panas, tekak yang merah dan meradang dan mengalami lelehan hidung.
Semasa pemeriksaan telinga, saluran telinga nampak merah dan selaput tympanic bengkak dan ada-kalanya bernanah.

Apakah komplikasi yang akan timbul akibat jangkitan telinga?

Kebanyakkan kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya tetapi sebahagiannya mungkin akan mengalami :

* Telinga bernanah yang kronik
* Kurang pendengaran
* Lembap dalam pembelajaran terutama jika rawatan yang diberikan lewat atau tidak sempurna.

Bagaimanakah rawatan jangkitan telinga?

Dapatkan nasihat dan rawatan awal dari doktor jika terdapat tanda-tanda jangkitan telinga.
Jika jangkitan telah dikenalpasti, rawatanya adalah:

* Ubat mencairkan kahak (samada secara topical or sistemik)
* Ubat demam
* Antibiotik diberi jika jangkitan disebabkan oleh bakteria
* Ubat titis telinga jika nanah keluar dari telinga.
* Gunakan teknik ‘ear weaking’ untuk mengeringkan nanah dalam telinga

Jangkitan telinga yang berulang-ulang:

* Mungkin disebabkan oleh alahan dan harus dirawat mengikut puncanya.
* Lakukan ujian pendengaran dan pergerakan gegendang telinga pada satu ketika kemudian

Adakah terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah jangkitan telinga?

Ya, langkah yang baik ialah :
1. Susukan bayi anda dengan susu ibu.
2. Jauhkan anak anda dari mereka yang mengalami batuk dan selesema bagi mengelakkan jangkitan.
3. Ajar anak anda supaya selalu mencuci tangan dengan bersih.
4. Elakkan dari menyentuh mata dan hidung.
5. Elak :-

* Terdedah kepada asap rokok
* Penggunaan puting
* Penyusuan susu botol semasa baring
* Alahan yang diketahui

Selalu ingat “Pencegahan adalah lebih baik dari rawatan”

Apakah kesan dalam jangka masa panjang?

Kebanyakan kanak-kanak tidak mengalami komplikasi untuk jangka masa panjang. Kanak-kanak yang semakin membesar akan mempunyai tiub eustachian yang berfungsi dengan lebih baik, jangkitan batuk, selesema dan telinga juga akan berkurangan.

SAKIT TEKAK



Pengenalan

Sakit tekak merupakan gejala yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, biasanya diikuti dengan gejala bersin dan batuk. Lazimnya ia juga merupakan penyebab kita berjumpa doktor dan dikenali sebagai demam selesema di kalangan orang ramai.

Sakit tekak adalah indikasi yang kerap kepada preskripsi antibiotik dalam masyarakat, memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan yang penting dan boleh menjurus kepada peningkatan daya tahan antimicrobial dengan sebaran luas dan penggunaan antibiotik yang tidak sesuai.

Pada tahun 1984, kajian yang berasaskan hospital telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kota Bharu dan Hospital Ipoh, Jangkitan Saluran Pernasafan Akut (ARIs) adalah penyebab kepada 44.1% kemasukkan pesakit paediatrik . Tanpa diragui, URTI adalah alasan yang paling biasa untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta dan klinik pesakit luar di hospital.

Agen Penyebab

Virus merupakan penyebab yang biasa kepada masalah sakit tekak jika dibandingkan dengan patogen bakteria.

Kumpulan A Streptococci adalah bakteria yang paling biasa penyebab kepada jangkitan pada saluran tekak yang akut, kira-kira 15%-30% kes di kalangan kanak-kanak. Ia merupakan satu-satunya bentuk jangkitan tekak yang biasa di mana rawatan antibiotik diperlukan.
Tanda dan Gejala

Gejala-gelaja demam biasanya timbul pada 1 hingga 3 hari selepas terdedah kepada virus demam selsema. Tanda dan gejala demam selesema termasuklah:
# Hingus meleleh

# Gatal dan sakit tekak

# Batuk

# Rasa sesak

# Sakit-sakit badan atau sakit kepala ringan

# Kerap bersin

# Mata berair.

# Demam dengan suhu tidak terlalu tinggi

# Kepenatan


Sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, tanda dan gelaja adalah seperti berikut:
# Gejala di kalangan kanak-kanak atau orang dewasa biasanya demam panas dan toksik (sakit yang lebih teruk)

Gejala

Sakit tekak secara tiba-tiba, rasa sakit semasa menelan makanan, demam, sakit kepala, sakit di bahagian abdomen, loya dan muntah.

Tanda

Tidak semua pesakit memperolehi sindrom yang teruk secara keseluruhan dan dalam banyak kes, sindrom adalah ringan dan tidak ketara. Kemerahan dan cairan pada rongga mulut dan bintikan pada lelangit (petechiae), bengkak kemerahan pada uvula, bengkak dan keras pada anterior nodus cervical dan ruam.

Komplikasi

Kebanyakan sakit tekak tidak membawa apa-apa komplikasi.

Komplikasi akibat Kumpulan A Streptococcal pada jangkitan farinks termasuklah sama ada bernanah dan tidak bernanah.

Komplikasi bernanah adalah nanah pada peritonsillar (PTA) dan nanah pada retropharyngeal (RPA). Nanah pada peritonsillar adalah komplikasi yang paling biasa dalam kes jangkitan tonsil akut. Kira-kira 15-36% pesakit yang mengalami PTA adalah mereka yang pernah mengalami jangkitan oropharyngeal.

Komplikasi tanpa nanah pula termasuklan demam sakit-sakit sengal tulang akut, masalah ginjal (buah pinggang akut) dan arthritis yang reaktif. Komplikasi tanpa nanah yang paling penting ialah demam reumatik akut yang berlaku lebih kurang 3 minggu selepas streptococcal pharyngitis.
Rawatan

Perawatan sakit tekak termasuklah:

Rawatan berdasarkan gejala.

Virus merupakan agen penyebab utama dalam kes sakit tekak. Rawatan yang dibuat mengikut gejala adalah sudah memadai.
1. Rawatan umum termasuklah mengekalkan pengambilan cecair (minum air) dan kumur dengan air suam.

2. Pengambilan Paracetamol adalah efektif dan selamat selamat segi analgesic dan antipyretic. Ia merupakan pilihan ubat untuk analgesia dalam sakit tekak. Pengambilan aspirin tidak digalakkan untuk kegunaan umum terutamanya untuk kanak-kanak kerana berisiko untuk sindrom Reye's.

3. Agen Anti-Inflammatory Bukan Steriod (NSAIDs) Ibuprofen (NSAID) telah meningkat penggunaannya sekarang untuk rawatan kesakitan dan demam di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami sakit tekak.

4. Lozenges (ubat kemam) untuk tekak dan ubat kumur kerap digunakan, dan ianya boleh membantu meredakan sakit tekak dan melegakan rasa ketidakselesaan tekak.

Terapi Antibiotik
Hanya sedikit peratusan sakit tekak disebabkan oleh bacteria (kumpulan A Streptococci) yang menyebabkan demam reumatik akut. Penggunaan antibiotik mengurangkan kejadian komplikasi dengan nanah dan dengan bukan nanah akibat sakit tekak. Oleh itu, bagi pesakit yang mengalami pharyngitis akut, keputusan klinikal yang biasanya perlu dilakukan adalah sama ada pharyngitis adalah berkaitan dengan Kumpulan A Streptococci.

Pesakit yang mengalami streptococcal pharyngitis akut perlu menerima terapi seperti penicillin dan penicillin semi sintetik, ampicillin dan amoxicillin. Penggunaan Erythromycin adalah sesuai digunakan sebagai alternatif untuk pesakit yang alah kepada penicillin.

Rawatan Pembedahan, termasuk Tonsillectomy

Episod kejadian sakit tekak yang berulang di kalangan kanak-kanak dengan gejala halangan seperti berdengkur mungkin memerlukan Tonsillectomy selepas mendapat rundingan pakar ENT.

Dalam kes penanahan peritonsillar atau quinsy, tanda-tanda yang memerlukan tonsillectomy adalah apabila nanah gagal menunjukkan tindakbalas kepada antibiotik yang sesuai bersama-sama dengan ‘incision’ dan ‘drainage’. Tonsillectomy juga perlu dilakukan apabila pesakit mempunyai quinsy dan mempunyai sejarah jangkitan tonsil yang berulang.

LELAH/ASMA



Satu contoh kanak-kanak yang menghidap penyakit lelah boleh dilihat daripada riwayat kes dibawah ini.

Ismail yang berumur enam tahun dibawa oleh ibunya ke klinik kanak-kanak
kerana selalu batuk. Dari umur setahun setengah lagi Ismail selalu dikatakan
batuk terutamanya pada masa cuaca sejuk atau pada musim hujan. Dia selalu
terjaga pada waktu malam dalam keadaan terbatuk -batuk dan sesak nafas dan
kadangkala pernafasannya berbunyi. Rawatan yang diberi oleh doktornya kadangkala
dapat mengurangkan keadaan ini tetapi penyakit ini selalu datang kembali . Di waktu
dia bersekolah di tadika dia selalu tidak hadir. Ismail tidak dapat bermain bersama
kanak -kanak lain kerana cepat penat. Guru sekolahnya mendapatisukar
menumpukan perhatian pada pelajaran dan dia selalu terbatuk -batuk di dalam kelas.

Ismail merupakan seorang kanak -kanak yang besar kemungkinan mengalami keadaan yang dipanggil' asthma ' atau lelah. Lelah kerap berlaku di kalangan kanak -kanak. Adalah dianggap sebagai satu keadaan yang mencemaskan dan merbahaya tetapi dengan adanya maklumat -maklumat baru tentang penyakit ini dan ubat -ubatan yang sangat berkesan kini ia tidak lagi merupakan satu penyakit yang sukar diubati. Selain daripada rawatan , pengetahuan perlu diberi kepada ibu bapa kanak -kanak berkenaan supaya mereka sendiri dapat mengambil langkah -langkah untuk mencegah lelah. Jika penyakit ini tidak dikawal , tumbesaran , perkembangan intelek serta pergaul sosial dan keyakinan pada diri sendiri kanak -kanak yang menghidapinya mungkin rendah dan perasaan seperti ini akan berlanjutan hingga dia dewasa. Memandang kepada hakikat inilah maka adalah mustahak bagi ibu bapa mengenali tanda -tanda penyakit lelah supaya anak -anak mereka itu akan dapat diperiksa dan dirawat dengan sempurna.

Apakah yang dikatakan penyakit lelah ?

Lelah ialah keadaan di mana saluran pernafasan menjadi sempit menyebabkan seseorang itu susah bernafas dan mungkin berbunyi pernafasannya ( ini dipanggil wheezing ). Dia terbatuk -batuk dan batuknya itu banyak mengeluarkan kahak. faktor -faktor yang boleh menyebabkan lelah di kalangan kanak -kanak boleh dibahagikan kepada 3 kategori :

1. Unsur alahan

2. Unsur jangkitan seperti kuman virus yang membawa penyakit di saluran pernafasan.

3. Unsur emosi.

Unsur alahan berbeza di antara kanak -kanak. Unsur -unsur alahan yang biasa terdapat ialah telur ayam , bulu kucing dan sejenis organisma yang terdapat pada habuk -habuk. Seseorang kanak -kanak yang alah kepada organisma habuk -habuk apabila menyedut udara yang penuh dengan habuk -habuk apabila menyedut uadara yang penuh dengan habuk -habuk ini boleh lelah. Kanak -kanak bergini , apabila sahaja terjangkitan kuman virus yang biasa menyebabkan batuk selsema boleh lelah.

Tekanan emosi boleh timbul dikalangan kanak -kanak apabila dia terdedah kepada suasana yang kurang menyenangkan. Umpamanya kanak -kanak yang sensitif yang mula bersekolah boleh mendapat lelah akibat gangguan emosi. Tetapi perlu diketahui bahawa suasana di sekolah boleh membawa unsur -unsur lain yang boleh menyebabkan seseorang kanak - kanak itu lalah seperti jangkitan virus dan pendedahan kepada berbagai -bagai lagi unsur alahan.

Kanak -kanak yang lelah mempunyai saluran pernafasan sangat sensitif di mana saluran pernafasannya mudah sempit ekoran dari unsur alahan , jangkitan dan gangguan emosi.

Seseorang yang lelah tidak semestinya menunjukan tanda pernafasan yang berbunyi ( wheezing ). Batuk yang tidak berhenti -henti sepanjang masa sama ada di waktu siang atau malam mungkin berpunca dari kesempitan saluran pernafasan atau lelah. Adakalanya kanak - kanak yang menghidap penyakit ini susah bernafas dan terbatuk selepas menjalani aktiviti jasmani. Ada pula kanak - kanak yang lelah yang selalu batuk pada waktu malam terutama pada jam 2 pagi hingga 6 pagi dan terpaksa duduk kerana susah bernafas ( nocturnal asthma ).

Para penyelidik Immunologi telah dapat menunjukkan bagaimana sesuatu unsur alahan dapat menimbulkan asthma. Seseorang akan lelah jika menyentuh sesuatu unsur alahan ( allergen ) seperti satu organisma yang terdapat dalam hama - hama atau habuk ( Dermatophagoides ) dan ini akan bercantum dengan antibodi di dalam darah. Kombinasi antigen - antibodi ini akan melekat pada sel - sel yang di panggil mast cell , mengakibatkan pengeluaran bahan - bahan kimia seperti ' histamine ' , SRS-A dan beberapa lagi bahan - bahan kimia yang akan menyebabkan kesempitan saluran pernafasan. Ini adalah cara reaksi immunologi yang biasa sekali terdapat pada kanak - kanak yang menghidap lelah ( allergic asthma ).

Bolehkah kita mengenali bayi - bayi yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat lelah ?

Para penyelildik dalam bidang alahan telah dapat mengenali bayi - bayi yang berkemungkinan tinggi untuk mendapat lelah apabila mereka besar . Caranya ialah dengan mengukur tahapsatu jenis antibodi yang dipanggil IgE dari darah yang diambil dari darah saluran uri ( cord blood ) selepas kelahiran bayi. Seseorang bayi yang ada riwayat alahan didalam keluarganya serta mempunyai tahap antibodi IgE yang tinggi dalam saluran darah urinya memang berkemungkinan besar untuk menghidap penyakit lelah pada masa akan datang.

Apakah yang perlu dibuat jika lelah menyerang kanak - kanak ?

Ibu bapa hendaklah sentiasa bertenang supaya anak mereka itu tidak mudah berasa takut kerana ini boleh memburukkan lelahnya itu. Ubat - ubatan yang boleh mengembangkan saluran pernafasan sama ada diberi dengan cara pil atau dengan cara sedutan ( inhalation ) boleh digunakan dengan berkesan untuk meredakan keadaan. Jenis dan cara pemberian ubat ini akan ditetapkan oleh doktor mengikut keterukan lelah dan umur kanak - kanak itu tetapi memang diakui yang ubat - ubatan ini jika diberi dengan cara menyedut adalah lebih selamat kerana dos yang digunakan adalah kecil kalau dibandingkan dengan dos yang terdapat dari pil - pil. Jika kesesakan nafas meningkat hingga kanak - kanak itu berasa resah tidak berupa bercakap , adalah dinasihatkan supaya dia dibawa berjumpa doktor.

Ada beberapa jenis ubat - ubatan yang boleh digunakan oleh para doktor seperti ubat yang mengandungi bahan theophylline , steroid , sodium chromoglycate dan ketotifen. Walaupun pengunaan ubat - ubatan ini mungkin berbeza sedikit di antara doktor - doktor , ada suatu prinsip umum yang dipatuhi oleh mereka. Faktor - faktor seperti unsur alahan , unsur jangkitan , gangguan emosi , tekanan jasmani dan sebagainya patut diambil kira kerana maklumat - maklumat ini akan dapat membantu seseorang doktor itu memberi nasihat dan rawatan yang sewajarnya kepada ibubapa. Ada ubat - ubatan yang khusus bagi memberhentikan lelah dan untuk digunakan bagi mengelakkan berlakunya lelah.

Satu perkara yang penting difikirkan apabila seseorang kanak - kanak itu sesak nafas ialah kemungkinan saluran pernafasan tersekat oleh benda - benda seperti biji kacang atau biji saga dan sebagainya kerana ini menampakkan satu keadaan yang seakan - akan penyakit lelah. keadaan ini memerlukan rawatan khas dengan segera untuk mengelakan kerosakan pada paru - paru yang boleh membawa maut.

Bagaimana hendak mencegahnya

Pokok dari program pencegahan lelah ialah menghindar unsur alahan. Unsur - unsur alahan yang biasa dikenali ialah organisma yang terdapat dari habuk habuk , bulu - bulu kucing atau anjing , "pollen " dari pokok - pokok , telur , susu lembu atau makanan laut seperti kerang. Ibu bapa sendiri perlulah perhatikan unsur - unsur yang membawa kepada lelah di kalangan anak - anak mereka kerana unsur alahan berbeza diantara kanak - kanak. Merokok dihadapan kanak - kanak tidaklah digalakkan kerana asapnya boleh menyebabkan kanak - kanak itu mendapat lelah. Kadangkala makanan - makanan yang sejuk seperti aiskrim dan air jus buah - buahan boleh menyebabkan kanak - kanak itu menghidap lelah.

Walaupun ukuran antiobodi IgE tidak mudah diuruskan dari saluran darah uri adalah digalakkan ibu - ibu yang mempunyai alahan yang kuat dalam keluarganya memberi susu badan kepada anak - anak yang baru dilahirkannya dan melambatkan pemberian susu tepung formula dan makanan peralihan yang lain kerana ada data - data yang menunjukkan bahawa pemberian makanan - makanan ini kepada bayi dibawah usia tiga bulan boleh menyebabkan bayi - bayi menghidap penyakit alahan.

Dalam usaha mengenali alahan - alahan para doktor menyarankan supaya ujian - ujian kulit dijalankan keatas kanak - kanak yang menghidap lelah. Ujian ini dijalankan dengan mengunakan ' antigen ' yang disyaki sebagai unsur alahan kepada seseorang kanak - kanak itu.

Ujian - ujian ini kadangkala boleh mengelirukan kerana walaupun seseorang itu sudah dipastikan alah kepada sesuatu unsur mengikut keputusan ujian ini tidak semestinya pendedahan kepada unsur ini akan menimbulkan lelah.

Untuk merawat lelah dengan berkesan ibu bapa perlulah memahami keadaan ini dan bekerjasama dengan para doktor supaya nasihat yang disarankan diikuti dengan seberapa boleh. Pengawasan dan rawatan mungkin terpaksa diteruskan dengan berpanjangan untuk memastikan fungsi pernafasan kanak - kanak itu tidak terjejas.

Kesimpulan

Ibu bapa yang anaknya lelah perlu tahu dengan mendalam tentang penyakit ini kerana mereka memainkan peranan yang penting di dalam program rawatan anak mereka itu. Mereka perlu mengetahui faktor - faktor yang boleh menyebabkan berlakunya lelah supaya dapat diawasi faktor - faktor seperti alahan , jangkitan , emosi dan sebagainya .

Ubat - ubatan yang ada sekarang adalah efektif untuk merawat dan mencegah lelah. Tidak ada sebab mengapa sebahagian besar kanak - kanak yang menghidap lelah itu tidak boleh menjalani aktiviti - aktiviti seharian sama seperti kanak - kanak biasa kalau mereka mendapat rawatan dengan sempurna. Lelah yang berlaku diwaktu tidur pada waktu malam dan selepas menjalani aktiviti jasmani mesti dan boleh dicegah dengan ubat-ubatan yang ada pada masa kini

Sumber: http://home.hamidarshat.com/KesihatanKanak.htm

KUTU RAMBUT



Pengenalan

* Kutu adalah serangga parasit yang kecil, tanpa kepak yang menghisap darah.
* Serangan kutu rambut adalah biasa. Kanak-kanak berusia 3-10 tahun di prasekolah atau pusat jagaan harian lebih terdedah kepada serangan ini. Ia mudah merebak, terutama di kalangan kanak-kanak sekolah, melalui sentuhan terus dan perkongsian barangan peribadi.
* Kutu rambut akan mati jika terpisah dari kepala manusia selama lebih dari 2 hari.

Gejala & Tanda

1. Rasa gatal yang keterlaluan.
2. Kutu pada kulit kepala dan telur kutu pada pangkal rambut mudah dilihat pada bahagian tengkuk dan pada belakang telinga.
3. Ia dilihat sebagai bonjolan kecil berwarna merah pada kulit kepala, leher dan bahu.

Rawatan

* Jika kanak-kanak yang dijangkiti berusia kurang dari 2 tahun, gunakan sikat untuk mengalihkan kutu dan telur kutu tetapi jangan gunakan ubat kutu.
* Periksa semua ahli keluarga dan rawat mereka jika didapati terdapat kutu atau telur kutu.
* Perapi rambut mungkin menutup atau melindungi kutu rambut, jadi perapi rambut tidak harus digunakan sebelum menyapu ubat pembasmi kutu.
* Gunakan air panas untuk membasuh cadar dan pakaian yang telah digunakan oleh mereka yang dijangkiti kutu rambut sejak 2 hari lepas.
* Semua perkara yang tidak boleh dibasuh seperti permainan yang dibuat dari kain harus diisi dalam beg plastik selama 2 minggu. Beg tersebut hanya boleh dibuka di luar rumah. Pilihan lain yang boleh dibuat ialah dengan melakukan cucian kering.
* Sikat dan berus perlu dinyahkuman dalam air panas atau alkohol. Rendam selama 5 minit atau lebih di dalam air yang betul-betul panas.
* Lantai dan perabut, terutama sekali sofa dan kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak harus dibersihkan dengan pencuci hampagas. Beg hampagas harus dibuang serta-merta selepas itu.
* Jika kutu didapati pada kanak-kanak yang bersekolah, maklumkan pada jururawat sekolah atau guru supaya kutu dapat dihalang daripada merebak. Kanak-kanak dinasihatkan supaya jangan berkongsi topi, sikat dan lain-lain barangan peribadi di sekolah.

Rawatan untuk kutu rambut adalah seperti :

1. Gamma benzene hexachloride (lindane)
2. Malathion

Pencegahan

* Ahli keluarga digalakkan supaya selalu memeriksa kanak-kanak secara berkala kerana jangkitan semula boleh berlaku.
* Basuh pakaian, cadar, sikat dan berus untuk mengelakkan jangkitan semula.
* Rawatan pencegahan menggunakan ubat pembasmi kutu adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan penyakit lain dan kegatalan yang berterusan.
* Pendidikan kesihatan tentang kitaran hidup kutu, kebersihan diri dan perkara-perkara lain amat berguna.

Sumber : http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Ubat/UbatKutuRambut%20.php

KUDIS BUTA



Apa itu kudis buta?

Kudis buta ialah keadaan kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh gigitan kutu yang bernama Sarcoptes Scabiei. Perihal Sarcoptes Scabies :

* Ianya berbadan bulat dan mempunyai lapan kaki yang panjang.
* Kutu ini berukuran 0.4 mm panjang setiap satu.
* Kutu betina akan mengorek masuk kedalam kulit, mengeluarkan telur dan mati.
* Telur-telur akan menetas menjadi kutu dan hidup selama 30 hari.

Kudis buta bukanlah tanda-tanda kurangnya penjagaan kebersihan. Walaubagaimanapun, ianya cenderung berlaku ditempat-tempat tinggal yang sesak sepeti asrama dan rumah asuhan.

Apakah tanda-tanda dan gejala kudis buta?

Kudis buta biasanya berkait dengan :

1. Kegatalan kulit yang teramat sangat, yang mana ianya lebih teruk diwaktu malam dan selepas mandi air panas.
2. tanda-tanda calar kesan daripada menggaru.
3. Bintik merah – seperti ruam terutama dikawasan kedua-dua tapak tangan dan kaki.
4. Garisan hitam beralun dan pendek pada kulit (tempat korekkan kutu)

Nota: Kegatalan adalah disebabkan oleh reaksi alahan kepada kutu.

Kawasan yang biasa dijangkiti

Tempat-tempat yang biasa ialah :

* Dicelah-celah jari.

Scabie
Kudis buta yang menjangkiti kawasan dicelah-celah jari

* Tapak tangan
* Bahagian dalam pergelangan tangan

Kawasan-kawasan lain termasuk :

* Kawasan kemaluan.
* Punggung
* Sekitar pusat.
* Celah-celah ketiak.
* Siku
* Kaki dan buku lali.

Bagaimana ianya merebak?

Kudis buta senang merebak dari seorang ke seorang yang lain melalui:

* Sentuhan kulit ke kulit.
* Menyentuh pakaian atau cadar yang dijangkiti (jarang)

Apakah rawatan untuk kudis buta?

Ubatan yang boleh membunuh kutu dinamakan scabicides. Ianya berbentuk krim atau losyen disapu pada kulit. Ini termasuk:

* Losyen benzyl benzoate
* Krim gamma benzene hexachloride
* Losyen malathion

Dimana ianya disapu?

* Daripada bawah dagu hingga kehujung jari-jari kaki.
* Semua kawasan yang terlibat, termasuk kawasan dicelah-celah jari, bawah kuku dan kemaluan.

Bagaimana ianya disapu?

* Ubatan disapu dan biarkan semalaman sebelum membilasnya esok pagi.
* Rawatan perlu diambil untuk 1-3 malam berturut-turut mengikut nasihat doktor.

Pakaian dan cadar perlu dibasuh dengan air panas.

Semua ahli keluarga perlu dirawat pada masa yang sama, tidak kira samada mereka ada rasa gatal atau tidak.

Kegatalan mungkin berterusan untuk beberapa minggu selepas rawatan berhasil. Ubatan untuk mengurangkan kegatalan mungkin perlu diteruskan untuk beberapa minggu.

Pencegahan dari merebak kepada orang lain

1. Jauhi kanak-kanak yang dijangkiti dari sekolah/taman kanak-kanak sehingga selesai rawatan.
2. Rawat seluruh ahli keluarga serentak

sumber:
http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/KudisButakanak.php

Tuesday, December 8, 2009

TIBI



Apakah itu TIBI?

TIBI ialah sejenis penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan sempurna. Disebabkan oleh bacteria TIBI (Tubercle Bacilli) dan hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Bakteria ini biasanya menjangkiti paru-paru dan boleh menyerang organ-organ lain seperti selaput otak, tulang, kelenjar leher, buah pinggang, kulit dan lain-lain.

Bagaimana TIBI Merebak ?

Bakteria TIBI disebarkan melalui udara. Pesakit TIBI yang menderita akan mengeluarkan berjuta-juta bacteria TIBI terawang-awang di udara seketika apabila bersin atau batuk. Individu yang menyedut udara tercemar ini mempunyai peluang dijangkiti bacteria TIBI. Biasanya pesakit TIBI boleh menyebarkan bacteria TIBI kepada individu yang berhubung rapat dengannya.

Tanda-Tanda TIBI

* Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu
* Kahak yang mungkin mengandungi darah
* Demam dan berpeluh di sebelah petang dan malam
* Susut berat badan dan hlang selera makan
* Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang
* Mudah menjadi letih

Cara Mengesan Penyakit TIBI

Jika anda mengalami batuk yang berterusan atau tanda-tanda yang disebutkan tadi hendaklah :-

1. mendapatkan pemeriksaan doktor
2. melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria TIBI
3. menjalani pemeriksaan x-ray dada

Rawatan

Penyakit TIBI mengambil masa 6 bulan di bawah penyeliaan anggota-anggota kesihatan yang dilantik.

* 2 bulan pertama dengan 4 jenis ubat diambil setiap hari
* 4 bulan berikutnya dengan 2 atau 3 jenis ubat yang diambil 2 kali seminggu

Pencegahan

* Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut dna pada umur 12 tahun.
* Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor
* Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap TIBI dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan

sumber: http://www.infosihat.gov.my/fakta/file/HEALTHFACTS2006.pdf

JANGKITAN KULAT



Apakah itu kulat?

Kulat adalah sejenis kuman yang boleh didapati dimana-mana bahagian badan kita seperti rambut, kulit dan kuku. Ia hidup di tempat yang hangat dan lembab. Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah mendapat jangkitan kulat kerana mereka suka berkongsi barang-barang mereka dan berpelukan sesama mereka.

Apakah jenis-jenis jangkitan kulat?

Jenis-jenis ini boleh diklasifikasikan mengikut lokasinya :

* Tinea capitis (kulit kepala)
* Tinea corporis ( badan)
* Tinea manuum (tangan)
* Tinea pedis (kaki) atau dipanggil ‘athlete’s foot’.

Apakah faktor-faktor yang menambahkan lagi risiko kepada jangkitan kulat?

* Bersesak-sesak di kawasan yang panas dan lembab
* Amalan cara hidup yang tidak bersih – seperti berkongsi tuala, memakai pakaian lembab, memakai stokin yang sama berulang kali, kuku panjang, berjalan tanpa kasut.
* Lain-lain masalah perubatan – seperti Penyakit diabetis mellitus yang tidak terkawal, HIV atau masih dalam satu rawatan perubatan yang panjang yang mana ini melemahkan sistem immunisasi (cth: rawatan cancer)

Apakah tanda dan simptom jangkitan kulat?

Jangkitan pada kuku seperti berikut :

* Kuku menjadi rapuh
* Kasar
* Kusam
* Herot benyot (bentuk)

Tinea pedis (kaki) atau dipanggil ‘athlete’s foot’.

* Terjadi di antara ibu jari dan bahagian kaki yang lain.
* Rasa gatal dan pedih di bahagian yang basah

Tinea capitis (kulit kepala)

* Keadaan kemerahan di kulit kepala
* Rambut menjadi rapuh
* Boleh menyebabkan ada bahagian yang botak.

Tinea corporis ( badan)

* Badan kemerahan dan bersisik di bahagian tengah kulit yang dijangkiti.
* Mungkin juga menjadi ruam berbentuk bulat
* Gatal-gatal.

Rasa gatal ini akan lebih ketara apabila berehat.

Bagaimana jangkitan kulat ini boleh dirawat?

Dapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan diagnosa yang tepat supaya itu rawatan yang betul dapat diberi. Cara menguruskan penyakit ini termasuklah :

* Menjaga kebersihan diri dengan baik
* Gunakan anti-septik seperti KMN04 (Potassium permanganate) untuk kulit basah.

Antikulat

* Ubat-ubatan yang diberi samada suntikan atau secara oral.
* Krim/Gel untuk disapu

Bagaimana jangkitan kulat ini boleh dicegah?

* Amalkan jagaan kebersihan diri
o Jangan berkongsi tuala mandi, tukar stokin dengan kerap
o Pakai alas kaki bila berjalan/ bermain dan jaga kebersihan kuku.
* Basuh kaki dan jari-jari dengan bersih sekurangnya sekali sehari
* Jangan memakai kasut yang terlalu ketat.
* Keringkan kasut anda setiap malam
* Pakai pakaian longgar.

Sumber:
http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/JangkitanKULATkanak_kanak.php

HIV/AIDS



Apa itu HIV?

HIV (Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) merupakan virus yang memusnahkan system imunisasi badan, menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan kanser. AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit Akut Yang Teruk) merupakan peringkat yang mana pesakit yang dijangkiti HIV mula menunjukkan jangkitan yang khusus atau sel-sel pertahanan badan turun sehingga 200/µl. Virus terdapat dalam darah, semen, cecair badan,lelehan vagina dan susu ibu individu yang terkena jangkitan. Individu yang terkena jangkitan akan membawa virus(dan dapat memindahkan virus) tersebut sepanjang hayat mereka.

HIV boleh merebak melalui darah yang telah dijangkiti HIV dan cecair badan seperti ketika melakukan hubungan seks,berkongsi jarum suntikan sesama penagih dadah, dari ibu yang mengandung kepada anak yang dikandung(sebelum atau ketika kelahiran atau melalui susu ibu). Virus tidak boleh merebak melalui sentuhan biasa seperti tinggal serumah, ataupun bekerja bersama pembawa HIV. Sejak AIDS dilaporkan pertama kalinya pada tahun 1986 hinggalah tahun 2004,sejumlah 60,621 kes jangkitan berlaku dan 8294 AIDS kes berlaku di Malaysia.

Apakah gejala dan tanda-tanda ?

Pada mulanya bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala. Apabila kesan jangkitan berterusan dan system imunisasi menjadi lemah, gejala jangkitan akan muncul seperti :

* Pembengkakan pada nodus limfa, hati atau limpa
* Ruam pada kulit
* Serawan Mulut(tompok-tompok putih dalam mulut)
* Jangkitan yang berulang-ulang dan berpanjangan
* Demam yang berpanjangan atau cirit-birit
* Pertumbuhan terbantut

Gejala-gejala ini biasanya berlaku dalam tempoh dua tahun kelahiran bayi yang dijangkiti HIV. Pada peringkat akhir, pesakit akan mati akibat pelbagai jangkitan dan kanser

Apakah komplikasinya?

HIV adalah jangkitan berterusan yang serius. Komplikasi berlaku dengan melemahkan system imunisasi badan secara berterusan, hingga menyebabkan pendedahan jangkitan dan kanser .

Adakah terdapat rawatan bagi jangkitan HIV?

Setakat ini masih belum terdapat rawatan bagi jangkitan HIV. Walaubagaimanapun, terdapat ubat yang boleh melemahkan virus HIV. Kombinasi ubat ini dapat membantu pesakit mengawal pertumbuhan virus dan ia juga dapat memperlahankan kemusnahan system imunisasi. Ia juga efektif bagi memanjangkan umur serta meningkatkan kualiti hidup pesakit

Adakah ia dapat dicegah?

Jangkitan HIV dapat dicegah dengan :

* Elakkan berkogsi jarum suntikan
* Elakkan daripada melakukan hubungan seks yang tidak selamat ataupun seks secara rambang
o Elakkan berbilang pasangan
o Gunakan Kondom

Akhir-akhir ini rawatan antiviral ke atas ibu yang dijangkiti HIV dapat mengurangkan peluang jangkitan ke atas bayi. Wanita mengandung digalakkan membuat ujian HIV seawal yang mungkin dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Adakah terdapat kumpulan sokongan ?

Kanak-kanak yang dijangkiti HIV boleh mendapatkan bantuan daripada Malaysian AIDS Foundation Paediatric AIDS Scheme (untuk maklumat lanjut sila dapatkan maklumat doktor) Maklumat lanjut ataupun kaunseling boleh diperolehi daripada Malaysian AIDS Council

sumber: http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/HIVkanak_kanak.php

Hepatitis B



Apakah maksud Hepatitis B

Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B, HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah kepada darah, cecair darah(serum) atau cecair dari alat kelamin mereka. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh menyebabkan bayi mereka terdedah kepada virus ini.

Bagaimanakah seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari dari hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak. Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B adalah :

* Penat
* Sakit kuning
* Gatal-gatal
* Hilang selera makan
* Hilang berat badan
* Sakit perut
* Sakit-sakit sendi

Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?

Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih dari jangkitan awal Hepatitis B.

Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:

* Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis)
* Cirrhosis hati (Liver cirrhosis)
* Kegagalan fungsi hati (Liver failure)
* Barah hati

Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan awal hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:

* Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak
* Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar
* Elakkan arak/alkohol
* Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain

Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan dari dijangkiti hepatitis B?

1. Hepatitis B boleh dielakkan dengan :
* Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang
* Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian (contohnya pisau pencukur)
* Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah

2. Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV.

Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu. Contohnya:

* Mereka yang belum pernah mendapat pelalian hepatitis sebelum ini
* Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual
* Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah
* Kakitangan kesihatan
* Pesakit-pesakit dialisis

Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin.

sumber: http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/HepatitisBkanak_kanak.php

Hepatitis A



Apakah jangkitan Hepatitis A?

Hepatitis adalah jangkitan atau radang pada hati. Banyak faktor yang menyebabkan hepatitis boleh berlaku; jangkitan virus adalah salah satu daripadanya. Banyak virus yang boleh menyebabkan hepatitis samada secara langsung atau tidak langsung. Virus hepatitis memberi kesan yang besar ke atas hati. Terdapat beberapa jenis virus hepatitis(A,B,C,D,E dll). Hepatitis A disebabkan oleh virus hepatitis A, yang dipindahkan melalui najis, makanan atau air yang tercemar.

Apakah gejala dan tanda – tandanya?

Ia mengambil masa 15 hingga 40 hari untuk menjadi penyakit hepatitis A selepas mangsa dijangkiti virus tersebut. Tidak semua pesakit berasa sakit setelah dijangkiti hepatitis A. Sebahagian dewasa yang dijangkiti akan berasa sakit dan tidak sihat setelah dua minggu dijangkiti (kadangkala lebih). Kebanyakan kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda dan gejala selepas dijangkiti. Walaubagaimanapun, pesakit yang tidak menunjukkan gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Virus hepatitis A wujud dalam najis individu yang dijangkiti dalam masa dua minggu dan sehingga dua minggu selepas gejala bermula.

Gejala dan tanda-tanda termasuk :

* Hilang selera makan, loya
* Demam
* Muntah-muntah
* Kesakitan pada perut
* Keletihan
* Penyakit kuning, air kencing kotor, najis berwarna pucat

Di negara membangun, kebanyakan penduduk terdedah pada jangkitan semasa kecil dengan atau tanpa gejala.

Adakah terdapat komplikasi?

Tiada komplikasi jangka masa panjang untuk hepatitis A.Walau bagaimanapun, hepatitis A boleh memberi kesan yang serius pada warga tua di mana mereka memerlukan rawatan di hospital.

Adakah terdapat rawatan khusus ?

Tiada rawatan khusus bagi Hepatitis A. Rawatan am ialah:

* mendapatkan rehat yang cukup dan minum banyak air
* elak daripada minum alkohol
* individu yang dijangkiti harus berada di rumah sehingga tiada lagi kesan jangkitan (seminggu selepas sakit)

Bolehkah Hepatitis A dicegah?

Hepatitis A boleh di cegah melalui :

* Menjaga kebersihan diri (kerap basuh tangan selepas keluar daripada tandas dan selepas makan)
* Gunakan bekalan air yang bersih
* Membasuh buah-buahan dan sayuran sebelum dimakan
* Elak makan kerang mentah

Immunisasi vaksin Hepatitis A boleh mencegah jangkitan Hepatitis A secara efektif. Ia memberi perlindungan selama 12 bulan bagi dos yang diambil pertama kali dan 10 tahun selepas dos yang kedua. Vaksin Hepatitis A disyorkan kepada golongan berisiko tinggi termasuklah :

* Golongan yang melancong ke negara sedang membangun
* Pekerjaan berisiko tinggi, contohnya; bidang kesihatan, pekerja kumbahan.
* Golongan yang mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi
* Pusat jagaan kanak-kanak atau institusi yang menyediakan kemudahan
* Individu yang mempunyai penyakit hati yang kronik.

Seseorang yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit yang dijangkiti Hepatitis A harus diberikan antibodi dalam bentuk immunoglobulin. Ini amat berkesan untuk mencegah jangkitan dalam masa dua minggu pertama terdedah kepada pesakit(dapatkan nasihat doktor).Hepatitis A perlu dilaporkan jika berlaku. Ia bertujuan untuk mengenalpasti punca bagi menghalang jangkitan daripada merebak.

Sumber:
http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/HepatitisAkanak_kanak.php

DEMAM SAWAN



Pengenalan

2 -5% kanak-kanak boleh menghidap sawan deman dan lazimnya ini adalah sawan yang biasa.

Insiden

* Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun dan khususnya anak kecil yang baru bertatih (toddler).
* Lebih kurang 1 daripada 25 kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali.
* Sawan demam jarang terjadi kepada kanak-kanak yang berumur <>
* Jika sawan demam ini berlaku di kalangan kanak-kanak yang lebih tua, risiko untuk mendapat sawan demam yang berulang-ulang adalah lebih rendah.

Diagnosa

Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas mengecualikan sebab-sebab lain selain dari demam sahaja.

Tanda-tanda dan gejala

* Anak akan tidak sedar diri dan menyentak kedua-dua kaki dan tangan.
* Kadang-kadang anak mungkin boleh menjadi kejang atau menyentak satu atau lebih bahagian badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Kekejangan boleh berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
* Sawan demam jarang melebihi satu atau dua minit. Dalam kes dimana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan.
* Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
* Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5C
* Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau "sawan babi" adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
* Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam

Faktor-faktor risiko untuk sawan demam berulang

* Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
* Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
* Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik)
* Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.

Sawan demam yang berlarutan (melebihi 30 minit) tidak meningkatkan risiko sawan demam berulang.

Kesan jangkamasa panjang sawan demam

* Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan.
* Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.

Ada kajian mendapati kanak-kanak dengan sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan dapat menjalani ujian kecerdasan dengan baik seperti adik-beradik lain (yang tidak mengalami sawan demam).

Terdapat juga kes yang jarang berlaku - iaitu sawan yang sangat lama (lebih dari satu jam) - didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya. Kira-kira 3% daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi. Ini termasuk kanak-kanak dengan:

* Sawan demam yang panjang, melibatkan satu bahagian badan sahaja atau berulang dalam masa 24 jam.
* Perkembangan yang lambat.
* Ahli keluarga lain yang mengidap epilepsi.

Kanak-kanak tanpa sebarang risiko hanya mempunyai 1% peluang untuk mendapat epilepsi selepas sawan demam (risiko yang sama seperti orang lain).

Rawatan

Mengambil langkah-langkah kecemasan.

Mengawal sawan

* Majoriti kanak-kanak tidak memerlukan ubatan.
* Jika sawan berpanjangan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi.

Kemasukan ke hospital
Tidak semua kanak-kanak dengan sawan demam perlu di masukkan ke hospital. Walaubagaimanapun, kemasukkan ke hospital mungkin perlu jika:

* Takut sawan akan berulang
* Untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit.
* Untuk mencari dan merawat penyebab demam selain jangkitan otak.
* Untuk mengurangkan kebimbangan ibubapa.

Ujian makmal tidak diperlukan untuk mendiagnosakan sawan demam. Walaubagaimanapun, doktor mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, tebukan spinal (lumbar puncture) mungkin perlu dijalankan.

Mencegah demam sawan

Mengawal demam

* Beri ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam
* Mandi berjelum seluruh badan dengan air paip (bukan air sejuk).
* Beri anak anda minuman sejuk. Ini akan membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.

Pencegahan sawan dari berulang

* Majoriti kanak-kanak tidak perlu ubatan untuk mengelakkan sawan.
* Memberi ubat mengelakkan sawan (seperti Phenobarbital atau valproate) tidak digalakkan kerana tiada bukti ubatan ini boleh menghalang sawan demam dan pemberian ubatan ini boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.

Sumber: http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/DEMAMSAWANKanak_kanak.php