1. Peranan pihak pengurusan, guru dan organisasi sekolah.
Sekolah amat berperanan penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Hal ini kerana sekolah merupakan agen sosialisasi dan agen perubahan seseorang insan. Di sekolah jugalah nilai-nilai murni harus diterapkan dalam diri murid-murid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek JERIS iaitu, jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan matlamat dan objektif FPK.
Pengurusan sesebuah sekolah yang berkesan memainkan peranan yang penting untuk memastikan sekolah berkenaan mencapai matlamat yang diharapkan. Jika sesebuah sekolah ingin mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka pentadbir sekolah berkenaan perlulah mempunyai matlamat dan strategi yang jelas untuk mencapai maksud yang diharapkan. Kerjasama dan kesepaduan yang baik antara pentadbir dan guru-guru dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai prestasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Namun begitu, tidak semua guru dapat memberi kerjasama sepenuhnya antara satu sama lain.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak akan dapat dilaksanakan jika tidak ada pihak yang ingin mainkan peranan masing-masing. Pihak sekolah merupakan peranan terbesar dalam pelaksanaan FPK. Pendidikan itu bermula dari rumah tetapi sekolah merupakan tempat mendidik yang lebih khusus. Oleh itu, FPK ini dijalankan di sekolah. Di sekolah setiap individu memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Antara pihak yang berkaitan ialah:
- Guru Besar
- Guru Penolong Kanan
- Ketua Panitia
- Guru Bilik Darjah
· Guru Besar
Guru Besar merupakan tonggak utama di sekolah kerana beliaulah yang menguruskan dan menggerakkan semua hal yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah. Guru Besar merupakan ketua dan pemimpin yang perlu mempunyai matlamat, strategi, gaya dan pemantauan kepimpinan terhadap guru-guru ke arah pencapaian objektif sekolah. Jika Guru Besar tersebut seorang yang tidak berdisiplin, maka pincanglah segala perancangan dan pengurusan sekolah tersebut. Jadi, kecemerlangan sesebuah sekolah wajar dirintis oleh kepimpinan sekolah yang diterajui oleh Guru Besar untuk melahirkan insan yang seimbang dari semua aspek JERIS selaras dengan hasrat FPK.
Guru Besar juga bertanggungjawab dalam semua hal yang berkaitan dengan kewangan sekolah. Segala duit debit dan kredit yang digunakan oleh sekolah perlu mendapat pengesahan dari Guru Besar terlebih dahulu. Siapa kata tugas seorang Guru Besar itu merupakan tugas yang senang? Guru Besar juga berperanan penting dalam merangka matlamat sekolah, menerangkan matlamat sekolah, memantau dan menilai pengajaran guru, menyelaras kurikulum, memantau kemajuan murid, mengawal masa pengajaran, sentiasa kelihatan, memberi ganjaran untuk guru, menggalakkan perkembangan profesionalisme guru dan menyediakan insentif untuk murid
.
Edmond (1977), Sweeney (1982), Hussein Mahmood (1993) dan Leithwood dan Jantzi (1997) menekankan bahawa Guru Besar perlu mempunyai sesitiviti terhadap bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan membuat keputusan, memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru dan interaksi yang tinggi terhadap guru-guru. Maksudnya di sini, Guru Besar berperanan penting dalam meningkatkan tahap profesionalisme seseorang guru untuk mencapai objektif sekolah yang dengan lebih efektif dan sistematik.
Guru Besar bukan sahaja merancang segala aktiviti dan program di sekolah, namun perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Beliau bukan sahaja pandai memberi arahan, namun perlu turut serta terlibat dengan program-program serta perlaksanaan yang dijalankan di sekolah. Penglibatan secara langsung Guru Besar dengan organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang harmonis dan damai selaras dengan kehendak FPK.
Selain itu, Guru Besar juga dijadikan tempat rujukan organisasi sekolah. Jika terdapat kakitangan sekolah yang menghadapi masalah, guru besar perlu peka dan prihatin terhadap mereka. Seorang pemimpin yang baik akan dapat memahami kesulitan yang dialami oleh kakitangannya. Beliau perlu meringankan tangan dan bersedia untuk menolong kakitangannya yang mempunyai masalah tersebut. Sifat empati yang tinggi perlu ada di dalam diri seorang pemimpin agar sentiasa dihormati dan disenangi oleh semua pihak sekolah. Jika kita berbuat baik kepada
Oleh itu, Guru Besar yang baik dan dihormati oleh semua warga sekolah termasuk murid-murid perlulah mempunyai keterampilan yang baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menguruskan pentadbiran sekolah.
· Guru Penolong Kanan
Guru Penolong
Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1) merupakan orang yang paling hampir dengan guru besar. Beliau akan menggantikan guru besar ketika ketiadaannya. Segala urusan berkaitan dengan jadual waktu dan guru terletak di bawah tugas GPK 1. Apabila terdapat guru yang tidak hadir maklumat perlu disampaikan kepada GPK 1 dan beliau akan mencari guru ganti mengisi kekosongan kelas. GPK 1 merupakan orang kedua selepas guru besar dan perlu sama-sama memastikan kelancaran pentadbiran sekolah. Segala masalah berkaitan dengan guru, GPK 1 akan menyelesaikannya. Ini kerana semua masalah guru terletak di bawah tanggungjawab GPK 1. jadual waktu yang disediakan hendaklah selaras dan tiada berlaku pertindihan waktu antara guru. Struktur organisasi sekolah juga berada di bawah kawalan GPK 1 ini. Kesimpulannya,GPK 1 ini memainkan peranan penting dalam membantu guru besar untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebanfsaan dengan jayanya.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK Ko) merupakan orang yang bertanggungjawab dalam bidang kokurikulum di sesebuah sekolah. Kurikulum merupakan satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai dan norma, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahlinya. GPK Ko mempunyai dua bidang iaitu kurikulum dan kokurikulum. Dari segi kurikulum beliau bertanggungjawab dalam pembelajaran yang berlaku di sekolah. Beliau menyelaraskan sistem pembelajaran supaya menepati kehendak dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari segi kokurikulum pula beliau melaksanakan sukan dan persatuan di dalam sekolah. Ini bertepatan dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelajar di sekolah bukan sahaja pandai dari segi pelajaran tetapi pandai dari segi sukan dan persatuan. Guru Penolong Kanan Ko yang bertanggungjawab untuk melaksanakan hasrat Falsafah ini.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) merupakan guru yang bertanggungjawab dalam hal kebajikan dan masalah palajar di sekolah. Jika terdapat pelajar yang sakit, PK HEM yang bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada ibu bapa pelajar tersebut. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga berada di bawah kawalan guru ini. Pelajar yang kurang bernasib baik akan diberikan bantuan RMT dan guru inilah yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar yang kurang bernasib baik itu. Selain itu, PK HEM juga bertanggungjawab mengenalpasti murid-murid yang cemerlang namun dalam golongan miskin untuk diberi biasiswa. Pemberian biasiswa kecil kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban keluarga murid tersebut. Murid-murid yang mempunyai masalah Masalah disiplin juga terletak di bawah kawalan guru ini. Jika berlaku pergaduhan pelajar tersebut akan dipanggil oleh guru ini untuk diberikan sedikit teguran dan ibu bapa akan dipanggil bagi sama-sama menyelesaikan masalah. Guru ini bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin di sekolah dan mengambil berat kebajikan pelajar supaya pelajar yang keluar dari sekolah nanti akan seimbang dirinya.
Kesimpulannya, guru Penolong Kanan ini adalah pendokong kepada kelancaran perlaksanaan pengurusan dan pentadbiran sekolah. GPK bukan sahaja untuk melicinkan pentadbiran sekolah tetapi turut merupakan penasihat kepada Guru Besar. Guru Besar dapat meminta pertolongan dan pandangan dari GPK agar segala pengurusan yang dijalankan itu selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang menyeluruh dan seimbang dari pelbagai aspek.
Ketua Panitia
Guru yang dilantik menjadi ketua panitia kebiasaannya dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam mata pelajaran tertentu. Setiap mata pelajaran mempunyai seorang ketua panitia masing-masing. Sebagai contoh panitia Bahasa Melayu akan diketuai oleh seorang ketua iaitu ketua panitia bahasa Melayu. Namun terdapat mata pelajaran yang tidak mempunyai ketua panitia iaitu mata pelajaran prasekolah, J-Qaf dan pendidikan khas.
Ketua panitia bertanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan panitia yang diketuainya. Menyediakan rancangan mengajar bagi panitia dan setiap guru akan merujuk kepada rancangan mengajar tersebut. Rancangan mengajar yang disediakan hendaklah selaras di semua sekolah demi untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ketua panitia merancang untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam bidang yang diuruskannya. Maksudnya jika panitia matematik maka ketua panitia matematik merancang satu kem untuk meningkatkan kecemerlangan dalam matematik. Ketua panitia ini memainkan peranan yang besar untuk memajukan subjek-subjek di sekolah bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Jika seseorang guru mempunyai masalah berhubung dengan kurikulum dan pengajaran, mereka perlu berjumpa dengan ketua panitia masing -masing sebelum dirujuk kepada Guru Besar atau Guru-guru Penolong Kanan sekolah. Jadi ketua panitia hendaklah sentiasa peka terhadap keperluan guru-guru di bawah naungannya. Jadi, peranan ketua panitia ini amat penting dalam memperbaiki kelemahan pengajaran selain dapat meningkatkan prestasi dan mutu semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan hasrat FPK yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan serta berkeupayaan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Guru Bilik Darjah
Guru bilik darjah memainkan peranan yang amat penting dalam keseimbangan murid-murid di sekolah. Tugas guru bukan sahaja untuk mengajar semata-mata namun mereka telah diberikan tugas untuk menjaga dan memegang kelas yang terdapat di sekolah. Guru kelas bertindak menggantikan bapa atau ibu ketika murid-murid di sekolah. Setiap masalah pelajar guru harus mengetahui supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran. Kehadiran pelajar guru harus mengambil berat dan menanyakan sebab jika tidak hadir ke sekolah. Setiap masalah yang berlaku guru kelas harus menyelesaikannya supaya pelajar minat untuk hadir di sekolah. Guru bilik darjah juga bertanggungjawab untuk menghias kelas masing-masing kerana terdapat program keceriaan yang dijalankan di sekolah. Penyusunan organisasi di dalam kelas dan jadual bertugas juga dilakukan oleh guru bilik darjah. Bilik darjah yang ceria dan menarik dapat menarik minat murid-murid untuk datang ke sekolah.
Guru bilik darjah juga perlu membimbing murid-murid mereka cara belajar yang baik. Sebagai contoh, guru perlu memberi sokongan dan dorongan yang tinggi kepada murid kelas mereka supaya rajin belajar agar mendapat keputusan yang cemerlang. Guru bilik darjah yang baik bertanggungjawab dalam mendisiplinkan murid-murid di dalam kelasnya. Nasihat yang diberikan haruslah dapat membina keyakinan mereka untuk belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni. Kata-kata nasihat yang baik dapat membentuk peribadi dan sahsiah murid-murid agar sejajar dengan nilai dan norma dalam masyarakat pada hari ini.
Tuntasnya, guru bilik darjah ini merupakan tempat bergantung murid-murid ketika di sekolah. Hal ini kerana, guru bilik darjahlah merupakan orang yang paling rapat dengan murid-murid .Oleh itu, peranan guru bilk darjah amat penting dalam melahirkan murid-murid yang seimbang dan berpekerti mulia.
2. Prasarana
· Kemudahan sekolah
Sekolah memainkan peranan yang amat penting untuk mendidik dan mengembangkan potensi individu murid-murid supaya menjadi seorang warganegara yang berilmu pengetahuan, berketerampilan serta berakhlak mulia. Sekolah juga merupakan sebuah tempat untuk bersosialisasi bersama individu lain dengan mengamalkan budaya dan nilai murni yang tinggi selaras dengan hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Jadi kemudahan-kemudahan di sekolah amat penting untuk membantu objektif FPK ini berjaya dilaksanakan.
Kemudahan-kemudahan yang dinyatakan di bawah merupakan antara kemudahan yang berada di Sk. Kandis :
Sudut Pembelajaran
Di Sk. Kandis terdapat sudut pembelajaran yang khusus untuk murid-murid. Di sudut tersebut mempunyai pelbagai jenis bahan bacaan untuk kemudahan murid di sekolah seperti akhbar, majalah Pintar, Kuntum dan banyak lagi. Mereka boleh menggunakan sudut pembelajaran itu pada bila-bila masa sahaja kerana sudut tersebut berada di tempat terbuka. Keadaan di sekeliling sudut bacaan dihiasi dengan landskap yang indah dan menarik. Perkembangan intelek dapat dipertingkatkan dengan wujudnya sudut seperti ini di sekolah. Selain itu, budaya membaca serta penerapan unsur nilai-nilai murni dapat diwujudkan dalam kalangan murid di sekolah selaras dengan hasrat yang didokong di dalam pembentukan FPK.
Dewan
Dewan sekolah berada pada aras bawah di blok Bestari. Dewan berfungsi pada hari-hari majlis tertentu seperti perjumpaan ibu bapa dan guru (PIBG), majlis ceramah, pertandingan bercerita dan lain-lain. Selain itu, dewan ini juga digunakan sebagai dewan peperiksaan untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Dewan ini ádalah sangat besar dan luas kerana dapat memuatkan lebih daripada 200 orang murid.
Kantin
Oleh kerana keadaan sekolah sedang menjalani proses perluasan, jadi kawasan kantin telah dipindahkan di blok bangunan yang lain untuk sementara waktu. Walaupun begitu, pengurusan kantin masih berjalan seperti biasa. Pengurusan kantin yang baik akan menyebabkan murid-murid mendapat kepuasan yang maksimum semasa rehat.
Apa yang saya perhatikan, kawasan kantin sangat kemas dan ceria. Terdapat pelbagai jenis hiasan yang berada dalam kawasan kantin itu walaupun tempat yang digunakan pada masa sekarang adalah sementara sahaja. Terdapat Galeri Warisan di kawasan tengah kantin yang mana telah menempatkan barang-barang tradisional masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala seperti bubu untuk menangkap ikan, lesung batu, atap nipah dan banyak lagi.
Kantin sekolah ini adalah dalam keadaan yang bersih dan dianugerahkan Gred B oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kebersihan premis makanan. Makanan yang disediakan juga sentiasa ditutup rapat untuk mengelakkan lalat dari dihinggapi oleh serangga seperti lalat. Selain itu, ia dapat mengelakkan murid-murid mengalami keracunan makanan serta menyediakan mendapat makanan yang berkhasiat dan bersih. Harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah kepada murid-murid sekolah adalah amat murah dan berpatutan .
Tandas
Tandas pada umumnya adalah amat penting di sebuah sekolah dan memerlukan penjagaan yang baik kerana tempat ini adalah tempat yang kotor. Terdapat 2 buah tandas untuk kegunaan murid-murid dan tandas tersebut telah diasingkan antara murid lelaki dengan murid perempuan. Tandas guru juga mempunyai 2 buah yang mana turut diasingkan antara guru lelaki dan guru perempuan.
Pihak sekolah telah menyediakan program-program kebersihan tandas agar keadaan tandas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa. Selain itu juga, program tersebut dapat melatih murid-murid menggunakan tandas dengan cara yang betul dan dapat mengelakkan sebarang bau yang tidak menyenangkan dari kawasan tandas semasa proses P&P berjalan.
Padang
SK. Kandis mempunyai sebuah padang yang sangat luas iaitu kira-kira 2500 kaki persegi. Kedudukan padang adalah di hadapan blok bangunan asrama. Semua aktiviti kokurikulum dan sukan akan diadakan di kawasan padang. Di padang terdapat pelbagai kemudahan yang lengkap seperti trek larian untuk acara balapan serta kawasan olahraga untuk murid-murid.
Pada tahun 2008, padang SK. Kandis telah dijadikan sebagai pusat kokurikulum untuk hari Kejohanan Sukan dan Olahraga seluruh kelantan. Di tengah kawasan padang terdapat 4 gol untuk permainan bola sepak, hoki dan sebagainya. Murid-murid dibenarkan bermain di kawasan padang pada waktu petang untuk menjalani sebarang aktiviti sukan. Murid-murid juga perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti memakai kasut ketika berada di padang, memakai baju sukan ketika berada di padang, tidak membuang sampah di kawasan padang dan lain-lain yang telah dinyatakan di dalam peraturan semasa menggunakan padang.
Padang Permainan
Terdapat 2 buah padang permainan iaitu untuk permainan bola tamper dan badminton. Kawasan gelanggang permainan ini dibina berdekatan dengan kawasan padang untuk kemudahan murid-murid dalam menjalani aktiviti kokurikulum dengan jayanya.
Melalui hasil dapatan saya tentang SK. KandĂs ini, kebanyakkan kejayaan yang dicapai adalah dalam bidang sukan. Jadi, kemudahan-kemudahan yang disediakan banyak membantu sekolah dalam menempa nama di persada sukan. Selain itu, kemudahan padang permaian yang tersedia ini dapat membantu perkembangan fizikal murid-murid selaras dengan aspirasi FPK.
Pusat Sumber
Pusat sumber amatlah penting di sesebuah sekolah kerana ia memberi kemudahan kepada murid-murid untuk mencari maklumat dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Selain itu, budaya ilmu juga dapat diterapkan di dalam diri setiap murid-murid agar mereka menjadi seorang yang berilmu.
Kedudukan pusat sumber di sekolah adalah di blok bangunan lama kerana proses pembinaan bangunan sekolah baru sedang giat dijalankan. Walaupun begitu, ia tidak mematahkan semangat murid-murid untuk datang meminjam buku di pusat sumber tersebut walaupun agak jauh dari blok-blok lain.
Pusat sumber tersebut memiliki kurang bahan bacaan dan hal ini akan menyebabkan murid-murid tidak dapat memperolehi sumber rujukan ilmu pengetahuan yang cukup lengkap. Buku-buku cerita yang disediakan juga agak lama dan tidak dapat menarik perhatian murid-murid untuk meminjamnya. Namun ini adalah untuk sementara sahaja kerana bangunan baru masih dalam pembinaan. Menurut guru penyelaras pusat sumber sekolah, pihak sekolah telah merancang untuk membeli bahan bacaan yang baru dan lengkap selepas bangunan baru siap sepenuhnya. Jadi, murid-murid tidak perlu lagi berjalan jauh untuk datang ke pusat sumber ini nanti.
Pusat sumber dijaga dan dikawal oleh pengawas pusat sumber yang bertugas. Pengawas pusat sumber memakai pakaian seragam yang berwarna biru dan berkain hitam. Mereka diberi tanggungjawab untuk menjaga kebersihan perpustakaan dan merekodkan setiap buku yang dipinjam oleh murid-murid lain.
Makmal Sains
Makmal sains di SK. Kandis berada di blok Dedikasi. Di dalam makmal sains terdapat pelbagai peralatan yang lengkap untuk digunakan dalam mata pelajaran Sains seperti mikroskop, tabung uji, termometer, radas, balang kaca, neraca dan lain-lain. Peralatan-peralatan yang disediakan ini adalah bertujuan untuk kemudahan pembelajaran murid-murid ketika menjalankan eksperimen di dalam makmal tersebut. Semasa berada di dalam makmal, terdapat banyak peraturan yang perlu dipatuhi. Hal ini disebabkan makmal merupakan tempat yang sangat bahaya kerana terdapat bahan-bahan kimia yang mudah terbakar seperi alkohol dan sebagainya. Jadi, murid-murid perlulah berhati-hati dan tidak bergurau ketika berada di dalam makmal untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Selain itu juga, murid-murid perlu mendapat kebenaran dari guru sebelum memasuki makmal sains ini.
Makmal Komputer
Makmal komputer di SK. Kandis baru ditubuhkan pada tahun 2004. Pembinaan blok bangunan baru untuk makmal komputer ini adalah selari dengan hasrat kerajaan yang inginkan pendedahan awal murid-murid dalam bidang ICT ini. Terdapat sebanyak 20 buah komputer telah dibekalkan untuk kemudahan pembelajaran murid-murid. Selain itu, meja dan kerusi khas untuk meletakkan komputer juga telah dibekalkan sebanyak 20 buah. Makmal komputer juga mempunyai alat hawa dingin untuk memberi keselesaan kepada murid-murid semasa mempelajari komputer.
Murid-murid tidak boleh masuk sesuka hati di dalam makmal komputer . Hal ini kerana untuk menjaga komputer daripada berlaku sebarang kerosakan. Jadi guru-guru perlulah sentiasa memantau keadaan murid-murid semasa mereka menggunakan komputer. Guru-guru juga perlu cekap dalam kemahiran menggunakan komputer agar dapat mendedahkan teknik penggunaan komputer yang betul kepada murid-murid. Jika guru tidak cekap menggunakan komputer, maka murid-murid akan berasa bosan dan tidak akan berminat untuk mempelajari komputer. Oleh itu pengurusan dalam bidang ICT yang cekap oleh para guru amat perlu agar dapat membolehkan murid-murid berminat dalam mempelajari komputer.
Pejabat
Pejabat merupakan tunjang utama dalam segala sistem pengurusan dan pentadbiran di sekolah. Di pejabat terdapat bilik Guru Besar dan bilik Penolong-penolong Kanan sekolah. Selain itu juga, di pejabat terdapat kemudahan alat penghawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pihak pengurusan sekolah. Sistem pengurusan pejabat yang sistematik diibaratkan sebagai nadi kecemerlangan yang dicapai oleh sekolah. Andaikata pentadbiran yang dilakukan oleh pihak mengurusan itu lemah, maka segala hasilnya juga adalah lemah.
Di pejabat terdapat 5 orang staf sokongan yang membantu pentadbiran dan pengurusan di sekolah. Kelima-lima staf ini mempunyai bidang tugas yang berbeza dan masing-masing dalam bidang kewangan, pembantu pengurusan murid, urusan pengkeranian serta pengurusan pejabat. Dalam aspek keselamatan, pintu pejabat dikunci dengan pintu pagar grill untuk mengelakkan sebarang kes pencerobohan dari pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana, di pejabat terdapat semua fail-fail yang berkaitan dengan hal pengurusan dan maklumat sekolah. Jadi keselamatan amatlah dititikberatkan untuk menjaga keselamatan sekolah ini.
Bilik Guru
Bilik guru merupakan bilik yang disediakan kepada setiap guru-guru yang berada di sekolah tersebut. Bilik guru terletak bersebelahan dengan pejabat sekolah. Di SK. Kandis terdapat seramai 46 orang guru maka terdapat 46 buah meja dan kerusi. Kedudukan tempat guru lelaki dan guru perempuan diasingkan. Selain itu terdapat satu set perabot di dalam bilik guru untuk kemudahan dan keselesaan para guru selepas penat mengajar. Mereka juga dapat berbincang masalah yang berlaku di sekolah dengan rakan guru yang lain.
Di dalam bilik guru juga terdapat sebuah komputer dan sebuah printer untuk kemudahan para guru. Sebuah katil juga disediakan di dalam bilik guru sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sebarang kecelakaan di sekolah. Bilik guru juga sentiasa berada di dalam kedaan kemas walaupun meja yang disediakan untuk meletakkan bahan-bahan pengajaran itu mempunyai ruang yang sempit.
Bilik Gerakan
Bilik gerakan dikenali juga sebagai bilik mesyuarat. Setiap kali perjumpaan atau mesyuarat akan dijalankan di dalam bilik gerakan ini. Bilik ini amat penting untuk menggerakkan pengurusan dan pentadbiran yang berlaku di sekolah. Segala keputusan yang dicapai adalah hasil perbincangan para guru dengan pihak pengurusan sekolah. Bilik gerakan di sekolah ini sangat kemas dan cantik. Setiap sudut dan dinding telah dihias dengan pelbagai perhiasan dan rekabentuk yang unik. Selain itu, terdapat pelbagai maklumat tentang pencapaian sekolah di bilik gerakan ini.
Kelas Pemulihan
Kelas pemulihan telah diadakan pada sesi persekolahan petang iaitu untuk murid tahun 2 dan 3. Pada setakat ini, terdapat seramai 23 orang murid yang dikenalpasti tidak dapat menguasai kemahiran 3M dengan baik. Objektif utama kelas ini ditubuhkan adalah supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran asas 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira. Selepas mereka dapat menguasai ketiga-tiga kemahiran tersebut dengan baik, maka mereka dapat meneruskan pelajaran mereka di kelas normal. Kelas ini diuruskan oleh 3 orang guru.
Bengkel Kemahiran Hidup
Bengkel Kemahiran Hidup (KH) terletak di kawasan belakang sekolah. Bengkel ini mempunyai peralatan yang cukup lengkap untuk digunakan semasa subjek Kemahiran Hidup. Hal ini dapat melancarkan proses P&P kerana segala keperluan serta peralatan adalah lengkap. Guru penyelaras bengkel KH ialah En. Fakruzzaman bin Jusoh. Menurut beliau, murid-murid diajar kemahiran-kemahiran asas dalam aktiviti kehidupan seharian. Kebiasaannya murid-murid akan melaksanakan amali seperti bercucuk tanam, membuat aktiviti pertukangan dan sebagainya. Kawasan di dalam bengkel KH adalah sangat luas dan selesa. Terdapat 6 buah meja panjang dan 12 buah kerusi panjang di dalam bilik tersebut. Murid-murid tidak dibenarkan masuk ke dalam bengkel jika tidak menerima arahan daripada guru. Ini kerana, di dalam bengkel tersebut terdapat peralatan yang membahayakan seperti gergaji, tukul, paku, pisau dan lain-lain.
Kelas PPSMI
Kelas PPSMI baru dilaksanakan pada tahun 2004 di Sk. Kandis ini. Kelas ini digunakan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik untuk kemudahan murid-murid di sekolah. Ruang di dalam bilik ini sangat luas. Pembinaan bilik ini adalah bertujuan untuk memudahkan P&P dalam subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bilik ini masih belum mempunyai kelengkapan alatan yang cukup kerana masih lagi kekurangan guru Sains dan Matematik.
Pusat Akses (PA)
Pusat akses ini dikendalikan oleh En. Suhaimi... PA terletak di kawasan blok Dedikasi . Penubuhan PA ini adalah bertujuan untuk kemudahan guru dan murid-murid mengakses internet pada bila-bila masa sahaja. Oleh kerana tidak terdapat kemudahan Internet di bilis guru, maka para guru boléhla melayari Internet untuk kegunaan di dalam P&P nanti. Bilik ini mempunyai 10 buah komputer serta dilengkapi dengan meja dan kerusi. Murid-murid pula perlu mendapatkan kebenaran guru yang bertugas untuk menggunakan kemudahan ini. Murid-murid tidak dapat membuka bahan-bahan yang tidak berfaedah seperti permainan video dan berchatting kerana telah disekat oleh bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia. Murid-murid boleh juga mengambil soalan daripada internet untuk membuat rujukan serta boleh menjawab soalan secara online di bilik Akses ini.
Prasekolah
Terdapat 2 buah prasekolah di SK. Kandis ini iaitu prasekolah Anggerik dan prasekolah Melati. Prasekolah Melati merupakan prasekolah yang baru ditubuhkan pada tahun 2006. Hal ini disebabkan oleh permintaan ibu bapa yang menginginkan pendidikan awal kanak-kanak sebelum mereka ke tahun 1 kelak. Setiap prasekolah mempunyai bilangan murid-murid seramai 25 orang yang berumur 6 tahun. Prasekolah Melati juga merupakan prasekolah contoh yang dianugerahkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bachok pada tahun lepas.
Bangunan prasekolah berwarna warni untuk menarik minat murid-murid ke sekolah. Selain itu, prasekolah-prasekolah ini mempunyai taman permainan yang lengkap dan cantik untuk perkembangan fizikal kanak-kanak tersebut. Dalam taman permainan tersebut terdapat banyak kemudahan-kemudahan untuk kanak-kanak prasekolah bermain seperti gelongsor, buaian, jongkang-jongkit dan banyak lagi.
Kelas Permasalahan Pembelajaran (KPP)
Kelas KPP ini baru dilaksanakan pada awal tahun ini di Sk. Kandis ini. Jadi terdapat banyak kekurangan bahan di dalam kelas tersebut. Kelas ini mempunyai ruang yang sangat luas namun namun kekurangan sumber bahan kerana masih baru. Kelas ini mempunyai 4 orang murid yang bermasalah dalam pembelajaran. Terdapat 2 orang murid yang slowlearner, seorang murid sindromdown dan seorang lagi mempunyai masalah akal. Di dalam kelas tersebut terdapat seorang guru dan seoran pembantu pengurusan murid. Kelas ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendidikan awak kepada kanak-kanak yang bermasalah ini. Mereka berhak mendapat pendidikan walaupun mempunyai serba kekurangan.
Asrama
Di dalam daerah Bachok hanya terdapat 2 buah sekolah rendah sahaja yang mempunyai kemudahan asrama. Sk. Kandis merupakan salah satu daripada sekolah rendah yang mempunyai bangunan asrama. Asrama desa pertama dibina pada tahun 1989 dan pada tahun 2003, satu projek besar telah dilaksanakan untuk mendirikan bangunan 3 tingkat untuk blok asrama. Terdapat 2 blok asrama yang dikenali sebagai Villa Putera untuk muridmurid lelaki dan Villa Puteri untuk murid-murid perempuan. Asrama Sk. Kandis telah banyak menempa kejayaan apabila banyak menjuarai pertandingan asrama sehingga peringkat kebangsaan pada tahun 2008.
Kemudahan asrama yang ditawarkan adalah untuk meringankan beban ibu bapa di rumah kerana majoriti penduduk sekitar adalah dari kalangan petani dan nelayan. Murid-murid akan mendapat layanan yang istimewa jika tinggal di asrama. Selain itu,murid-murid juga dapat pelajaran yang lebih baik berbanding di rumah kerana di asrama telah tersedia pelbagai kemudahan pembelajaran seperti bilik bacaan, perpustakaan mini, bilik belajar dan sebagainya. Jadi ibu bapa tidak perlu risau tentang kebajikan serta keselamatan anak-anak kerana mereka dijaga oleh warden yang baik dan bertanggungjawab. Murid-murid juga akan dapat hidup berdikari jika mereka tinggal di asrama. Asrama merupakan pusat kecemerlangan pelajar selaras dengan moto asrama yang dilaung-laungkan iaitu ” rohani suci, akhlak terpuji, kecemerlangan menanti”.
Jadi jelaslah prasarana-prasarana yang disediakan di sekolah banyak membantu murid-murid belajar dengan selesa dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Prasarana merupakan salah satu faktor yang dapat melaksanakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kemudahan yang lengkap akan melicinkan lagi sesi pembelajaran di sekolah. Kemudahan yang lengkap akan melahirkan pelajar yang seimbang dan dapat meningkatkan aspek JERIS murid-murid. Di perpustakaan mereka boleh membaca surat khabar bagi menambahkan lagi pengetahuan dalam diri pelajar. Di musalla pula mereka dapat meningkatkan aspek kerohanian dan juga moral. Padang juga penting bagi pembentukan jasmani pelajar-pelajar supaya berkembang selaras dengan perkembangan aspek lain. Maka ini bertepatanlah dengan **matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ingin melahirkan insan yang seimbang dari semua aspek dan sempurna.
2. Keceriaan sekolah dalam memupuk nilai estetika, kebersihan dan keselamatan.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran haruslah diwujudkan untuk menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari segala aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Untuk mencapai hasrat ini, iklim dan budaya sekolah haruslah berada dalam keadaan selesa, tenteram, aman damai, mesra dan juga riang.
Sekolah perlulah sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk melahirkan individu yang dapat berkembang secara menyeluruh. Kebersihan di seluruh kawasan sekolah amat penting kerana ia akan mempengaruhi proses P&P di dalam darjah. Sebagai contoh, jika keadaan tandas di sekolah tidak terurus dan berbau busuk, maka murid-murid belajar dalam keadaan yang tidak selesa. Ini akan menggangu pembelajaran mereka dan akan menyebabkan objektif pengajaran tidak berhasil. Jadi, pihak sekolah perlu sentiasa mengadakan aktiviti kebersihan agar keceriaan sekolah dapat diwujudkan.
Selain itu, keceriaan sekolah diserikan dengan mural-mural yang berada di dinding-dinding bangunan. Mural-mural yang mempunyai kepelbagaian hasil kreativiti dapat meningkatkan keceriaan sekolah. kata-kata hikmah yang berada di dalam kawasan sekolah juga amat penting dalam meningkatkan nilai estetika di sekolah. Kata-kata hikmah seperti usaha tangga kejayaan, melentur buluh biarlah dari rebungnya, membaca jambatan itu adalah sebahagian contoh kata-kata hikmah yang biasa kita lihat di sekolah. Ia juga berfungsi sebagai motivasi kepada murid-murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai cita-cita yang diimpikan.
Amalan nilai-nilai murni dan berakhlak mulia merupakan salah satu elemen di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Guru berperanan penting dalam pemupukan akhlak mulia murid-murid di sekolah. Nilai-nilai murni tersebut akan diamalkan oleh murid-murid walaupun berada di luar kawasan sekolah andai guru dapat menerapkan nilai murni dalam amalan pengajaran harian mereka. Nilai murni seperti memberi salam kepada guru dan orang yang lebih tua, membaca doa sebelum dan selepas belajar adalah perlu untuk melahirkan warganegara yang beragama dan seimbang serta menyeluruh. Selain itu, budaya hormat menghormati dan tolong menolong dapat melahirkan iklim sekolah yang baik.
Keselamatan juga merupakan salah satu faktor yang dapat menyuburkan suasana sekolah agar sentiasa kelihatan aman damai dan selesa. Jika sekolah tidak mempunyai tahap keselamatan yang baik, maka murid-murid akan berasa takut dan tidak selesa semasa berada di sekolah. Jadi hal ini akan membantutkan segala aktiviti yang ingin mereka lakukan. Sebagai contoh, P&P dijalankan di blok bangunan yang lama, jadi murid-murid berasa tidak selamat dan sentiasa gelisah. Maka hal ini akan mengganggu pembelajarannya. Oleh itu, pengurusan keselamatan di sekolah amat penting untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat
.
3. Program dan Aktiviti
§ Kurikulum
Dewasa ini, arus globalisasi yang melanda dunia mencetuskan persaingan yang hebat dalam pelbagai aspek kehidupan. Aspek pendidikan adalah teraju yang amat penting dalam mencapai persaingan ini, maka perancangan yang teliti dan berkesan perlu dilakukan agar dapat melahirkan individu yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai daya saing yang tinggi. Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting untuk melahirkan anak didik yag cemerlang dengan sokongan semua pihak iaitu pihak ibu bapa dan seluruh warga sekolah.
Dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan murid dalam bidang kurikulum, pelbagai aktiviti yang disediakan di sekolah seperti Minggu Bahasa, English Days, kuiz dan pertandingan, program motivasi, kelas intensif UPSR untuk murid tahun 6, kelas tambahan pada waktu cuti dan banyak lagi. Strategi yang mantap haruslah dirancang dan dilaksanakan dengan penuh komitmen dan memerlukan semangat kerja berpasukan yang tinggi oleh warga sekolah untuk menjana kurikulum yang cemerlang.
Pengurusan kurikulum yang baik dapat melahirkan murid yang cemerlang dalam semua bidang sama ada akademik, kokurikulum dan juga sahsiah. Jadi, sekolah berperanan penting dalam melaksanakan matlamat FPK ini dengan meningkatkan keberkesanan dan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, peranan sekolah menaiktarafkan pusat sumber sekolah dengan menambah bilangan buku dan kemudahan-kemudahan di dalam pusat sumber seperti alat penghawa dingin, sudut kognitif dan sudut bacaan akhbar dapat menarik minat murid dan guru-guru untuk ke sana. Jadi hal ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan murid-murid selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan.
Proses P&P di dalam bilik darjah juga dapat dipertingkatkan dengan penyelarasan rancangan mengajar. Guru memainkan peranan yang penting dalam menjayakan P&P yang berkesan. Oleh itu guru perlu menggunakan modul pengajaran KBKK semasa P&P berjalan kerana ingin mewujudkan suasana yang dapat menarik minat murid-murid. Guru juga perlulah memberi latihan dari sumber luar agar cara pengajaran dapat dipelbagaikan supaya murid-murid tidak bosan. Murid-murid akan berasa lebih seronok dengan teknik pengajaran yang berbeza. Namun guru perlulah memilih teknik pendekatan mengajar yang sesuai dengan situasi murid agar dapat mencapai objektif pengajaran yang dihasilkan.
Selain itu, kurikulum sekolah dapat dipertingkatkan dengan mengadakan program-program khas seperti program motivasi, program juara 5A, program kelas pemulihan dan banyak lagi. Program-program sebegini dapat mempertingkatkan pencapaian kecemerlangan dan keseluruhan dalam bidang akademik murid di semua peringkat khususnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekolah juga perlu mengadakan sebuah majlis anugerah kecemerlangan akademik murid-murid sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka. Penganugerahan ini secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi mereka agar lebih bersungguh-sungguh.
Tuntasnya, pengurusan kurikulum yang baik dapat menghasilkan acuan yang bagus dan mantap dari segala aspek. Kurikulum juga memberi peluang kepada murid untuk membina ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang di sekolah. Suasana yang harmoni dan mesra dapat diwujudkan serta melahirkan individu yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan taat setia sebagaimana yang terkandung di dalam FPK.
§ Ko kurikulum
Aktiviti kokurikulum adalah satu kegiatan pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah. Ia bertujuan untuk mengukuhkan dan penggayaan pembelajaran, saling lengkap melengkapi pembelajaran di dalam bilik darjah bagi menyuburkan nilai-nilai murni dan mengembangkan bakat kepimpinan murid-murid. Selain itu aktiviti kokurikulum ini juga dapat menyediakan murid-murid yang sedia berkhidmat untuk masyarakat. Aktiviti kokurikulum terdiri daripada gerak kerja pasukan unit beruniform (GERKO), persatuan dan kelab serta sukan dan permainan.
Kokurikulum amat penting di sekolah kerana aktiviti ini merupakan pelengkap pengetahuan dan pengalaman murid-murid ketika mereka di sekolah. Menerusi gerak kerja kokurikulum pula mereka dapat mengembangkan bakat dan minat, meningkatkan perkembangan sosial dan mental murid-murid. Jadi aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah dapat memajukan dan meningkatkan perkembangan jasmani dan sosial murid-murid sejajar dengan matlamat dalam FPK.
Semua murid mempunyai bakat dan potensi yang boleh dimajukan. Jadi sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk dan memajukan masyarakat secara menyeluruh dari segala aspek. Aktiviti ini juga berperanan menyemai dan memupuk disiplin, nilai dan sikap positif murid selaras dengan FPK dan Rukun Negara. Hal ini dapat dilihat dari segi pemakaian uniform yang seragam dan kemas. Di sekolah kebiasaannya terdapat hari yang telah ditetapkan untuk memakai pakaian seragam. Pakaian seragam yang pelbagai jenis seperti uniform pengakap, puteri islam, pandu puteri dan lain-lain dapat melahirkan budaya sekolah yang menarik dan menggembirakan.
Sukan dan permainan adalah satu aspek penting dalam sistem pendidikan hari ini. Perancangan yang teratur dan sistematik perlu dilakukan untuk mencapai matlamat FPK yang ingin melahirkan nilai-nilai murni yang dapat membantu murid-murid meningkatkan pengetahuan dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Aktiviti sukan dan permainan yang dilaksanakan di sekolah perlu melibatkan semua murid. Matlamat sukan untuk semua adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan di sekolah. Secara tidak langsung, individu yang sihat dan cergas dapat dilahirkan serta dapat melahirkan individu yang prihatan terhadap kesihatan diri. Jadi benarkan aktiviti sukan bukan sahaja dapat membantu murid-murid dalam perkembangan jasmani semata-mata namun secara menyeluruh dari segala aspek.
Persatuan dan Kelab merupakan salah satu bidang dalam kokurikulum di sekolah. Matlamat utama Persatuan dan kelab ini ditubuhkan adalah untuk menyemai kesedaran dan kepatuhan terhadap agama dan kepercayaan kepada Tuhan sebagaimana yang dinyatakan dalam FPK. Hal ini dapat dilihat dengan penubuhan persatuan agama Islam, kelab Tarannum dan banyak lagi di sekolah. Selain itu, matlamat gerak kerja kokurikulum yang dijalankan adalah untuk mewujudkan keseimbangan perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sosial, jasmani, dan rohani murid-murid sejajar dengan FPK. Murid-murid juga dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah serta dapat melahirkan kesejahteraan diri dengan penglibatan mereka di dalam aktiviti ini.
Jadi dapatlah dirumuskan bahawa kegiatan kokurikulum amatlah penting untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dari segala aspek sejajar dengan matlamat FPK. Aktiviti yang dirancang itu pula mestilah dapat memajukan serta mengembangkan bakat, minat serta kemahiran murid-murid secara menyeluruh.
§ Lain-lain
Lain-lain aktiviti yang dilaksanakan di sekolah seperti program ibu bapa dan guru (PIBG), program keselamatan dan kesihatan serta aktiviti kemasyarakatan merupakan pelengkap kepada kecemerlangan murid di sekolah. Penglibatan ibu bapa amat penting dalam menjayakan matlamat FPK yang ingin melahirkan individu yang bertanggungjawab kepada ibu bapa, masyarakat, agama, bangsa dan juga negara. Peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan anak-anak yang berjaya selain guru di sekolah. Ibu bapa akan mengambil tugas guru semasa di rumah. Mereka perlu memastikan anak-anak mereka belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni yang diamalkan di sekolah turut diaplikasikan di rumah.
Selain itu, program yang dijalankan di sekolah juga mampu untuk meningkatkan tahap perkembangan pelajar supaya menjadi pelajar yang seimbang. Sekolah banyak menjalankan aktiviti supaya pelajar-pelajar bercampur dan membentuk sikap toleransi serta bekerjasama antara satu sama lain. Melalui sikap ini perpaduan akan dapat dipupuk di jiwa mereka seterusnya menjadikan mereka seimbang dari segi sosial dan rohani. Sebagai contoh aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di sekolah bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang suka menolong, namun ia juga dapat melahirkan rasa hormat menghormati dalam kalangan mereka. Setiap aktiviti yang dijalankan mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan semua aktiviti itu menuju ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Program keselamatan dan kesihatan yang dijalankan di sekolah amat penting untuk membentuk murid yang seimbang dari semua aspek. Program sebegini dapat melahirkan murid yang dapat menguruskan diri sendiri dan dapat mengamalkan nilai-nilai murni di sekolah sejajar dengan matlamat FPK. Tubuh badan yang sihat dapat meningkatkan perkembangan fizikal individu. Jadi kebersihan diri dan alam sekitar dapat melahirkan budaya sekolah yang ceria dan menarik. Program keselamatan seperti aktiviti demostrasi kebakaran dan program keselamatan di jalan raya dapat melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan seimbang dari aspek JERIS selaras dengan matlamat FPK.
Kesimpulannya, pihak sekolah merupakan pihak yang mempunyai peranan yang terbesar untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat itu diserapkan ke sekolah-sekolah demi untuk melahirkan insan yang seimbang bukan sahaja dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani malah seimbang dalam pergaulan, akhlak dan sahsiah.
0 comments:
Post a Comment