:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Thursday, February 25, 2010

Sejarah Pra Sekolah di Malaysia



Objektif

Menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.


Latar Belakang

18 Disember 1991

  • Mesyuarat Jemaah Menteri
  • KPM melaksanakan program prasekolah.

27 Januari 1992

  • Mesyuarat antara Kementerian.
  • Projek Rintis Pendidikan Prasekolah KPM (1,131 kelas)

Akta Pendidikan 1996

  • Pendidikan Prasekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan

6 Jun 2001

  • Mesyuarat Jemaah Menteri.
  • Peluasan program Prasekolah KPM.


Kriteria Pemilihan Sekolah

a) Lokasi Pedalaman/Luar Bandar/Pinggir Bandar/Bandar.

b) Murid Tahun Satu Yang Tidak Berprasekolah Tinggi.

c) Tiada Operator Tadika Lain.

d) Mengambilkira Pendaftaran Murid Tahun Satu bagi tahun berikutnya (>15 orang).

e) Kemudahan Ubah Suai/Bina Bilik Darjah.

f) Permintaan Masyarakat Setempat.


Kriteria Pemilihan Murid

a) Warganegara Malaysia.

b) Berumur 5 dan 5+ tahun.

c) Setiap kelas 25 orang murid.

d) Keutamaan pemilihan berdasarkan pendapatan dan tanggungan ibu bapa / penjaga.



Geran Per Kapita (PCG)

RM100 seorang murid setahun

RM100 X 25 murid X 1 kelas

Jumlah : RM2500 setiap kelas setahun


Bantuan Makanan

RM1.50 seorang murid sehari

RM1.50 X 1 murid X 200 hari

Jumlah : RM300 seorang murid setahun


Program-Program Prasekolah KPM

a) Program ICT Prasekolah (KPM) Mulai 2002
Komputer/Pencetak/Meja/Kerusi/Perisian

(Agihan 2 set komputer dan 1 pencetak setiap kelas)

b) Program ICT Kidsmart Early Learning (IBM) Mulai 2001
Komputer/Pencetak/Meja/Kerusi/Perisian

(Agihan 1 set bagi kelas prasekolah yang terpilih)

Sehingga Februari 2004 . KPM terima 59 set daripada IBM (M) Sdn Bhd

c) Program Rintis Prasekolah Inklusif Pendidikan Khas Mulai 2003 . 3 kelas
( 20 Murid Biasa & 5 Murid Bermasalah Pembelajaran)

  • SK Seksyen 20, Shah Alam, Selangor.
  • SK Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang.
  • SK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.

d) Program Prasekolah Pendidikan Khas Mulai 2004 . 28 kelas

  • Prasekolah Bermasalah Pembelajaran
  • Prasekolah Bermasalah Penglihatan
  • Prasekolah Bermasalah Pendengaran

e) Program Penempatan Guru Prasekolah Siswazah Mulai 2004

Sumber Maklumat: Kementerian Pelajaran Malaysia

Program Transisi Prasekolah ke Tahun Satu



Program Transisi Prasekolah ke Tahun Satu merupakan satu program yang telah dirangka dengan tujuan untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu. Program ini dilaksanakan dalam tempoh 3 bulan. Adalah diharapkan kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal.

Tujuan Program

  • Murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, guru-guru dan kawan-kawan baru dalam masa yang singkat.
  • Guru-guru dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses P & P secara formal.
  • Meningkatkan minat dan semangat murid untuk datang ke sekolah dengan gembira dan tanpa banyak masalah.
  • Membantu semua murid Tahun Satu yang datang dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu mereka melalui tahap pencapaian yang hampir sama .

Objektif Khusus

  • Semua pihak yang terlibat dapat membuat persediaan yang sesuai untuk menerima kemasukan murid ke Tahun Satu.
  • Murid dapat meningkatkan kemahiran tematik, bersepadu dan main sambil belajar.
  • Murid yang mempunyai kemahiran dan potensi diri yang tinggi dapat mengaplikasikan apa yang diperolehi dalam kehidupan sehariannya.
Sumber Maklumat: Kementerian Pelajaran Malaysia

Friday, December 18, 2009

Elemen-elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan



Terdapat beberapa elemen yang dikenalpasti di dalam FPK, iaitu :

ELEMEN-ELEMEN FPK

1. Pendidikan suatu usaha berterusan

• Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni.
• Proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat.
• Pendidkan awal kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun.
• Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan.
• Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka.
• Proses pendidikan yang berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.


2. Perkembangan potensi individu

• Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam.
• Bakat, potensi dan kebolehan seelok-eloknya dicungkil, dipupuk dan dikembangkan dan dipertingkatkan.
• Bakat, potensi dan kebolehan akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling.
• Pendidikan seharusnya memberi peluang individu untuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka.

3. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu

• Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain.
• Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya merangkumi 4 aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

4. Insan yang seimbang dan harmonis

• Amat penting bagi individu memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan diri yang baik (jasmani).
• Keseimbangan antara keepat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain.
• Individu sedemikian memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul.


5. Unsur intelek

• Mempunyai kemahiran asas 3M; membaca, mengira dan menulis.
• Sering berusaha untuk memperoleh dan mengembang ilmu yang benar.
• Berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif.
• Sanggup untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran (menyebarluaskan ilmu).

6.Unsur rohani

• Menyedari dan percaya kepada Tuhan.
• Bersyukur dengan pemberian Tuhan.
• Berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.

7. Unsur emosi

• Mempunyai emosi yang matang dan stabil.
• Memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang.
• Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan.

8. Unsur jasmani

• Menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal.
• Mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial.
• Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.

9. Kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan

• Mengakui tentang kewujudan Tuhan.
• Mengakui Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam.
• Menyedari bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan.
• Menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala perbuatan dan tindakannya.
• Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti.

10. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

• Cintakan ilmu pengetahuan.
• Berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca.
• Mempunyai fikiran luas dan terbuka.

11. Rakyat Malaysia yang berketrampilan

• Mempunyai kecekapan dan kompetensi diri.
• Berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna.
• Berpandangan jauh dan berinisiatif.
• Memupuk pembawaan diri yang baik.

12. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

• Mempunyai perwatakan diri yang baik.
• Berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup.

13. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

• Boleh dipercayai.
• Menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik.
• Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap.
• Mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
• Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

14. Rakyat Malaysia yang berupaya mencapai kesjahteraan diri

• Berfikiran waras dan berjiwa tenang.
• Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup.

15. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

• Berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat menghormati dan sebagainya.
• Berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan.
• Sering mengamalkan kestabilan politik dan keamanan negara.
• Mematuhi perlembagaan dan peraturan negara.
• Mempertahankan maruah diri, profesion, agama, bangsa dan negara.

16. Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri

• Mempunyai daya tahan fizikal dan mental yan tinggi.
• Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup.

17. Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara

• Menjadikan Rukun Negara sebagai amalan hidup.
• Memupuk persefahaman keluarga.
• Mematuhi norma masyarakat.
• Cintakan negara.

FAKTOR-FAKTOR DALAM PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Terdapat 6 faktor dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antaranya ialah :

4.1 Faktor Agama

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia. Di samping itu, Agama Kristan, Agama Budha, Agama Hindu dan sebagainya juga bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor-faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, iaitu

“:...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...“

4.2 Faktor Politik

Sebagaimana yang diketahui umum, Falsafah Pendidikan Negara digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Di dalam usaha membentuk ideologi negara, pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara. Sehubungan ini,matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Matlamat ini dapat diperlihatkan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam pengaruh faktor sosial tersebut di atas.

“...melahirkan rakyat Malaysia.... berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”


4.3 Faktor Ekonomi

Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memperkembangkan ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berupayaan untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Cita-cita memperkembang ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara

“...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri...”

4.4 Faktor Sosial

Masyarakat Malaysia terdiri daripad berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap yang positif ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan kaum yang merupakan kriteria yang paling penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan mencapai perpaduan kaum telah menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara, iaitu:

”...melahirkan rakyat Malaysia...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”

4.5 Faktor Individu

Potensi individu dapat dikembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan pernyataan utama dalam kandungan Falsafah Pendidikan Negara.

“…memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…”


4.6 Faktor Sejagat

Penggubalan Falsafah Pendidikan Negara pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidkan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Negara. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancang oleh UNESCO dalam tahun 1980-an telah dimanifestasikan dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Negara iaitu pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan. Hal Ini jelaslah mencerminkan konsep pendidikan seumur hidup.

“..Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh...”

Warganegara yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan dapat direalisasikan andainya diberi pendedahan awal tentang kepentingan ilmu semasa di sekolah lagi. Oleh itu, sistem pendidikan di Malaysia perlu merangkumi aspek sejagat yang boleh melahirkan warganegara yang bertaraf antarabangsa setaraf dengan negara maju yang lain.

MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Kebangsaan (FPK) maka matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari pelbagai aspek iaitu jasmani, emosi,rohani, intelek dan sosial supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna. Dengan kata lain matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna serta menghayati cirri-ciri:

  1.  Percaya kepada tuhan.
  2.  Berakhlak mulia.
  3.  Berilmu pengetahuan.
  4.  Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
  5.  Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu
  6.  Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.


Matlamat lain Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya sebagai seorang warganegara. Malaysia adalah negara hampir maju dan penduduknya semakin bertambah dari hari ke hari. Oleh itu, warganegara yang bertanggungjawab adalah diperlukan bagi membina negara Malaysia.

Matlamat kedua ialah ingin menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna. Rakyat yang mahir serta progresif mampu untuk membantu menaikkan taraf ekonomi negara. Matlamat yang ketiga ialah melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara. Taat setia kepada Raja adalah penting kerana akan dapat mengelakkan dari berlakunya pembelotan dan Malaysia tidak akan diceroboh kerana pengkhianatan rakyatnya.


Matlamat lain ialah melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan bersikap toleransi sesama rakyat untuk mewujdkan perpaduan berbilang kaum. Rakyat yang sentiasa bertolak ansur adalah rakyat yang membawa perpaduan di dalam Malaysia. Rakyat inilah yang dapat membentuk negara Malaysia yang aman serta selamat. Rukun Negara mempunyai 5 prinsip yang menjadi teras kepada perpaduan Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan kepada Raja dan Negara, kepercayaan kepada perlembagaan, kepercayaan kepada undang-undang dan terakhir sekali kesopanan dan kesusilaan.

Selain itu, matlamat FPK ialah mengurangkan jurang perbezaan dari segi ekonomi sosial dan peluang di antara kaum. Pada zaman dahulu terdapat jurang perbezaan yang besar antara kaum di Malaysia. Melayu duduk di kampung, cina duduk di lombong dan India duduk di estet. Seperti yang kita lihat pada hari ini, perbezaan yang amat ketara dalam pendidikan antara kaum Melayu, Cina dan India. Kaum cina lebih maju berbanding kaum lain di Malaysia. Oleh itu sekolah amat berperanan penting dalam merapatkan jurang antara kaum ini dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada murid-murid. Hal ini bertujuan murid-murid dapat bersama-sama tolong menolong dan bertoleransi antara satu sama lain agar keharmonian dan kemakmuran

Kesimpulannya, FPK ini digubal adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai seimbang dari pelbagai aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. FPK perlu dilaksanakan di sekolah kerana untuk memupuk semangat perpaduan sejak dari awal lagi untuk mengelakkan permusuhan antara kaum pada dewasa kelak. Selain itu FPK ini untuk melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia dan mempunyai nilai moral yang tinggi berpandukan agama yang benar. Oleh itu, guru memainkan peranan yang amat penting sebagai agen penyebar dalam menerapkan nilai-nilai murni ini kepada murid agar wawasan dan hasrat Negara tercapai.

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Negara Malaysia sedang mengalami proses pembangunan, oleh itu agak penting kita mempunyai falsafah pendidikan kita sendiri. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) digubal pada 1988, berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan ideologi Negara. Kini FPN dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti.

FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)



”Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Definisi Falsafah

Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani Φιλοσοφία philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
• Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas.
• Tujuannya untuk mendapatkan kebenaran

Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah1. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri.

Bagi rujukan umum, di sini kita mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba yang menyatakan bahawa Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah.

Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.


Definisi Pendidikan

Pendidikan berasal daripada perkataan Latin, educare yang membawa maksud memelihara atau mengasuh.

Menurut Kamus Pendidikan (1979), “Pendidikan adalah satu proses menyeluruh yang bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dan tingkahlaku manusia. Ia juga satu proses sosial yang memberi peluang kepada seseorang individu individu untuk memperoleh kemahiran sosial serta perkembangan peribadi. Di samping itu, ia dijalankan dalam satu suasana yang terpilih serta terkawal yang diinstitusikan dan dikenali sebagai sekolah.”

Mengikut John Dewey (1859-1952), Pendidikan adalah satu proses yang bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kedudukan manusia. Sekolah dilihat sebagai satu persekitaran khusus yang bersamaan dengan persekitaran sosial.

Mengikut Yusuf al-Qardawi (1980), Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang serting menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

Bagi Hassan Langgulung (1987), Pendidikan merupakan proses mengubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu. Proses pemindahan tersebut berlaku melalui cara-cara berikut:
(i) pengajaran – pemindahan pengetahuan daripada seorang individu kepada individu yang lain;
(ii) Latihan – membiasakan diri melakukan sesuatu bagi memperoleh kemahiran;
(iii) Indoktrinasi – menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan oleh orang lain.

• Ketiga-tiga cara ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.