:: Salam Pembuka ::

:: Pengawal Kerajaan ::

Followers

:: LOoked Interesting::

Showing posts with label Murid dan Alam Belajar. Show all posts
Showing posts with label Murid dan Alam Belajar. Show all posts

Thursday, December 10, 2009

Pendekatan Pengajaran Deduktif



konsep Deduktif

  • Ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada suatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan dikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang dikhususkan.
  • Pendekatan ini juga digunakan untuk mendapatkan kesimpulan atau generalisasi yang baru daripada rumus, prinsip, hukum, atau teorem yang diketahui.
  • Guru memberitahu murid objektif pada peringkat awal. Murid dibimbing mengingat kembali hukum, prinsip, teori atau peraturan yang berkaitan untuk membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau mendapatkan kesimpulan yang baru.

Ciri_ciri
  • Pembelajaran mementingkan pengetahuan yang akan diperolehi oleh murid
  • Pendekatan ini menggunakan pengantara fikiran untuk mendapatkan ilmu
  • Penyusunan isi mestilah dimulakan daripada keseluruhan kepada yang lebih kompleks
  • Pembelajaran kefahaman lebih kekal daripada teknik hafalan.

Jenis Pendekatan Deduktif

(a) Untuk penyelesaian masalah

Pendekatan deduktif banyak digunakan untuk menyelesaikan masalah. Contohnya, setelah murid mempelajari imbuhan “ber” mereka disuruh membuat beberapa ayat dengan menggunakan imbuhan “ber”.

(b) Untuk membuat generalisasi baru

Boleh digunakan untuk membuat generalisasi baru. Contohnya, setelah murid mempelajari rumus luas segiempat tepat, mereka dibimbing menggunakan rumus itu untuk mendapat rumus luas segitiga bersudut tegak.

(c) Untuk membukti hipotesis

Boleh digunakan untuk membuat hipotesis melalui prinsip atau hukum yang telah dipelajari. Contohnya, setelah murid mempelajari teorem sudut-sudut bersebelahan atas garis lurus mereka dibimbing menggunakan teorem ini untuk membuktikan hasil tambah tiga sudut dalam sebuah segitiga.

Prinsip-prinsip

  • Pada peringkat permulaan, masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu.
  • Murid-murid harus dibimbing mengingat kembali rumus, generalisasi, prinsip, teorem atau teori agar membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau hipotesis yang telah didedahkan.
  • Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau membukti hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan secara mendalam.
  • Penggunaan pendekatan deduktif haruslah dilaksanakan mengikut prosedur dengan tepat.
  • Proses menyelesaikan masalah atau untuk membuktikan hipotesis tidak terhad kepada menggunakan satu generalisasi, prinsip, rumus,hukum atau teori yang telah dipelajari.
  • Guru sendiri tidak perlu menunjukkan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membukti hipotesis, tetapi membimbing murid melalui aktiviti soal-jawab sehingga mereka menjalankan aktiviti penyelesaian masalah sendiri.

Pendekatan Pengajaran Induktif



Pengenalan

  • Bermula daripada spesifik kepada umum-dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan menuju ke arah sesuatu generalisasi. (J.M Kierzek dan W. Gibson, 1960)
  • Pelajar mengalami satu proses mental yang mana ia memerhati, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek sebelum membuat generalisasi. (B. Seaton, 1982)
  • Satu kaedah di mana guru memulakan pengajaran dengan memberikan beberapa contoh yang khusus dan membuat kesimpulan untuk membentuk sesuatu konsep.
  • Menggunakan kaedah penemuan kerana melibatkan proses memerhati, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek sebelum membuat generalisasi.
  • Sesuai digunakan untuk pelbagai mata pelajaran khususnya matematik, sains dan bahasa.

Jenis-jenis Pendekatan Induktif

  • Membentuk satu generalisasi daripada contoh-contoh tertentu
  • Membentuk satu prinsip daripada ujikaji tertentu.
  • Membentuk satu hukum daripada pernyataan-pernyataan tertentu.
  • Mendapat satu teori daripada satu urutan pemikiran.

Prinsip-prinsip

  • Contoh haruslah relevan dan sesuai untuk menerangkan sesuatu.
  • Guru membimbing pelajar untuk membuat membuat kesimpulan.
  • Guru beri peluang kepada pelajar kepada untuk memerhati dan menganalisis contoh agar generalisasi dapat dibuat.
  • Guru rancang aktiviti pengajaran yang berkisar daripada contoh khusus kepada kesimpulan umum.
  • Jenis contoh khusus haruslah dipelbagaikan tapi mengandungi ciri yang sama serta mudah untuk pelajar mengenalpasti.
  • ABM disediakan untuk membantu pelajar mendapatkan kesimpulannya.
  • Mesti mengikut urutan yang tepat.

8 PRINSIP PEMBELAJARAN PETER T. EWELL



Terdapat 8 prinsip pembelajaran yang dinyatakan oleh Peter Ewell, iaitu:

  1. - Penglibatan yang aktif
  2. - Perkaitan dan corak/konstruktivisme
  3. - Pembelajaran informal
  4. - Pengalaman langsung
  5. - Situasi mendesak
  6. - Maklum balas berterusan
  7. - Suasana yang menyeronokkan
  8. - Refleksi

Motivasi dan Pendekatan Sosiobudaya



Pendekatan sosiobudaya ialah hasil gabungan antara pendekatan behaviorisme dan pendekatan kognitivisme. Oleh itu, pendekatan ini mengambil kira penekanan ahli behaviorisme ke atas kesan atau hasil sesuatu tingkahlaku dan minat ahli kognitif ke atas impak hasil daripada kepercayaan serta harapan murid itu. Pendekatan ini boleh dikaitkan dengan teori efikasi kendiri dalam memotivasikan murid. Pendekatan ini juga mementingkan penglibatan manusia dalam aktiviti atau bertingkah laku agar dapat mengekalkan identiti dan hubungan interpersonal dalam suatu masyarakat.

Tokoh sosiobudaya mengatakan bahawa motivasi adalah sesuatu yang bersifat sosial dan oleh sebab itu mereka menekankan penglibatan guru dalam komuniti amalan. Hal ini bermaksud murid-murid akan lebih bermotivasi untuk belajar sekiranya rakan sebaya mempunyai motivasi untuk belajar dan masyarakat sekelilingnya juga menitikberatkan soal pembelajaran.

Tokoh yang menjadi pelopor kepada pendekatan ini ialah Albert Bandura yang telah banyak membuat kajian mengenai bagaimana manusia belajar melalui pemerhatian, peniruan dan peneguhan vicarious (mengharapkan peneguhan yang sama apabila memerhati orang lain yang mendapat ganjaran apabila melakukan sesuatu tingkah laku). Contoh kajian yang beliau pernah lakukan ialah melihat bagaimana kanak-kanak belajar melalui modelling. Di samping itu, beliau juga telah mengkaji bagaimana persepsi kita terhadap ancaman boleh mempengaruhi rembesan neurotransmitters serta hormon yang berkaitan dengan tekanan ke dalam pengaliran darah. Oleh yang demikian, beliau telah mengutarakan satu konsep iaitu efikasi kendiri. Selain itu, Bandura telah berjaya mengembangkan sejenis teori kognitif sosial yang berkisar mengenai bagaimana manusia berfungsi.

Albert Bandura (1963) telah menggabungkan teori psikologi tingkah laku dan psikologi kemanusiaan ke dalam kerangka Model Efikasi Kendiri dan seterusnya model ini dapat menerangkan dengan jelas tentang proses perubahan tingkah laku. Kebolehan murid merubah tingkah laku mereka bergantung kepada tiga aspek kendiri yang utama. Aspek yang pertama ialah keputusan murid tersebut sama ada ingin mencuba sesuatu tindakan atau tidak melakukannya, aspek kedua pula ialah ketabahan murid untuk melaksanakan sesuatu tindakan dan aspek yang ketiga ialah kejayaan seseorang murid dalam menjalankan tugasnya atau kelakuan baru dengan kemahiran yang mencukupi dan insentif yang bersesuaian.

Jika dilihat kepada teori pembelajaran sosial Bandura (1997), beliau menyarankan betapa pentingnya pemerhatian, peniruan dan peneguhan vikarious. Peneguhan vikarious ialah keadaan apabila murid mengharapkan peneguhan yang sama jika memerhatikan orang lain mendapat ganjaran hasil dari tingkah laku mereka. Salah satu contoh daripada peneguhan vikarious ialah apabila murid memandang tinggi serta mengagumi gurunya, maka dia akan tekun belajar kerana ingin menyerupai model yang dikaguminya itu serta menginginkan peneguhan daripada gurunya itu. Kesimpulannya, peneguhan vikarious dan peneguhan langsung amat penting dalam meningkatkan efikasi kendiri murid terhadap sesuatu tugas dan seterusnya akan membawa ke peringkat motivasi yang lebih tinggi.

Menurut Bandura lagi, seseorang individu akan bertingkahlaku berdasarkan kepada kepercayaan mereka menilai kebolehan diri sendiri berbanding dengan apa yang sebenarnya boleh dicapai oleh mereka. Ini bermaksud persepsi efikasi kendiri membantu dalam menentukan bagaimana murid menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi. Hal ini disebabkan oleh tingkah laku murid yang kadangkala berbeza dengan kebolehan sebenar dan tingkah laku tetap berbeza walaupun mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang sama.

Kepercayaan efikasi kendiri akan merangsang pencapaian murid dan seterusnya mempengaruhi pilihannya terhadap tindakan yang akan diambil selanjutnya. Oleh itu, murid lebih cenderung untuk memilih tugasan dan aktiviti yang mereka rasa kompeten dan yakin. Mereka akan mengelak tugasan atau soalan yang dirasakan tidak mampu untuk menjawabnya kerana walau apa jua faktor yang beroperasi, kepercayaan murid terhadap dirinya sama ada boleh atau tidak mencapainya tetap menjadi asas utama.

Selain itu, kepercayaan efikasi kendiri juga membantu dalam menentukan berapa banyak usaha murid boleh melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti, tempoh masa untuk berusaha apabila berdepan dengan halangan serta betapa kuatnya diri mereka apabila berada dalam situasi yang sukar. Semakin tinggi efikasi kendiri murid, semakin tekun dan berusaha seseorang murid itu. Seseorang murid yang mempunyai kompetensi peribadi yang tinggi akan menghadapi tugasan atau soalan-soalan yang diajukan dengan tenang. Murid ini juga mempunyai motivasi dan minat intrinsik serta akan melibatkan diri secara aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Kepercayaan efikasi kendiri turut mempengaruhi pola pemikiran dan reaksi emosi murid. Ini kerana efikasi kendiri akan membantu menenangkan murid apabila menghadapi tugas atau masalah yang sukar. Individu yang mempunyai efikasi kendiri rendah seperti percaya bahawa sesuatu perkara atau soalan lebih sukar daripada sebenarnya dan kepercayaan ini akan menyebabkan wujudnya kebimbangan, stress, kemurungan serta jalan penyelesaian yang sempit untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Komuniti pembelajaran turut memainkan peranan penting dalam memotivasikan murid kerana mereka merupakan sekumpulan manusia yang saling berkongsi, bertindak secara koperatif dan kolaboratif, mempunyai matlamat yang dikongsi bersama serta saling membantu dalam proses belajar. Komuniti pembelajaran merujuk kepada sekecil-kecilnya kelompok manusia yang berkongsi cara hidup yang sama sehingga ke sebesar-besar kumpulan masyarakat. Komuniti pembelajaran juga boleh merujuk kepada perentasan kurikulum yang dipelajari secara hubung kait atau bersepadu dan bukannya terpisah. Menurut McMillan dan Cavis (1986), komuniti pembelajaran terdiri daripada empat ciri iaitu keahlian, pengaruh, memenuhi keperluan individu dan berkongsi peristiwa atau tindakan dan perasaan. Selain itu, komuniti pembelajaran juga merangkumi sekumpulan manusia yang berkongsi nilai dan kepercayaan dan secara aktif belajar bersama-sama dan juga belajar dengan individu lain.

Sekolah dan bilik darjah merupakan satu komuniti pembelajaran yang tidak kurang pentingnya sehingga boleh disamakan dengan satu keluarga yang rapat. Menurut Poston, Stone dan Murther (1992), “A school is a reflection of the community it serves. At the same time, a community is a reflection of its school”. Kenyataan ini membuktikan sekolah dan komuniti tidak dapat dipisahkan kerana hubungan kedua-duanya ini saling bergantungan antara satu sama lain. Kementerian Pelajaran Malaysia juga memperakui kepentingan hubungan ini. Sekolah memainkan peranan penting kerana apabila pihak sekolah mengutamakan pencapaian yang tinggi dalam akademik dan kokurikulum, murid-murid akan bermotivasi untuk mencapainya. Kepentingan hubungan sekolah dan komuniti selaras dengan pendapat Poston et. al. (1992) iaitu, “You cannot build a great school alone. The school needs the community and the community needs the school”. Oleh itu, kenyataan ini menunjukkan terdapat faedah tertentu hasil hubungan yang erat antara sekolah dan komuniti.

Komuniti pembelajaran memainkan peranan penting dalam memberikan motivasi kerana mereka perlulah membenarkan ahlinya meluahkan perasaan dan pandangan, mengeluarkan idea, saling membantu dan ajar apa yang patut. Lantaran, komuniti pembelajaran dalam satu bilik darjah dapat bergerak sebagai satu kumpulan yang mantap. Hal ini kerana pembelajaran dalam komuniti pembelajaran yang sihat akan membentuk insan yang berkembang secara menyeluruh dan menjadi ahli masyarakat yang positif.

Pengalaman pembelajaran murid bukan sahaja dipengaruhi oleh pengalamannya di sekolah semata-mata tetapi lebih luas daripada itu. Pada hakikatnya, guru tidak dapat mengawal persekitaran di luar sekolah murid dan oleh itu guru perlu mengambil kira faktor konteks luar dan berusaha sebaiknya untuk mendapatkan kerjasama komuniti serta masyarakat dalam usaha membentuk peribadi murid-muridnya. Kenyataan ini berkaitan pula dengan Teori Bronfenbrenner yang terdiri daripada lima sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem.
Jika dilihat kepada faktor ibu bapa, mereka tergolong dalam mikrosistem di mana mereka adalah individu yang hampir dengan murid-murid. Hoover-Dempsey dan Sandler (1997) telah mengemukakan model penglibatan ibu bapa dan dari perspektif psikologinya, model ini menerangkan mengapa ibu bapa melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka serta bagaimana penglibatan mereka boleh mempengaruhi pencapaian anak mereka di sekolah. Model ini mempunyai aras dan aras yang paling tinggi ialah pencapaian kanak-kanak manakala aras paling rendah ialah penglibatan ibu bapa itu sendiri.

Menurut Solomon, Battishich, Watson, Schaps dan Lewis (2000), murid-murid yang mempunyai perasaan jaminan komuniti lebih berkecenderungan bermotivasi dari segi akademik, bertindak secara beretika dan altruistik serta berupaya membentuk kecekapan sosial dan emosi. Guru juga perlu menyedari bahawa pencapaian murid bergantung kepada motivasi diri mereka dan usaha guru yang mengajar mereka. Guru perlu berusaha untuk membantu murid mereka yang bermasalah agar mereka tidak kecundang dalam hidup.

Guru juga boleh menggunakan perkataan-perkataan yang khusus untuk memberi penekanan dan perhatian terhadap murid yang bermasalah. Tujuannya ialah untuk menonjolkan kekuatan yang positif yang terdapat dalam diri murid itu sendiri. Antara perkataan yang boleh digunakan ialah “anda tidak akan berjaya selagi anda tidak membuktikan kejayaan tersebut”. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan perkataan ini memberi keputusan yang membanggakan. Guru juga perlu menyedari bahawa peranan yang dimainkan oleh guru yang mengajar dalam kelas adalah lebih efektif berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh kaunselor semasa sesi kaunseling.

Secara umumnya pengaruh sosial kepada motivasi pelajar terbahagi kepada tiga aspek iaitu persaingan, sikap individu murid dan konsep kerjasama. Persaingan yang sihat perlu dipupuk dalam kalangan murid kerana persaingan dapat meningkatkan motivasi seseorang murid untuk belajar lebih tekun. Murid yang mempunyai pesaing juga dilihat mempunyai keyakinan dan minat yang tinggi dalam pelajaran serta sentiasa bersemangat di dalam kelas kerana semulajadinya setiap individu ingin menjadi orang yang pertama.
Aspek kedua ialah sikap individu murid. Sikap murid itu sendiri merupakan perkara paling penting kerana jika mereka tidak berminat dan tiada matlamat yang ingin dicapai, maka guru tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada memberi motivasi dan dorongan yang termampu sahaja. Kadang-kala terdapat juga murid yang mempunyai matlamat yang salah iaitu inginkan ganjaran yang ditawarkan oleh guru semata-mata dan kebiasaannya tindakan ini hanya untuk dirinya sendiri sahaja. oleh itu matlamat utamanya ialah mendapatkan apa yang diinginkan sahaja.

Aspek yang terakhir ialah konsep kerjasama yang mana memerlukan murid-murid berusaha bersama-sama untuk mendapat kejayaan yang diingini. Sebagai murid yang berada dalam komuniti pembelajaran yang sama, rakan sekelas yang berjaya perlu memberi kerjasama yang baik untuk membantu rakan yang lemah dan bermasalah agar sama-sama berjaya di dalam peperiksaan.

Kesimpulannya, pendekatan sosiobudaya adalah berkaitan konsep identiti dan identiti pula berpunca daripada penglibatan dalam komuniti pembelajaran yang berada di persekitarannya. Jika baik kedua-duanya, maka masalah murid yang tidak mempunyai motivasi dapat ditangani dengan baik. Oleh itu murid perlu dimotivasikan untuk belajar nilai serta amalan kumpulan, komuniti dan masyarakat di mana murid tersebut berada agar dapat mengekalkan identitinya yang sebenar.

Motivasi dan Pendekatan Kognitivisme



Pendekatan ini mencuba menunjukkan bahawa keinginan mengekalkan imej kendiri adalah merupakan satu kuasa motivasi yang kental. Banyak daripada tingkahlaku kita adalah bertujuan untuk mengekalkan standard yang kita kenakan pada diri kita sendiri. Contohnya jikalau kita merasa diri kita orang yang amanah dan bertanggungjawab, maka kemungkinan besar segala perbuatan kita akan mengambilkira nilai dalam diri kita ini, walau pun dalam keadaan di mana tidak ada seorang pun yang memerhatikan kita, kerana kita mahu kekalkan imej kendiri kita itu. Jikalau kita percaya diri kita cerdik dan berkebolehan tinggi, maka kita akan bertindak cara yang sepatutnya bagi menentukan kita sentiasa dalam keadaan selesa dengan imej kendiri itu. Walau bagaimanapun tidak dinafikan adakalanya dalam keadaan tertentu perbuatan kita bercanggah dengan imej kendiri serta nilai dan kepercayaan kita kerana menjaga sesuatu kepentingan.

Pendekatan ini juga adalah hasil daripada rasa tidak puas hati terhadap pendekatan behavioursme. Ahli-ahli dalam bidang ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah ditentukan oleh pemikiran kita, bukan hanya disebabkan oleh kita diberikan ganjaran atau telah dihukum dengan melakukan perbuatan itu (Schunk, 1996; Stipek, 1993). Setiap tingkah laku yang dibuat adalah hasil daripada perancangan (Miller, Galanter, & Pribram, 1960), matlamat (Locke & Latham, 1990), skema (Ortony, Clore, & Collins, 1988), pengharapan (Vroom, 1964), dan atribusi (Weiner, 1992). Andaian yang dibuat dalam pendekatan ini ialah respon yang diberikan oleh kita bukan disebabkan oleh situasi luaran atau keadaan fizikal tetapi sebaliknya berdasarkan interpretasi ke atas situasi dan kejadian ini. Sebagai contoh, apabila kita begitu terlibat dalam sesuatu projek kita lupa makan, dan tidak pula terasa lapar sehinggalah kita melihat jam pada masa itu. Dalam pendekatan ini manusia dilihat sebagai aktif dan tinggi rasa ingin tahu, dan sentiasa mendapatkan maklumat untuk menyelesaikan persoalan personal yang relevan. Manusia bekerja keras kerana mereka suka bekerja dan kerana mereka ingin memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna pendekatan kognitif menekankan motivasi intrinsik yang ada dalam diri seseorang itu.

Motivasi dan Pendekatan Humanistik



Pendekatan ini juga dikenali sebagai ‘third-force’ di awal tahun 1940an sebagai gerak balas terhadap dua pendekatan yang dominan pada masa itu, iaitu behaviuorisme dan psikoanalisis Freud. Pelopor bidang humanistik seperti Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat bahawa kedua-dua pendekatan behaviuorisme dan psikoanalisis tidak dapat menerangkan dengan sepenuhnya mengapa seseorang itu bertindak.

Pendekatan humanistik mencuba menunjukkan bahawa keinginan intrinsik seseorang itu adalah digerakkan oleh keperluan untuk mencapai “self-actualization” (Maslow, 1968, 1970), “inborn actualizing tendency” (Rogers & Freiberg, 1994), atau keperluan kepada “self-determination” (Deci, Vallerand, Pelletier, & Ryan, 1991).

Pada dasarnya teori ini berpegang kepada kepercayaan bahawa manusia dilahirkan dengan keinginan untuk berusaha memenuhi potensi yang ada pada mereka. Dalam pendekatan ini, memotivasikan pelajar adalah bermakna memberi ransangan kepada resos dalaman yang ada pada setiap orang, iaitu antaranya rasa kompeten diri, harga diri, autonomi, dan pemenuhan kendiri. Kajian mendapati pendekatan ini mencuba menonjol ‘self-esteem movement’, iaitu satu pendekatan yang kontroversi dalam memenuhi keperluan pelajar untuk mendapatkan kedudukan sosial melalui persoalan harga diri dan digniti para pelajar

Motivasi dan Pendekatan Behaviuorisme



Dalam pendekatan ini, konsep motivasi dikaitkan secara jelas dengan prinsip ganjaran dan peneguhan.Tingkahlaku yang telah diberikan peneguhan pada masa yang lalu diandaikan lebih berkemungkinan diulangi berbanding dengan tingkahlaku yang tidak diberikan peneguhan atau yang telah dikenakan hukuman.

Dalam pendekatan ini, soalan-soalan yang selalu ditanyakan adalah seperti berikut: Mengapakah ada di kalangan mahasiswa yang semakin tercabar dan semakin gigih berusaha apablia menghadapi kegagalan, tetapi sebaliknya ada pula yang terus merasa kecewa dan mengundur diri? Mengapakah pula ada di kalangan mahasiswa yang berusaha keras hanya semata-mata untuk memenuhi harapan kedua ibu bapa, dan ada pula yang belajar semata-mata kerana minat terhadap mata pelajaran itu? Mengapakah ada mahasiswa yang berjaya mencapai kejayaan lebih baik daripada jangkaan kemampuannya, dan ada pula yang sebaliknya?

Untuk memahami persoalan seperti ini, ahli-ahli kaji behaviourisme menerangkan motivasi melalui konsep ‘peneguhan/ganjaran’ dan ‘insentif’. Ganjaran ialah objek atau situasi yang menarik yang diperolehi hasil daripada sesuatu perbuatan atau tingkahlaku. Insentif pula ialah objek atau situasi yang menggalakkan atau tidak menggalakkan tingkah laku itu diulang. Sebagai contoh, janji untuk memberi Sijil Dekan kepada mahasiswa yang berusaha dengan gigih dan mendapat PNGK 3.5 ke atas adalah satu insentif kepada pelajar. Mendapat gred A juga adalah merupakan satu ganjaran dari usaha yang gigih. Oleh itu dari kacamata ahli behaviourisme, bagi memahami motivasi mahasiswa untuk mencapai gred cemerlang, maka perlulah dibuat satu analisis yang teliti berkenaan dengan sistem insentif dan ganjaran yang terdapat dalam masyarakat, sebagai contoh, kaitan antara peluang kerjaya dengan pencapaian akademik yang cemerlang.

Seterusnya, jikalau kita secara konsisten memberi ganjaran kepada sesuatu tingkahlaku yang diharapkan, dengan secara tidak langsung kita akan membentuk kebiasaan dalam diri pelajar untuk bertindak dengan cara yang tertentu. Sebagai contoh, jikalau mahasiswa-mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan diberikan ganjaran dalam bentuk pujian, wang ringgit, privilege, atau kedudukan tertentu kerana peranan mereka sebagai juara sukan di peringkat universiti, maka dengan sendirinya mereka akan berusaha mempergiatkan usahanya dalam bidang sukan berbanding dengan bidang akademik bagi tujuan mendapatkan segala ganjaran itu.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Motivasi Intrinsik



i) Persepsi Kebolehan

Seseorang itu membentuk kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian berkenaan kebolehannya oleh orang lain. Kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian berkenaan kebolehannya yang sebenar. Semakin tinggi pencapaian seseorang pelajar, semakin besar kemungkinan pelajar itu menilai dirinya sebagai berkebolehan. Kebolehan yang dipersepsi ini mempengaruhi bagaimana pelajar itu rasa berkenaan dirinya. Pelajar yang mempunyai kebolehan yang dipersepsi yang tinggi kemungkinan besar mempunyai keyakinan diri sendiri. Pelajar ini sukakan cabaran, mempunyai sifat ingin tahu dan bertindak bebas bagi mencapai kemahiran.

ii) Persepsi kawalan

Menurut Cole dan Chan (1987), pendapat pelajar berkenaan punca kawalan iaitu sebab-sebab kejayaan dan kegagalan adalah persepsi kawalan. Kajian-kajian yang dijalankan oleh Harter (1981), Nicholls (1984) dan Weiner (1984) menunjukkan, pelajar menyatakan kejayaan dan kegagalan mereka di sekolah disebabkan oleh punca-punca dalaman yang dapat dikawal seperti usaha sendiri dan berupaya berusaha dalam keadaan sebenar.

iii) Perasaan dalam pembelajaran

Perasaan merangkumi sikap, nilai, minat dan pilihan yang ditunjukkan oleh individu pada sesuatu benda, perkara ataupun orang. Di sekolah, perasaan yang ditunjukkan oleh pelajar berkait dengan mata pelajaran yang dipelajari, guru dan sekolah. Seseorang pelajar mungkin mempunyai perasaan positif pada sesuatu mata pelajaran. Dia lebih sukakan mata pelajaran ini daripada mata pelajaran lain. Dia akan berusaha dengan giat bagi mendapatkan gred yang tinggi bagi mata pelajaran ini. Gred yang baik akan meyakinkannya yang dia betul-betul berkebolehan dalam bidang itu. Di sini, dapat dikatakan yang perasaan pelajar pada sesuatu mata pelajaran mempengaruhi pencapaiannya dan pencapaian ini mempengaruhi motivasinya.

Kelakuan dan tugasan individu dipengaruhi oleh kebolehan dan caranya mengawal keadaan. Konsep kendiri positif memberi keyakinan kepada individu yang dia mampu melakukan sesuatu tugasan. Selain itu, individu dapat menentukan sendiri tugasannya. Dia akan melibatkan diri dalam tugasan itu dan juga matlamat yang mendatangkan kejayaan kepadanya. Individu hanya akan mempunyai konsep kendiri yang dia berkebolehan dan dapat mengawal usahanya sekiranya dia mempunyai motivasi intrinsik untuk berusaha tinggi. Terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan bagi membantu pelajar dalam mempertingkatkan motivasi intrinsik mereka. Ramalan keadaan Rothaum, Weisz dan Synder (1982) berpendapat, cara bagi memper-tingkatkan persepsi diri pelajar pada kebolehan dan kawalan usaha adalah dengan mewujudkan keadaan yang dapat diramalkan bagi membolehkan mereka belajar.

Tingkah laku produktif wujud sekiranya keadaan dapat diramal. Bandura (1986) pula mengatakan, individu mengalami ketegangan sekiranya dia bekerja dalam suasana yang dia tidak dapat mengawalnya dan dia tidak mempunyai kebolehan. Ini mendatangkan dua implikasi. Pertama, dia mungkin menarik diri iaitu tidak melakukan tugasannya. Kedua, dia mungkin menjadi terlalu bergantung pada orang lain dalam melakukan tugasannya. Guru dapat memainkan peranan dalam mengurangkan ataupun menangani ketegangan ini. Contohnya, dengan menganjurkan program orientasi kepada pelajar baru. Ini dapat mendedahkan mereka kepada situasi baru di sekolah itu.

Minat intrinsik dalam pelajaran dapat dikekalkan dengan memberi tugasan yang seimbang. Tugasan itu perlu seimbang iaitu ada soalan yang mudah dan ada soalan yang sukar. Yang penting, persepsi diri pelajar tidak terjejas. Pelajar perlu melahirkan kebolehan yang baru bagi mengekalkan motivasi intrinsik.

iv) Bantuan pengajaran

Faktor yang dapat meningkatkan konsep kendiri pelajar berkenaan kebolehannya adalah kejayaan dalam sesuatu tugasan. Biasanya pelajar memerlukan bimbingan guru dalam melaksanakan tugasan yang sukar. Guru biasanya memberitahu pelajar prosedur bagi menyelesaikan tugasannya. Guru jarang memberi peluang kepada pelajar memikirkan cara tersendiri bagi memperoleh kejayaan dalam tugasannya. Guru sebaik-baiknya mendedahkan pelajar kepada kemahiran membuat keputusan sendiri. Biarkan pelajar membuat keputusan sendiri tetapi dengan bimbingan guru. Ini dapat meningkatkan motivasi intrinsik pelajar. Cara lain yang dapat dilakukan adalah dengan memberi bantuan pengajaran kepada mereka. Ini dapat dilaksanakan melalui tiga cara:

1. Menunjukkan contoh

  • Guru perlu menunjukkan contoh berkenaan apa yang pelajar perlu lakukan. Ini lebih baik daripada memberitahu pelajar berkenaan apa yang mereka perlu buat. Ini membolehkan pelajar menghayati sifat-sifat yang terdapat dalam contoh itu. Dalam keadaan ini, guru memberi peluang kepada pelajar supaya berfikir, mengawal usaha dan menentukan bagaimana serta sejauh mana pelajar bergantung pada contoh-contoh yang diberi.

2. Pembahagian tugas
  • Strategi ini membolehkan guru memberi tugasan yang mencabar kepada pelajar. Tugasan dapat dibahagi kepada bahagian-bahagian kecil dan setiap bahagian dilakukan oleh beberapa orang pelajar. Contohnya, sebelum guru meminta pelajar mengarang sebuah esei, guru akan meminta pelajar menyediakan rangka esei. Guru terlebih dahulu membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan diberi tugasan kecil seperti bahagian pengenalan, isi-isi penting dan penutup. Perbincangan diadakan sebelum setiap pelajar mengarang esei itu secara individu.
3. Berkongsi tugasan
  • Pendekatan ini hampir sama dengan pendekatan pembahagian tugasan. Kedua-dua pendekatan ini memerlukan tugasan dibahagi-kan kepada tajuk-tajuk ataupun bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contohnya, dalam aktiviti menghasilkan dokumen berkenaan sejarah Malaysia. Tajuk ini dapat dipecahkan kepada beberapa contoh kecil dan kumpulan kecil pelajar hanya perlu membuat satu tajuk kecil. Kemudian, maklumat tajuk-tajuk kecil ini digabungkan bagi menghasilkan satu dokumen yang lengkap.

JENIS-JENIS MOTIVASI



Pengenalan

Motivasi berpunca dari dalam ataupun dari luar diri seseorang. Dalam pembelajaran, guru perlu tahu sama ada pelajarnya cenderung kearah motivasi yang timbul dari dalam ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha. Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan dan ingin tahu disebut ‘motivasi intrinsik’. Motivasi yang berpunca dari luar iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi ekstrinsik’

Motivasi Ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik akan menyebabkan daya usaha pelajar itu meningkat. Peneguhan adalah suatu motivasi ekstrinsik yang boleh memberi kesan kepada tingkahlaku seseorang pelajar.

Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984), peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan, kelas tahanan, deraan fizikal dan pelbagai jenis hukuman lagi. Guru juga menggunakan sindiran, kemarahan dan kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua jenis hukuman memberikan kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis ini lebih baik dielakkan. Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu dibenarkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian Pendidikan.

Motivasi intrinsik

Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Sebagaimana yang sudah dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Harter (1981) mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas, penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan kriteria dalaman untuk kejayaan.

Pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik sukakan pekerjaan yang mencabarkan. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk bekerja bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru bagi mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun penilaian.

Menurut Deci (1975), motivasi intrinsik dapat diterangkan sebagai suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila individu menganggap diri mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu dengan sendiri. Seseorang itu mengalami motivasi intrinsik yang tinggi sekiranya dapat melakukan sesuatu yang digemari seperti memandu kereta, melawat tempat-tempat yang disukai, memilih tempat penginapan dan memilih makanan yang diidamkan. Sekiranya dia diberikan hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang ditentukan oleh badan penganjur, tempat penginapan dan jenis makanan juga ditentukan oleh pihak itu, dia tidak mendapat peluang hendak menentukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi intrinsiknya menjadi terlalu rendah.

Guru yang mahu meningkatkan motivasi intrinsik pelajar dalam bidang akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang memberi peluang kepada pelajar mengawal. Guru juga perlu menentukan pelajar itu dapat melakukannya dengan cemerlang dalam keadaan itu. Walau bagaimanapun, perlu ditentukan terlebih dahulu yang pelajar itu mempunyai persepsi yang diri mereka berkebolehan. Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu, peluang-peluang yang diberikan bagi mengawal tidak akan digunakan dengan sempurna.

Kaitan antara Motivasi Intrinsik dan Motivasi Ekstrinsik

Setiap manusia dapat dimotivasikan secara intrinsik ataupun ekstrinsik. Individu yang bermotivasi intrinsik mempunyai dorongan dalaman. Mereka melakukan sesuatu atas kesedaran diri sendiri. Mereka tidak memerlukan unsur-unsur luar seperti orang lain ataupun peristiwa luar bagi menggiatkan mereka mencapai sesuatu matlamat. Mereka sendiri menentukan objektif dan seterusnya mencapai objektif itu.

Deci dan Ryan (1985) berpendapat, manusia akan bermotivasi intrinsik apabila mereka mempunyai persepsi ataupun konsep kendiri yang mereka berkebolehan dan mampu membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, orang yang bermotivasi ekstrinsik tidak yakin mereka berkebolehan ataupun mampu membuat keputusan. Mereka bergantung pada orang lain dalam membuat keputusan dan melaksanakan tugasan mereka. Kadang-kadang mereka bekerjasama dengan orang lain yang lebih berkebolehan bagi mendapatkan kebaikan. Mereka juga kadang-kadang memberontak pada orang yang lebih berkebolehan.

Seseorang yang tidak mempunyai mempunyai motivasi intrinsik perlu diberi motivasi ekstrinsik agar lama-kelamaan motivasi intrinsik akan terbina dalam dirinya dan seseorang yang telah mempunyai motivasi intrinsik perlu juga diberi motivasi ekstrinsik agar motivasi intrinsik yang ada terus berkekalan dalam dirinya. Manusia biasanya tidak akan berada pada satu jenis motivasi sahaja. Kadang kala, individu bermotivasi intrinsik dan kadang-kadang bermotivasi ekstrinsik. Ini bergantung pada situasi dan keperluan individu.

MOTIVASI & PEMBELAJARAN



Definisi Motivasi

Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan hendak berjaya ataupun hendak mencapai sesuatu. Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rangsangan untuk kejayaan seseorang ataupun rangsangan hendak mengelakkan diri daripada kegagalan. Orang yang mempunyai motivasi bererti dia sudah memperoleh kekuatan bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup sama ada di dunia ataupun akhirat ataupun keduanya sekali. Ahli psikologi memfokuskan pada tiga persoalan asas mengenai motivasi iaitu :

1. Apakah yang menyebabkan seseorang memulakan satu tingkah laku?
2. Apakah yang menyebabkan seseorang bergerak ke arah matlamat atau impian?
3. Apakah yang menyebabkan seseorang tabah dan berkeras hendak mencapai impian itu?

Motivasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu motivation yang bermakna bersemangat. Motivasi adalah sesuatu yang ada (ataupun tiada) dalam diri dan minda yang akan menentukan kejayaan ataupun kegagalan dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Wikipedia mendefinisikan motivasi sebagai suatu proses untuk menggalakkan sesuatu tingkahlaku supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang tertentu.

Menurut Kimble, et al(1984) motivasi adalah proses yang terjadi dalam diri yang menciptakan tujuan dan memberikan tenaga bagi tingkahlaku seseorang iaitu daya penggerak yang ada di dalam diri seseorang untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu demi mencapai suatu tujuan.

Santrock (2008) mengatakan “motivation is the reason why people behave the
way they do. Motivated behavior is energized, directed, and sustained”. Motivasi
adalah kuasa yang menggerakkan manusia mencapai sesuatu matlamat

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang penting yang membolehkan murid-murid melibatkan diri secara aktif, disamping menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam keadaan bermakna, berfaedah dan menggembirakan (Kamarudin Hj Husin, 1993)


KONSEP MOTIVASI

Apakah perkara yang menggerak dan menentukan tingkah laku seseorang itu? Antara traits yang selalu dikaitkan dengan konsep motivasi ialah : Keinginan (drives), keperluan (needs), insentif, rasa takut (fears), matlamat (goals), tekanan sosial (social pressure), kepercayan diri (self-confidence), minat (interests), rasa ingin tahu (curiousity), kepercayaan (beliefs), nilai (values), pengharapan (expectations), dan berbagai lagi.

Konsep motivasi juga dapat dijelaskan berdasarkan ciri-ciri individu atau traits. Sebagai contohnya, ada pelajar yang bertindak melakukan sesuatu disebabkan keinginan yang tinggi untuk berjaya; tetapi ada pula yang bertindak disebabkan takut untuk gagal; mungkin juga mereka bertindak kerana minat yang sangat mendalam dalam perkara itu, dan mungkin pula semata-mata disebabkan rasa bertanggung jawab kepada kedua ibubapa yang menaruh harapan begitu tinggi terhadap mereka.

Ada pula ahli Psikologi yang berpendapat bahawa konsep motivasi dirujukkan kepada keadaan diri seseorang buat masa itu sahaja. Sebagai contoh, semua pensyarah yang mengikuti kelas psikologi berusaha memberi sepenuh perhatian terhadap kuliah hari itu kerana mereka tahu apa yang diajar penting untuk ujian kenaikan pangkat. Pada dasarnya, motivasi yang terbentuk pada sesuatu ketika itu adalah gabungan antara traits diri dan keperluan pada masa itu. Persoalan yang boleh diajukan kepada diri sendiri: Adakah saya berada dalam bilik kuliah hari ini disebabkan saya menghargai ilmu, atau adakah kerana saya perlu menduduki ujian?

Satu kesimpulan boleh dibuat bahawa motivasi bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang masing-masing dikenali sebagai motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

Wednesday, July 29, 2009

KONSEP PEMBELAJARAN




Crow dan Crow mendefinisikan pembelajaran sebagai satu perolehan tabiat, pengetahuan dan sikap. Ia melibatkan cara baru membuat sesuatu kerja, dan ia kan bertugas dalam percubaan individu untuk mengatasi rintangan atau untuk menyesuaikan diri kepada situasi baru. Ia merupakan satu proses perubahan tingkah laku yang progresif sambil individu itu bertindak balas kepada sesuatu situasi atau berbagai situasi dalam menyesuaikan tingkah lakunya dengan berkesan kepada permintaan yang dibuat terhadapnya. Ia juga membolehkan individu memenuhi minat atau mencapai matlamat.


Mengikut Mook Song Sang (2009) konsep pembelajaran dikategorikan berlandaskan teori-teori pembelajaran masa kinidan diklafikasikan kepada empat mazhab iaitu behavioris, kognitif, sosial dan humanis. Di antara tokoh-tokoh yang terpengaruh bagi mazhab behavioris ialah Parlov, Thorndike dan Skinner. Tokoh-tokoh ini berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian yang dijalankan ke atas haiwan. Mereka telah menumpukan ujian tersebut terhadap perperhubungan ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Ini menunjukkan tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal serta diramal. Pembelajaran hanya boleh bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap sesuatu ransangan yang ada. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi yang sesuai dan akan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan dikekalkan.


Tokoh-tokoh mazhab kognitif seperti Kohler, Bruner, Gagne dan Ausebel berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam alam fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Mereka menekankan proses kognitif yang menghasilkan perubahan tingkah laku dalam pembelajaran. Selain itu, mereka berpendapat bahawa pembelajaran adalah satu proses kognitif untuk perhubungan perkara-perkara dalam persekitarannya dan mempunyai objektif atau motif tertentu. Apa yang dimaksudkan disini adalah, sekiranya ia tidak dapat mngenal pasti perhubungan perkara dan erti yang dipelajari, walaupun melalui latihan brkali-kali, pembelajaran tidak akan berlaku. Mereka tidak bersetuju dengan teori smulasi-tindak balas yang menyatakan pembelajaran berlaku kerana stimuli-tindak balas dan latihan berulang-ulang. Mereka berpendapat pembelajaran adalah proses kognitif untuk perhubungan perkara-perkara dalam persekitarannya.

Mazhab sosial menyarakankan teori pembelajaran dengan menggabungkan teori mazhab behavioris bersama dengan mazhab kognitif. Teori mazhab sosial yang dipelopori oleh Bandura, menegaskan bahawa pembelajaran melalui proses pemodelan. Pemodelan yang dimaksudkan ialah melalui pemerhatian atau peniruan. Pembelajaran meliputi pelbagai aspek bukan sahaja tingkah laku manusia yang nyata tetapi juga meliputi aspek pemikiran dalaman seperti yang disarankan oleh ahli psikologi kognitif.

Melalui mazhab humanis pembelajaran manusia amat bergantung kepada emosi dan perasaannya. Setiap individu mempunyai cara yang berbeza denga individu ynag lain. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah diatur mengikut kehendak dan perkembangan emosi pelajar itu sendiri. Mengikut ahli-ahli mazhab humanis, berpendapat bahawa setiap individu mempunyai potensi dan keinginan mencapai kecemerlangan kendiri.

Sebagai kesimpulannya, ahli psikologi pada umumnya mentafsir pembelajaran sebagai proses, melalui latihan atau pengalaman organisma dan seterusnya menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Secara ringkas, pembelajaran boleh dibahagi kepada dua iaitu yang pertama, pembelajaran yang berlaku hasil daripada latihan atau pengalaman. Ini bermakna sebarang perubahan tingkah laku yang tidak pernah melaui latihan atau pengalaman tidak boleh disebut sebagai pembelajaran. Kedua adalah perubahan tingkah laku yang melalui pembelajaran yang mempunyai ciri kekal. Ini bermakna perubahan tingkah laku buat sementara sahaja. Pembelajaran dapat didapati mula berlaku apabila tindak balas diadakan terhadap ransangan yang timbul. Ia akan berterusan apabila motivasi yang berkaitan dikekalkan dan pembelajaran dikatakan berakhir apabila konsep baru dibentuk dan dikuasai.

KONSEP PENGAJARAN



Mengikut Kamus Dewan, pengajaran dapat didefinisikan sebagai perihal mengajar, segala sesuatu yg berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar, aspek yang dipentingkan dan ia juga meliputi segala sesuatu cara atau perbuatan yang diajarkan. Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Pengajaran ini meliputi semua aspek contohnya, aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian yang bertujuan untuk menyebarkan ilmu.

Mengikut Thomas F. Green, tujuan mengajar ialah menukar tingkah laku dan kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercaaan baru. Dalam proses pengajaran aktiviti latihan atau pelaziman merupakan satu usaha menukarkan tingkah laku pelajar, manakala teknik tunjuk ajar digunakan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan kepercayaan baru. Ini meliputi pelbagai aspek iaitu latihan, pelaziman, tunjuk ajar yang menukarkan tingkah laku dan kelakuan, di samping membawa ilmu pengetahuan dan kepercayaan baru kepada pelajar-pelajar.


Berdasarkan konsep tingkah laku yang diilustrasikan, beliau membuktikan tingkah laku adalah berkaitan dengan konsep ugutan dan ancaman fizikal. Manakala konsep kelakuan pula berkaitan dengan latihan dan pelaziman. Pengetahuan pula ialah hasil kognisi, iaitu mengetahui atau mengajar. Sedangkan kepercayaan pula mengandungi kekurangan bukti yang sah. Ia adalah sama dengan maklumat yang diperolehi daripada propoganda atau dusta. Mengikut Thomas, di antara lapan konsep yang berkaitan dengan pengajaran iaitu ugutan, ancaman fizikal, indoktrinasi, mempropoganda dan bohong dan hanya latihan, pelaziman dan mengajar boleh digolongkan dalam kawasan kecerdasan akal dan berkait rapat dengan konsep pengajaran.


Sebagai kesimpulannya, perhubungan yang paling rapat dengan konsep pengajaran ialah intruksi diikuti dengan latihan, indoktrinasi dan akhirnya pelaziman. Contohnya, seperti mengajar murid dengan cara indoktrinasi tanpa memberi penerangan seperti menghafal fakta atau menggunakan pelaziman untuk memaksa murid belajar tanpa berfikir.