Tuesday, February 28, 2012

Apa Itu Membaca??

Ramai di antara kita tidak faham apa itu membaca. Fahaman seperti di atas adalah satu fahaman yang biasa bagi kebanyakan ibu bapa. Rata-rata, kita beranggapan bahawa untuk membaca, anak-anak perlu mengenal huruf atau mengtahui nama huruf. Tanggapan ini disahihkan pula dengan rancangan-rancangan pendidikan kanak-kanak di televisyen. Contoh yang paling mudah ialah Sesame Street.

Bahan-bahan pendidikan terutamanya buku juga diolah untuk memperkenalkan nama huruf terlebih dahulu. Lagu ‘abc’, saya fikir ialah lagu yang semua orang tahu tidak kira tua ataupun muda. Ia boleh dikira lagu yang evergreen.

Justeru itu, mari kita hilangkan kekeliruan ini dahulu. Cuba kita fahami apa itu membaca. Kita tidak mahu apabila kita sudah mula mengajar, tiba-tiba baru kita tersedar yang kita sudah tersalah ajar. Ibaratnya memandu di Kuala Lumpur yang penuh dengan lebuhraya, kalau sudah tersilap jalan, baru hendak berpatah balik, memanglah menyusahkan diri.

Di dalam siri artikel ini, kita akan membicarakan mengenai konsep membaca yang umum.

Membaca itu bukan satu kemahiran semula jadi

Membaca itu adalah satu kemahiran. Akan tetapi kita tidak boleh menyamakan membaca dengan kemahiran berjalan, melompat atau berlari. Cuba bayangkan sewaktu anak kita masih bayi. Ketika baru dilahirkan, anak kita terbaring, tidak boleh bangun selagi tidak dibangunkan.

Apabila memasuki usia 3 bulan, kita mula menanti-nanti bilakah anak kita akan mula meniarap. Apabila masuk usia 6 bulan, kita mula berharap untuk melihat anak kita duduk dan kemudian merangkak. Apabila masuk usia 9 bulan pula, kita mula menjangkakan anak kita akan mula berjalan dan jatuh. Dan begitulah seterusnya...

Mungkin ada yang cepat dan ada juga yang lambat, itu perkara biasa. Orang tua-tua sering berkata, anak perempuan biasanya cepat bercakap, anak lelaki pula cepat berjalan. Hakikatnya, setiap anak yang normal akan boleh berjalan, melompat, berlari dan bercakap bila tiba waktunya. Ini disebabkan kemahiran ini adalah kemahiran tabii mereka.

Dengan sedikit bantuan, galakan dan ruang, anak kita akan menguasai kesemua kemahiran tadi sendiri.

Akan tetapi, situasi ini tidak sama dengan membaca. Kita tidak boleh meramalkan bahawa apabila anak kita berumur tujuh tahun, pasti dia akan boleh membaca!

Apabila masuknya anak kita ke sekolah bukan bermakna dia boleh membaca. Ini kerana, sememangnya setiap manusia itu tidak dilahirkan dengan perisian boleh membaca. Amat menyedihkan bagi kita yang berkata:

“Alaah… bila masuk sekolah nanti, pandailah dia baca.” Seolah-olah ianya satu jaminan. Kalau kita boleh jamin setiap anak itu boleh membaca apabila melangkah ke sekolah, sudah pasti tidak akan wujud statistik yang mengatakan bahawa lebih 100,000 murid tidak boleh membaca.

Ketika negara memasuki fasa ke-2 menuju wawasan 2020, terdapat 3% pelajar tahun 2 hingga tahun 6 di seluruh negara tidak tahu membaca, menulis dan mengira! Hampir kesemua sekolah mempunyai kelas pemulihan.

Bagaimana pula dengan bahasa Inggeris? Kalau sudah tidak tahu membaca bahasa Melayu, bahasa Inggeris sudah tentu lebih sukar. Masalah ini bukan sekadar berlaku di Malaysia sahaja, malah di Amerika Syarikat - negara yang dikenali sebagai sebuah negara maju – didapati 70% rakyatnya tidak boleh membaca dengan baik!


copyright by : http://www.ameeneducare.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=107&Itemid=68

No comments:

Post a Comment