Friday, December 18, 2009

FAKTOR-FAKTOR DALAM PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Terdapat 6 faktor dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antaranya ialah :

4.1 Faktor Agama

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia. Di samping itu, Agama Kristan, Agama Budha, Agama Hindu dan sebagainya juga bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor-faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, iaitu

“:...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...“

4.2 Faktor Politik

Sebagaimana yang diketahui umum, Falsafah Pendidikan Negara digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Di dalam usaha membentuk ideologi negara, pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara. Sehubungan ini,matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Matlamat ini dapat diperlihatkan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam pengaruh faktor sosial tersebut di atas.

“...melahirkan rakyat Malaysia.... berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”


4.3 Faktor Ekonomi

Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memperkembangkan ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berupayaan untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Cita-cita memperkembang ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara

“...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri...”

4.4 Faktor Sosial

Masyarakat Malaysia terdiri daripad berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap yang positif ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan kaum yang merupakan kriteria yang paling penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan mencapai perpaduan kaum telah menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara, iaitu:

”...melahirkan rakyat Malaysia...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”

4.5 Faktor Individu

Potensi individu dapat dikembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan pernyataan utama dalam kandungan Falsafah Pendidikan Negara.

“…memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…”


4.6 Faktor Sejagat

Penggubalan Falsafah Pendidikan Negara pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidkan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Negara. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancang oleh UNESCO dalam tahun 1980-an telah dimanifestasikan dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Negara iaitu pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan. Hal Ini jelaslah mencerminkan konsep pendidikan seumur hidup.

“..Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh...”

Warganegara yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan dapat direalisasikan andainya diberi pendedahan awal tentang kepentingan ilmu semasa di sekolah lagi. Oleh itu, sistem pendidikan di Malaysia perlu merangkumi aspek sejagat yang boleh melahirkan warganegara yang bertaraf antarabangsa setaraf dengan negara maju yang lain.

No comments:

Post a Comment